Saturday, June 13, 2015

PASMA AKAN TUBUH PARTI BARU SELEPAS AIDILFITRI.....


Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) hari ini mengumumkan bahawa pihaknya akan menggerakkan satu usaha bagi membolehkan sebuah parti baharu ditubuhkan menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, pada dasarnya PR sudah terkubur oleh itu satu parti baharu perlu ditubuhkan bagi menghidupkan semula PR.

Phahrolrazi dilaporkan Malaysiakini bagaimanapun berkata parti itu bukanlah peralihan daripada pertubuhan berkenaan, sebalikya sebuah entiti lain.

“PASMA hari ini mengambil ketetapan bahawa sebuah parti politik baharu perlu ditubuhkan dan peranan PASMA dalam parti politik ini ialah untuk memastikan kesinambungan peranan PAS dalam komponen Pakatan,” katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini

Menurutnya, walaupun parti baharu ditubuhkan, namun PASMA masih kekal sebagai NGO.

“Kami kekal dengan peranan terdahulu,” katanya.

Tambahnya, urusan penubuhan parti baharu itu akan digerakkan oleh sebuah jawatankuasa penaja pro-PR yang akan melaksanakan tugas mereka selepas Hari Raya Puasa.

“Peranan jawatankuasa itu bagi memastikan parti baharu terbentuk,” katanya.

Ketika ditanya adakah parti baharu itu sama seperti PAS, Phahrolrazi berkata parti yang belum ditentukan namanya itu berlainan dengan parti Islam tersebut memandangkan keahliannya terbuka kepada pelbagai kaum.

Katanya lagi, parti baharu itu juga akan meneruskan kesinambungan PAS sebelum berlakunya krisis bersama Pakatan.


Malah, bekas pesuruhjaya PAS Kedah itu berkata beliau turut mendapat sokongan positif daripada beberapa pimpinan PAS yang tewas pada pemilihan muktamar baru-baru ini.

“Satu dua orang PAS yang tewas dalam pemilihan baru ini telah hubungi saya dan beri tanda positif. Cuma beri masa kepada mereka kerana baru lepas alami kekalahan teruk.

“Parti ini sambungan daripada PAS dan akan ada DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) yang memainkan peranan penting. Kita akan cadangkan supaya parti ini terbuka dan membolehkan kaum lain untuk turut serta sebagai ahli parti,” katanya.

Phahrolrazi berkata, pembentukkan parti baharu itu juga akan memberi pilihan kepada ahli PAS sama ada untuk terus kekal dengan parti itu atau sebaliknya.

“Ahli PAS sudah boleh buat pertimbangan sama ada bersetuju dengan kepimpinan ulama atau kalau mereka hendak berada dalam parti terbuka, inklusif mereka perlu buat pilihan,” katanya lagi. 

Pada Selasa lalu, Phahrolrazi dilaporkan Sinar Harian berkata PR perlu dibubarkan setelah Pas mengusulkan untuk memutuskan hubungan dengan DAP pada Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-61 baru-baru ini.

“Sekiranya PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan mereka tidak boleh duduk bersama, maka PR tidak boleh diwujudkan lagi.

“Kalau mereka (PAS) keluar, PR sudah tidak sempurna dan perlu dicari pengganti lain bagi mengisi kekosongan terbabit,” katanya.

Menurutnya, pembubaran itu perlu dibuat dan distrukturkan semula dengan PR Baharu untuk mengembalikan sokongan rakyat menjelang PRU14.

Dari: AIDCNews.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik