Saturday, June 6, 2015

KEMENANGAN TIDAK BERMARUAH - AHMAD AWANG.

Pencabar jawatan Presiden Pas, Ahmad Awang menyifatkan kejayaan golongan proulama pada pemilihan kali ini sebagai kemenangan yang tidak bermaruah.



Katanya, perkara itu memandangkan pemilihan tersebut didakwa telah dicemari dengan elemen-elemen yang tidak sihat termasuk penggunaan pengaruh tokoh-tokoh tertentu bagi mengatur keputusan.


Apa yang dikesali kata beliau, berlaku juga pengedaran ‘cai’ atau senarai panduan calon oleh pihak-pihak tertentu kepada perwakilan di lokasi penginapan mereka.


Menurutnya, kempen bagi menjatuhkan calon juga giat dijalankan sehingga ada dalam kalangan calon yang difitnah dengan begitu dahsyat melalui pelbagai tuduhan.


“Saya sememangnya menerima kekalahan saya ini tetapi apa yang menjadi pertikaian adalah kekalahan lain-lain calon yang sangat berpengalaman dalam Pas. Ini kerana ada tokoh dalam kepimpinan Pas bertindak mempromosikan calon mereka melalui kenyataan-kenyataan media.

“Isu pengedaran cai juga dilihat sebagai faktor kerana ini merupakan pemilihan pertama kali dalam sejarah Pas kita ada cai ini. Sebelum ini mereka main elemen tuduhan sahaja seperti pemilihan sebelum ini yang menuduh Mohamad Sabu sebagai penyokong Syiah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Semalam, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘mengetuai’ barisan golongan ulama menumbangkan kumpulan profesional dalam pemilihan Pas yang berlangsung di Kuala Selangor.

Dalam keputusan pemilihan yang diumumkan secara berperingkat-peringkat bermula kira-kira pukul 10 malam, Abdul Hadi mengekalkan jawatan Presiden dengan memperoleh 928 undi, menewaskan Ahmad yang mendapat hanya 233 undi.


Ini merupakan kali pertama Abdul Hadi dicabar sejak menyandang jawatan itu pada 2002.

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, beliau juga menjadi mangsa fitnah daripada pihak tidak bertanggungjawab pada pemilihan kali ini termasuk dituduh menyebarkan fahaman Syiah kepada penuntut-penuntutnya.


“Buat masa ini, saya dan peguam sedang berbincang terutama dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menaburkan fitnah ini,” katanya.


Dari: UTUSAN.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik