Tuesday, June 9, 2015

PAKATAN "KELUARGA 69" DI SELANGOR.

Azmin Ali yang duduk di pentas utama waktu majlis perasmian Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor pada 4 Jun sebagai wakil PKR sudah tentu dapat jangka kesan politik dari krisis yang memuncak antara PAS dan DAP.

Sekalipun tampil dengan wajah tersenyum sana sini sepanjang majlis... getaran pada kerajaaan pimpinannya sudah terasa bila sehari sebelum itu apabila muktamar Dewan Ulama PAS meluluskan usul putus hubungan dengan DAP tetap kekal dalam Pakatan.

Kini kata putus untuk laksanakan atau tidak usul penting itu terletak dibahu Majlis Syura PAS setelah Muktamar PAS sendiri telah meluluskan tanpa bahas usul berkenaan.

Majlis Syura PAS merupakan badan pengubal dasar tertinggi parti itu.Ia dianggotai oleh pimpinan yang semuanya dari golongan ulama.Semua orang tahu pendirian mereka terhadap DAP kebelakangan ini.

Fokus kini tertumpu kepada keutuhan kerajaan Selangor berdasarkan komposisi kerusi PKR 13-DAP15-PAS 15 di negeri itu.

Dalam kontek politik Pakatan di negeri ia dikatakan tidak sangat beri kesan di Pulau Pinang dan Kelantan.Ini kerana DAP kuasai kerusi di Pulau Pinang dan begitu juga PAS di Kelantan.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menerusi tulisannya di satu ruangan di sebuah portal pro pembangkang Isnin secara terbuka menjangka situasi cacamarba dalam kerajaan negeri Selangor berdasarkan usul Dewan Ulama PAS itu.

Beliau membayangkan situasi bagaimana semasa mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Exco dari PAS tidak mempedulikan Exco DAP atau pura-pura seolah mereka tidak wujud.

Tony Pua bimbang jika kemelut itu tidak diatas ia boleh membawa kepada keruntuhan kerajaan Pakatan Selangor.

Bibit-bibit cacamara ini sudah terasa ekoran pengumuman bekas Timbalan Presiden PAS Mat Sabu hendak letak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah dua perbadanan di Pulau Pinang.

Semasa membuat pengumuman waktu mengulong perbahasan di hari akhir Muktamar PAS beliau secara sinis mencabar pimpinan PAS di Selangor ikut jejaknya sebagai memenuhi semangat usul Dewan Ulama PAS.

Isnin,bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Muhajdi Yusof Rawa juga mengambil langkah sama seperti Mat Sabu hendak letak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah badan dianggotainya di Selangor.

Tandatanya yang berlegar kini siapa agaknya yang akan beralah dalam isu usul Dewan Ulama PAS itu.

DAP nampaknya seolah hendak menguji sejauh mana PAS berani 'walk the talk' dalam isu usul berkenaan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sudah kata beliau sedia terima surat perletakan jawatan mereka.

Malah beliau seolah mencabar wakil-wakil PAS lain yang pegang jawatan di negeri itu perlu letak jawatan atas dasar berpegang pada prinsip setelah memutuskan hubungan dengan DAP.

Pada waktu yang sama,pimpinan PAS di Selangor mengambil sikap 'business as usual'.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad yang menang salah satu dari tiga jawatan Naib Presiden PAS menegaskan ahli-ahli PAS mesti meneruskan perkhidmatan seperti biasa di negeri itu

Ini,katanya kerana usul Dewan Ulama yang membatalkan hubungan dengan DAP belum diluluskan parti secara muktamad..

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa hubungan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat di Selangor masih berjalan seperti biasa.

“Hubungan tersebut sama ada di dalam atau di luar kerajaan mesti diteruskan seperti biasa. Ahli-ahli PAS di dalam kerajaan mesti terus menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

“Semua Exco, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis, Ketua Kampung, Nazir Masjid dan Pengerusi Surau dan kakitangan-kakitangan sokongan dari PAS mesti bertugas seperti biasa.

“Saya harap penjelasan ini dapat menjawab beberapa persoalan yang timbul di Selangor sehubungan usul Dewan Ulama pada Muktamar PAS yang baru lalu,"katanya.

Kebimbangan mengenai keutuhan Pakatan sudah sampai ke 'Sungai Buloh'.Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang diberitahu oleh seorang pemimpin PKR,N Surendran yang melawatnya di penjara kesal dengan usul Dewan Ulama PAS.

Menurut Surendran beliau meminta PAS membatalkan usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Diatas kertas kerajaan Pakatan Selangor kemungkinan besar tidak tergugat sekalipun tanpa PAS.

Ikut cakap bekas Exco Kerajaan Negeri DAP,Ronnie Liu tanpa PAS pun, DAP dan PKR masih berjaya membentuk kerajaan di Selangor.

“DAP dan PKR akan menjadi 28 kerusi. Dicampur lagi dengan dua wira yang diusir oleh PAS (Saari Sungip (Hulu Kelang) dan Hasnol Badaruddin (Morib) ), kami akan mempunyai sejumlah 30 ADUN dalam gabungan baru.

“(Sedangkan) PAS mempunyai 13 kerusi dan UMNO mempunyai 12. 1 bebas, khalid Ibrahim.

“Jika PAS menyertai UMNO untuk membentuk kerajaan perpaduan di Selangor mereka tidak akan mempunyai bilangan yang mencukupi (untuk membentuk kerajaan). 13 + 12 + 1 adalah 26 kerusi. Melainkan UMNO membeli lebih dari beberapa ADUN Pakatan,”katanya.

Dalam situasi sudah tentu semua akan bertanya apakah PAS cuma ' gertak sambal' DAP menerusi usul Dewan Ulama.

Kalau ikut cakap bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar tidak mungkin PAS akan membatalkan usul yang kontrovesial itu.

Apakah beliau yang turut tewas dalam pemilihan jawatan Naib Presiden PAS juga seolah hendak mencabar pimpinan golongan ulama PAS cakap serupa bikin?

Turut sama mencabar kepimpinan baru PAS kotakan janji ialah sorang lagi bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang tewas dalam pemilihan jawatan itu,Hanipa Maidin.

Katanya kepimpinan baharu parti Islam itu perlu mengotakan janji jika tidak ia dilihat sebagai satu gimik dan memalukan kepimpinan parti.

“Mereka sewajarnya membawa PAS keluar daripada PR kerana visi dan misi yang mereka perjuangkan tidak selaras dengan misi dan visi PR.

“Jika mereka sebaliknya terus ingin menjaga kepentingan PAS di Selangor dan dalam masa yang sama cuba mempertahankan prinsip perjuangan dan reda Allah, ia menampakkan mereka tidak ikhlas dan tidak konsisten,"katanya menerusi satu kenyataan.

Terbaru pada Selasa Azmin kata kerajaan Selangor pimpinannya tidak akan terkesan dengan usul Dewan Ulama untuk putuskan hubungan dengan DAP.

Beliau yang seolah cuba untuk sejukkan keadaan kata krisis ini tidak harus dilihat secara negatif.

Sebaliknya kata Azmin krisis ini harus dilihat sebagai satu peluang bagi semua pemimpin mengenepikan ego masing-masing dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Apakah kata-kata itu untuk menyedapkan hatinya sendiri yang belum lama ambilalih jawatan dari Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mahu tidak mahu mengikut situasi semasa kerajaan Selangor kini ibarat kata pakatan 'Keluarga 69'.

Dari: Agendadaily.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik