Thursday, June 4, 2015

PEMBERSIHAN TOTAL KUMPULAN ANWARINAS DARI KUASAI AJK PAS PUSAT.


Petang Khamis, pemimpin PAS dari seluruh negara akan mengadakan pemilihan pucuk Ahli Jawatankuasa Pusat PAS yang baru bagi penggal 2015-2017.

Teka teki kini berjayakan usaha untuk menyingkirkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PAS (Anwarinas) dari menguasai AJK PAS Pusat?

Ini selepas keputusan pemilihan Pemuda dan Muslimat menyaksikan pembersihan total... di mana kumpulan pro ulama kembali menguasai parti dengan menyingkirkan kelompok Anwarinas.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 yang bermula hari ini pastinya tertumpu kepada ucapan dasar presiden.

Berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan muktamar itu pada sebelah pagi dan diikuti sesi pemilihan pada sebelah petang.

Pemilihan itu membabitkan perebutan jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan juga anggota jawatankuasa PAS Pusat.

Abdul Hadi akan mempertahankan jawatan disandangnya sejak 13 tahun lalu selepas dicabar bekas Naib Presiden Ahmad Awang yang diketahui rapat dengan kelompok Anwarinas.

Mohamad Sabu pula akan dicabar oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan Timbalan Presiden.

Jawatan Naib Presiden yang memperuntukkan tiga kerusi juga menyaksikan pertembungan antara kumpulan proulama dan kelompok Anwarinas.

Tiga penyandang jawatan itu Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar akan dicabar oleh tiga calon pro ulama iaitu AJK PAS Pusat Idris Ahmad, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

Jawatan Naib Presiden yang memperuntukkan tiga kerusi pula menyaksikan saingan enam calon termasuk dua daripadanya penyandang iaitu Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Husam tidak menghadiri Muktamar PAS kali ini selepas Pengerusi Tetap membacakan sepucuk surat dari Husam yang memberitahu beliau uzur dan sedang mendapat rawatan.

Seramai 55 calon pula akan bertanding merebut jawatan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat.

Muktamar Tahunan PAS kali ini juga disifatkan agak getir buat PAS yang dijangka akan membuat ketetapan berhubung pendirian sama ada akan kekal atau berundur daripada Pakatan Rakyat.

Kehadiran atau ketidakhadiran wakil sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP ke muktamar itu turut menjadi tanda tanya selepas kemelut yang melanda kedua-dua parti itu kebelakangan ini.

Setiausaha Pengelola Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook pada Selasa dilapor mengesahkan bahawa parti itu tidak akan terlibat atau menghadiri ke majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ini.

DAP sebelum ini mengkritik hebat PAS ekoran cadangan pelaksanaan hudud di Kelantan, selain telah memutuskan hubungan kerjasama dengan Presiden PAS, tetapi tidak dengan parti itu.

Hubungan kedua-dua parti itu dilihat mungkin bertambah sukar, selepas Dewan Ulama PAS Pusat pada muktamarnya semalam sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP dan memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Sebelum itu, bersempena dengan Muktamar PAS Pusat hari ini, tiga cabang parti itu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat telah selesai bermuktamar dan mengadakan pemilihan bagi cabang masing-masing semalam.

Muktamar berlangsung sehingga Sabtu dan akan dihadiri kira-kira 1,057 perwakilan.

Dari: Agendadaily/4.6.2015

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik