Tuesday, June 2, 2015

MANUSIA MEMANG MUDAH LUPA......

MUHAMMAD Firdaus semasa pertama kali ditemukan dalam keadaan menyayat
MUHAMMAD Firdaus yang semakin berisi dan ceria ditemani bekas


BETUL-BETUL hampir setahun lalu, dalam bulan Jun, kita digemparkan dengan penemuan seorang remaja lelaki kurang upaya, Muhammad Firdaus Dullah dalam keadaan cukup memilukan di sebuah unit rumah pangsa di Nilai, Negeri Sembilan.


Remaja berusia 15 tahun itu ditemukan kurus-kering seperti fizikal kanak-kanak yang baru berusia lima tahun, ditinggalkan bergelumang najis sendiri dengan baju compang-camping, tidak berseluar dan seolah-olah tidak kenal dunia.


Selepas pendedahan besar-besaran oleh media, ramai yang tampil mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan `penjaga’ kanak-kanak itu mengabaikan kebajikan remaja yang tidak berdaya itu.

Pada masa sama, jiran tetangga, pemimpin dan masyarakat setempat turut dikritik kerana mengambil sikap individualistik sehinggakan nasib remaja itu terabai.


Pihak berkuasa dan agensi bertanggungjawab turut dipersalahkan kerana didakwa tidak cukup prihatin bahkan gagal turun padang menjejaki kes yang memerlukan pembelaan seperti adik Muhammad Firdaus ini.


Alhamdulillah sejak itu nasibnya terbela. Dia dilaporkan semakin sihat dan berisi - jauh berbeza berbanding ketika ditemukan di unit rumah pangsa tempat dia ditinggalkan bersendirian.

Membaca penderitaan adik Muhammad Firdaus di dada akhbar, menonton kisahnya yang menyayat hati di kaca televisyen mahupun di laman web dan portal berita, masyarakat Malaysia nampaknya mengambil iktibar daripada kejadian itu.


Itu yang penulis harapkan. Sebagaimana dicoretkan dalam ruangan ini setahun lalu.

Namun penemuan ‘kubur’ kanak-kanak lelaki di bawah simen lantai dapur sebuah rumah dua tingkat di kawasan perumahan di Kepong, Kuala Lumpur, beberapa hari lalu, menunjukkan masyarakat kita nampaknya tidak belajar daripada sejarah.


Kesilapan dalam kes Muhammad Firdaus kita ulang semula. Bahkan lebih teruk lagi.

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita?


Adakah kita benar-benar sudah lupa akan kisah adik Muhammad Firdaus hampir setahun lalu?

Apakah kita tidak belajar daripada apa yang berlaku, maka kita kembali hidup cara lama. Sendiri-sendiri, individualistik, aku dengan hal aku, engkau dengan hal engkau!


Walau berdentum-dentam bunyi dari rumah jiran sebelah, aku tidak mahu ambil kisah. Alasannya, “aku tidak mahu digelar ‘busy body’”. Walhal hakikatnya, “aku tak kuasa nak ambil tahu masalah orang lain, nanti tak pasal-pasal aku kena tolong dan kena buat itu ini.”


Dan bayaran daripada sikap keakuan kita itu, nyawa seorang kanak-kanak melayang.

Lebih memalukan, walaupun setelah berita penemuan mayat kanak-kanak itu dilaporkan, kita masih tidak insaf. Bahkan ada dalam kalangan kita menggunakan laman sosial untuk memberikan bermacam-macam alasan bagi ‘menghalalkan’ tindakan jiran kanak-kanak malang itu tidak melaporkan kepada polis perlakuan mencurigakan daripada rumah dua tingkat tempat ‘kuburnya’ ditemukan.


Kita kononnya malas menelefon polis atas alasan “biasanya aduan kita tidak akan dilayan”. Padahal kita tidak pernah pun cuba menekan punat telefon untuk mendail 999.

Kita enggan menyibuk bertanya apa yang berlaku, kerana “jiran kita itu nampak tidak gemar bergaul dengan jiran”.


Maka kita pekakkan telinga mendengar kanak-kanak menangis dan merayu agar tidak dipukul. Dan kita memalingkan muka daripada melihat kesakitan mereka kerana kita takut jika diminta membantu sedangkan kita “ada banyak hal lain hendak diuruskan”.


Sebagai orang dewasa kita ‘mencabuli’ hak kanak-kanak untuk mendapatkan perlindungan yang sewajarnya daripada kita - orang yang lebih berakal dan mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu.

Lantas kita biarkan “nasi menjadi bubur”.


Penulis percaya individu tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kematian kanak-kanak malang itu akan dihadapkan ke muka pengadilan.


Pelaku jenayah yang cuba menyembunyikan kematian kanak-kanak itu dengan menggali kuburnya di dapur rumah pasti akan menerima hukuman yang setimpal.


Dan masyarakat kita akan melihat pesalah itu kelak dengan pandangan jijik.

Namun persoalannya apa yang kita akan lakukan selepas itu? Teruskan hidup seperti biasa? Lupakan episod kanak-kanak lelaki tanpa nama ini sebagaimana kita melupakan kisah adik Muhammad Firdaus?


Mahu ke mana kita?

Dari: Utusan.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik