Friday, June 5, 2015

SAYA PERLU PURA-PURA GEMBIRA - DR HATTA.


Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli yang dikaitkan sebagai ketua ‘Hawai Five O’, meluahkan rasa kecewa dengan kekalahan teruk pasukannya yang diketuai Ustaz Ahmad Awang.

“Saya perlu berpura-pura gembira,” katanya, ketika mengulas mengenai kekalahannya dalam pemilihan parti itu yang berlangsung pada Khamis.

Selepas bercakap kepada media, Dr Hatta bergegas masuk ke Stadium Tertutup Kuala Selangor di mana berlangsungnya hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-61.

“Saya perlu tunjuk muka,” katanya berseloroh.

Mengulas lanjut, kata Dr Hatta, keputusan pemilihan turut menyaksikan perwakilan PAS memilih berdasarkan perkembangan yang berlaku di peringkat kepimpinan sayap.

“Seperti yang kita lihat ada trend telah dibuat dalam muktamar dewan-dewan. Jadi keputusan di peringkat pusat pun ikut trend yang dilakar di dewan tersebut.

“Bukan sesuatu yang memeranjatkan. Kita nampak ramai jawatankuasa pusat yang lalu tak terpilih dan saya rasa itu juga boleh berlaku dalam sistem pemilihan mana-mana organisasi.

“Perwakilan dah buat keputusan, jadi kita harus terima keputusan tersebut walaupun ada rasa terkilan atau sedih. Itu adalah perkara biasa dalam sesuatu pertandingan,” katanya.

Dalam keputusan pemilihan PAS Pusat semalam, Dr Hatta tewas mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Selain beliau, rakan-rakan sepasukannya juga turut tewas. Antaranya adalah Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Dr Siti Mariah Mahmud dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dua lagi rakan sepasukannya, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi tidak dicalonkan untuk bertanding pada sesi ini.

Seperti yang diakui Dr Hatta, trend kekalahan di dewan-dewan telah mencerminkan kekalahan pasukannya di peringkat pusat.


Calon Presiden, Ustaz Ahmad Awang tewas kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 695 undi.

Hadi meraih 928 undi sementara Ahmad mendapat 233 undi.

Mohamad Sabu tewas kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan majoriti 602 undi untuk jawatan Timbalan Presiden PAS.

Tuan Ibrahim meraih 881 undi, manakala Mat Sabu hanya berjaya mendapat 279 undi.

Untuk jawatan Naib Presiden PAS, ketiga-tiga calon dari sekutu Ahmad, Salahuddin Ayub (435), Datuk Mahfuz Omar (378) dan Datuk Husam Musa (317) telah tewas.

Sebaliknya, calon pro ulama dipilih Naib Presiden PAS yang baharu; Ustaz Idris Ahmad (896), Datuk Mohd Amar Abdullah (710) dan Datuk Iskandar Abdul Samad (672).

Walau bagaimanapun, hanya seorang dari rakan sepasukan Dr Hatta, Mazlan Alimin berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Pro ulama turut menguasai 17 daripada 18 Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dipilih.

Satu-satunya wakil tunggal daripada kem Ahmad yang menang adalah Mazlan Alimin.

Dewan Muslimat PAS Pusat yang dikuasai kumpulan bukan pro ulama sejak dari sesi 2011-2013 mula dirampas kembali oleh kumpulan pro ulama pada sesi 2015/2017.

Malah, pro ulama dikatakan telah menyapu bersih semua jawatan dalam dewan muslimat.

Penyandang Ketua Muslimat selama dua penggal, Siti Zailah Mohd Yusoff tewas kepada calon pro ulama, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 30 undi.

Nuridah meraih 359 undi, manakala Siti Zailah mendapat 329 undi.

Penyandang Timbalan Ketua Muslimat selama dua penggal, Dr. Siti Mariah Mahmud tewas kepada muka baharu, calon pro ulama, Dr Rosni Adam.

Dr Rosni mendapat 414 undi berbanding dengan Dr Siti Mariah 274 undi.

Juga penyandang dua penggal untuk jawatan Naib Ketua, Mumtaz Md Nawi turut tewas kepada muka baharu, pro ulama, Salamiah Mohd Nor.

Salamiah mendapat 358 undi manakala Mumtaz mendapat 330 undi.

Pro ulama turut menguasai 12 Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS pusat.

Kemenangan Dr Halimah Ali mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Muslimat juga dianggap mewakili kumpulan pro ulama.

Dr Halimah sebelum ini disebut-sebut bukan mewakili kumpulan pro ulama, mula berpindah kem apabila YB Iskandar Abdul Samad dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang mula dikuasai bukan ulama sejak pemilihan 2013/15, mula dirampas kembali kepimpinan dewan itu apabila kumpulan pro ulama yang diketuai Nik Mohamad Abduh Nik Mat berjaya mengalahkan Suhaizan Kayat.

Nik Mohamad Abduh berjaya meraih 429 undi, manakala penyandang jawatan Ketua Dewan Pemuda, Suhaizan mendapat 262 undi.

Dengan majoriti kemenangan sebanyak 167 undi, Nik Mohamad Abduh dinobatkan sebagai Ketua Dewan Pemuda yang baharu untuk sesi 2015/17.

Muhammad Khalil Abdul Hadi (pro ulama) menang jawatan Timbalan Ketua apabila beliau menewaskan pencabarnya, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dengan majoriti 178 undi.

Beliau mendapat 435 undi, manakala pencabarnya mendapat 257 undi.

Khairil Nizam Khirudin (pro ulama) pula berjaya mengekalkan kemenangan sebagai Naib Ketua apabila pencabarnya, Nor Azman Mohamad ditewaskan dengan majoriti 223 undi.

Beliau mendapat 458 undi, manakala pencabarnya mendapat 235 undi.

Malah, pro ulama juga turut berjaya menyapu bersih 12 kerusi Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS pusat yang dipertandingkan.

Penyandang-penyandang untuk jawatan itu dari bukan calon pro ulama; Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Mohd Sany Hamzan telah tewas.

Menariknya, Mohd Shahir Sulaiman yang sebelum ini menang di atas kem bukan pro ulama telah berpindah kem untuk sesi 2015/17.

Mohd Shahir mendapat 409 undi, antara individu kelima tertinggi yang dipilih dari kem pro ulama.

Bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA (MPP UIA), Muhtar Suhaili sepatutnya menyertai kem bukan pro ulama, kerana rakan seperjuangannya, Muhd Ramadhan Fitri Elias, bekas Presiden Majlis perwakilan Pelajar UM (MPP UM) berada dalam kumpulan itu.

Namun, Muhtar Suhaili membuat pilihan tepat apabila berada di kumpulan pro ulama.

Sebaliknya, Ramadhan Fitri yang disebut-sebut sebagai bakal Ketua Dewan Pemuda untuk sesi akan datang telah tewas dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS pusat.

dari: AIDCNews/5.6.2017

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik