Monday, June 1, 2015

PAS PERLUKAN PASUKAN BARU, BUKAN PRESIDEN BARU....

Post Pic

PAS tidak memerlukan Presiden baharu untuk terus menerajui parti Islam berkenaan, tegas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
 
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, apa yang parti perlukan adalah barisan 'pasukan' yang baharu untuk berdiri di belakang Hadi.   
 
"PAS tidak memerlukan presiden baru tapi team (pasukan) baru yang bersama presiden untuk terus mencapai kemenangan politik berhadapan dengan Umno. Team yang tidak seiringan dengan Presiden melambatkan perjalanan," katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menyatakan parti itu memerlukan Presiden dan barisan kepimpinan baru bagi memastikan ia terus bersama Pakatan Rakyat (PR). 
 
Dalam satu forum bertajuk 'Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun 2015' di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi, bekas Menteri Besar Perak itu juga berkata beliau mahu parti dipimpin oleh individu yang tidak memperkecilkan rakan pimpinan dalam PR demi menjaga keharmonian.
 
"Presiden perlu baru, perlu juga pimpinan yang baru yang campuran bersama ulama. PAS perlu dipimpin oleh ulama dan siapa ulama itu? Dia ialah Ustaz Ahmad Awang.
 
"Dia (Hadi) boleh cakap Arab, dia (Ahmad) juga boleh bercakap dalam bahasa Arab, dia (Ahmad) boleh bercakap dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, dia (Hadi) tidak boleh.
 
"Kita perlukan kepimpinan yang dihormati parti dan negara kita. Dan dengan kepimpinan baru yang raikan Pakatan ia akan menghilangkan khurafat yang mengatakan hanya Umno boleh pimpin orang Melayu," petik kata Nizar di forum berkenaan.
 
Dalam pada itu, Khairuddin menjelaskan parti memerlukan 'pasukan' baru yang bukan sahaja berdiri utuh di belakang presiden setiap masa, malah bersama-sama membawa inspirasi PAS. 
 
"Bukan membawa inspirasi parti lain," katanya lagi sambil enggan merujuk kepada mana-mana parti.
 
Pada pemilihan parti minggu depan, Hadi bakal ditentang oleh bekas Naib Presiden, Ahmad Awang, setelah hampir 13 tahun mengekalkan jawatannya tanpa dicabar mana-mana calon sebelum ini. 
 
Ahmad, dikatakan calon pro-DAP yang diletakkan untuk menggantikan Hadi bagi terus menerajui parti Islam berkenaan. 
 
Sebelum ini, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zudi Marzuki mendakwa DAP cuba berkempen untuk menyingkirkan pemimpin tertentu di dalam PAS yang dianggap sebagai penghalang kepada beberapa agenda pembangkang.
 
"Jelas, DAP sedang berusaha untuk menyingkirkan pimpinan-pimpinan PAS yang berani berkata 'tidak' atau 'no' kepada DAP.
 
"Untuk menyingkirkan jaluran pimpinan PAS yang tegas seperti ini, DAP melakukan serangan habis-habisan terhadap Presiden PAS yang sebelum ini tidak tunduk kepada desakan DAP dalam mesyuarat Pakatan Rakyat," petik kata Zuhdi. 
Dari: Antarapos.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik