Saturday, June 27, 2015

MENGINTAI DISEBALIK TABIR PEMILIHAN UMNO TANGGUH.....

[GAMBAR - Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO di rakaman takbir Hari Raya Aidilfitri di PWTC petang Jumaat]

Pilihanraya umum ke 13 dicop sebagai 'ibu' segala pilihanraya.Kini menjelang yang ke 14 awal-awal lagi sudah ada yang sebut ia 'bapa' segala pilihanraya.

Ini maknanya pilihanraya umum yang perlu diadakan bila-bila sebelum Mei 2018 gerenti lebih sengit dan mencabar.

Jadi kata orang bodoh sangat mana-mana parti yang hendak melangkah masuk gelanggang dalam keadaan yang lemah longlai,berpecah dan kalangan ahli dan pimpinan yang berkecamuk.

MIC adalah testimoni semasa.Dua puak pimpinan Datuk Seri G Palanivel dan Datuk Seri Subramanian sudah tidak ada titik temu sejak pemilihan tahun 2013.Lukanya terlalu lama.

PAS yang baru lalu pemilihan 24 Jun lalu juga terpisah dua antara golongan ulama yang sapu bersih semua jawatan dan golongan bukan ulama yang kini memendam rasa dan jauh hati.

Melihat pada riak dan rentaknya nampak macam susah pimpinan dari dua golongan ini hendak tidor sebantal dibawah satu bumbung.

UMNO sendiri pernah lalui gelombang yang paling teruk dalam sejarahnya yakni pemilihan tahun 1987 bila mana Team A diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan Team B Tengku Razaleigh Hamzah berentap sakan.

Gara-gara itu mendorong kepada UMNO diharamkan,Tengku Razaleigh dan penyokongnya tubuh parti lain Semangat 46.Kesannya juga lama sebelum kembali bertaut.

Namun UMNO/BN waktu itu telah berjaya lalui pilihanraya sekalipun terpisah dua kerana suasana ketika itu berbeza khususnya parti pembangkang utama PAS dan DAP tidak segagah sekarang.

Kini walau apapun orang nak cakap termasuk isu kritikan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri bibit-bibit kewujudan dua kem seperti menjelang pemilihan tahun 1987 tidak nampak bertunas dalam UMNO.

Sejak pilihanraya umum 2013 UMNO telah mengambil berbagai langkah untuk memperkemaskan struktur parti di segenap peringkat untuk menghadapi 'bapa' segala pilihanraya nanti.

Pemilihan UMNO yang akan datang dijadual sebelum pertengahan tahun 2016.Prosesnya akan ambil masa beberapa bulan bermula dari cawangan,bahagian dan seterusnya pimpinan pusat.

Jika ia diadakan ikut jadual,jaraknya cuma lebih setahun menjelang PRU14.

Melihat pada tempoh masa yang singkat untuk memikul tugas besar mempertahankan sebuah kerajaan ia dengan sendirinya mewujudkan satu risiko.

Pejam mata, kata kalau tidak jadi apa-apa memang cantik.Dalam politik serba kemungkinan boleh timbul.

Apa kata jadi ala-MIC atau ala-PAS atau ala apa sekalipun tak tentu pasal UMNO akan tempang dan mungkin tak sempat nak baiki keadaan sebelum kena berentap pada PRU14.

Sebab itu jelas kelihatan wajah lega dikalangan pimpinan UMNO bila mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak petang Jumaat mengumumkan keputusan menangguhkan pemilihan UMNO 2016 selama 18 bulan dari tarikh ia sepatutnya diadakan.

Congak dari tempoh itu sudah gerenti pemilihan itu hanya akan dibuat selepas PRU14.

Jangan lupa...sebelum ini pemilihan UMNO penggal lalu juga ditangguhkan dan diadakan selepas PRU13.

Seperti kata Najib pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu ia bukan satu keputusan yang luar biasa kerana pernah dilakukan ketika zaman pentadbiran Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi berasaskan rasional yang sama.

Dalam UMNO biasanya kalangan ahli cukup faham.Namun di luar sana gerenti ada saja khabar negatif yang hendak diputar masuk ke pasaran sembang politik.

Misalnya dalam situasi politik semasa bilamana Dr Mahathir rancak kritik Perdana Menteri apa nak hairan kalau ada yang main sedap mulut mendakwa beliau takut kena lawan jawatan Presiden UMNO.

Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Mahadzir Khalid cukup terbuka dalam hal ini ketika berbual dengan beberapa wartawan semasa majlis berbuka puasa tidak lama selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC.

Ditanya mengenai pelbagai persepsi yang mungkin timbul dari keputusan menangguhkan pemilihan UMNO 2016,Timbalan Menteri Tenaga,Teknoloji Hijau dan Air itu memberi contoh mengenai UMNO Bahagian Padang Terap di Kedah dimana beliau ketua bahagian.

Katanya semua Ahli Jawatankuasa Bahagian itu kini diberi tugas masing-masing dan menjalankan gerak kerja tertentu untuk perkuat parti untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14 nanti.

"Sekarang semua steady buat kerja.Keadaan tenang.Cuba bayangkan tahun depan sah ada pemilihan jawatan sudah pasti semua gerak kerja akan terhenti.Masing-masing sudah mula fokus untuk perkuat diri sendiri untuk hadapi pemilihan.Kerja-kerja parti sudah tolak sebelah,"katanya.

Mahadzir akui susah untuk sekat orang luar buat andaian sendiri dari keputusan tangguh pemilihan parti selama 18 bulan.

Namun katanya keputusan itu dibuat secara konsesus oleh semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada mesyuarat itu.

"Ini bukan keputusan Presiden seorang...semua setuju setelah dibincang,"katanya.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO,Datuk Shamsul Anwar Nasarah juga akui beliau sedar mengenai persepsi yang mungkin berlegar dari keputusan ini.

Katanya fakta terbentang di depan mata ini bukan pertama kali pemilihan UMNO ditangguh.

Lagipun menurut Shamsul ia bukan satu keputusan semberono dan dibuat ikut peruntukkan yang ada dalam perlembagaan parti.

"Bagi saya sendiri ia keputusan tepat...kita perlu fokus pada keutamaan,"katanya.

Dari: Agendadaily.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik