Monday, June 1, 2015

MAT SABU DAN HADI AWANG, SIAPA YANG LEBIH HEBAT?


Saya yakin bahawa hampir semua pemerhati politik negara dapat menyedari tentang sokongan Mohamad Sabu terhadap dua calon Presiden PAS pada muktamar parti itu, Jun ini. Bagai terang lagi bersuluh, dia dilihat ke hulu ke hilir membawa calon pilihannya itu, bukan?

Dan baru-baru ini, semakin terserlah “belang” Mat Sabu apabila terang-terangan menyindir Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Tumpat, Kelantan, apabila dia menyifatkan Presiden PAS itu hanya pandai berpidato, tapi tidak berjaya mempertahan Terengganu dari dirampas kembali oleh Barisan Nasional (BN).

Kenyataan itu seolah-olah mengesahkan tentang dakwaan sebelum ini yang mengatakan Mat Sabu benar-benar mahu jatuh Abdul Hadi dari kepimpinan PAS meskipun dinafikan berkali-kali.

Dia mengungkit soal menang atau kalah pilihanraya? Abdul Hadi gagal pertahankan Terengganu pada pilihanraya 2004. Ya, fakta itu benar. Tapi Mat Sabu perlu tahu bahawa kekalahan PAS di Terengganu adalah disebabkan Allah mahu mengembalikan kuasa pada BN, bukan salah manusia bernama Abdul Hadi pun!

Pada pandangan saya, kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 adalah kehendak Allah SWT. Sehebat mana sekalipun PAS ketika itu dan jika tidak diizinkan Allah untuk terus berkuasa di negeri itu, tidak menang juga PAS di situ, bukan?

Lebih tepat lagi, cuba lihat pada Mat Sabu sendiri. Sepanjang kariernya bergelar ahli politik, berapa kalikah dia menang pilihanraya dan menjadi wakil rakyat?

Pada tahun 1982, Mat Sabu tewas di Penanti. Tahun 1986, dia tewas di Permatang Pauh. “Berhijrah” ke Kelantan, dia menang di Nilam Puri (1990) dan Kubang Kerian (1995). Kemudian, dia menang di Kuala Kedah (1999), tapi tewas di parlimen yang sama pada tahun 2004.

Dia bertanding pula di Kuala Terengganu (2008), tewas lagi. Kononnya mahu menang di Pendang pada PRU ke-13 (2013), tapi kalah di kubu kuat PAS itu!

Sekiranya di analisis, kemenangan Mat Sabu hanyalah ketika bertanding di “luar kawasan” dan kawasan “hijrah”. Lepas berhijrah ke kawasan baru di parlimen Nilam Puri, Kubang Kerian dan Kuala Kedah, dia menang di atas faktor rakyat di situ tidak benar-benar kenal Mat Sabu.

Tapi lepas sepenggal, dia “lompat” kawasan. Mengapa? Pada penulis, dia tidak mampu bertahan di satu parlimen itu kerana memang dia hanya pandai bercakap saja, tapi tidak tahu buat kerja sebagai wakil rakyat.

Misalnya di Kuala Kedah. Dia cuba kekal di parlimen itu, tapi gagal, bukan? Jadi, tidak payahlah kita mengulas mengenai kekalahan dia di parlimen-parlimen lain, khususnya di Pendang. Dia bertanding di kubu kuat bekas Presiden PAS, arwah Ustaz Fadhil Noor, pun dia kalah?

Berdasarkan “track record” yang “hebat” itu, dia masih ada hati untuk memperlekeh Abdul Hadi? Saya tertanya-tanya, di rumah Mat Sabu ada cermin atau tidak? Jika ada, tolong cermin muka. Jika tiada, tolonglah sesiapa belikan cermin untuknya, boleh?

Pada pandangan penulis, kekuatan atau kelemahan yang ada pada Abdul Hadi itu wajar diukur pada pendiriannya mempertahan dasar dan perjuangan asal PAS, bukannya terletak pada menang atau kalahnya parti itu dalam pilihanraya.

Seorang tokoh PAS tulen pernah memberitahu saya bahawa perjuangan asal PAS adalah untuk memartabatkan Islam di Malaysia dan bukannya mahu mengejar kuasa politik. Katanya, sekiranya menang kerusi pilihanraya pun, itu adalah kehendak Allah SWT.

Katanya, jika niat utama PAS adalah berpaksikan mahu menang pilihanraya semata-mata, maka parti itu rosak seperti PKR dan DAP yang mengamalkan prinsip “matlamat menghalalkan cara” untuk berkuasa di negara ini.

Jadi pada saya, prestasi Abdul Hadi hanya boleh dinilai sama ada beliau benar-benar berpegang pada prinsip perjuangan tersebut atau sebaliknya. Hanya berpegang teguh pada prinsip itu maka barulah PAS akan berjaya “diselamatkan”.

Justeru itu, berdasarkan kedudukan dan status PAS terkini, nilai sendirilah keadaannya. Wallahua’alam.
Dari: JiwaParadox

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik