Saturday, June 27, 2015

SENARIO POLITIK NEGARA DARI KACAMATA SEORANG "PERMATA"...

parlimen

Baru-baru ini saya diberi peluang oleh Allah SWT untuk bertemu dan berbuka puasa dengan seorang pemimpin yang sangat saya sanjungi di sebuah hotel di Shah Alam. Sebetulnya saya sudah lama kepingin untuk bertemu beliau setelah sejak bertahun tidak bertemu.

Bertemu, berbual dan berbicara dengan beliau, seorang yang saya kenali sebagai “genius politik” menyingkap minda saya ke skop politik negara yang lebih meluas berdasarkan senario politik negara yang semakin “menakutkan”.

Budaya politik kebencian kini menghantui dunia politik negara, tidak dapat tidak, saya akui kesimpulan itu adalah satu kebenaran yang sangat jelas di sebalik perbualan kami sekitar hampir sejam di meja banquet hotel berkenaan.

Sedarkah kita bahawa budaya politik tidak sihat itu menghantui ramai aktivis politik di negara kita? Biarpun apa saja kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan, ia tetap dipandang buruk oleh sesetengah masyarakat yang terpengaruh dengan budaya politik negatif itu.

Hakikat budaya politik kebencian yang diyakini bermula sejak sebelum tahun 2008 itu merebak momentumnya hingga kini. Siapa yang memulakan budaya tersebut dan siapa pula yang terpengaruh dengan budaya itu? Agaknya?

Saya tidak mahu menuding jari pada pihak pembangkang mahupun ahli politik di dalam kerajaan. Siapa yang bertanggungjawab memulakan atau melaksanakan strategi politik kebencian itu saya serahkan pada rakyat Malaysia untuk menilai.

Cuma secara logiknya, kita dapat melihat siapa yang menimbulkan kebencian dan siapa pula yang “dibenci” dalam senario politik negara yang terkini, bukan?

Namun setidak-tidaknya, pihak yang menimbulkan kebencian itu masih lagi gagal mendapatkan kuasa politik di Malaysia, manakala pihak yang menjadi “mangsa” sengaja ditimbulkan kebencian terhadapnya itu masih lagi mendapat sokongan majoriti pengundi di negara ini.

Mujurlah masih ada lagi pengundi yang berfikiran rasional, bukan? Namun, apakah ada jaminan bentuk pemikiran masyarakat Malaysia itu tidak akan berubah dan terpengaruh dengan budaya politik kebencian itu? Akan kekal rasional selamanya, kah? Apa jaminannya?

Sekiranya dirujuk pada trend pengundi pada PRU ke-13 dan beberapa siri PRK yang lalu, apakah statistik pengundi muda menunjukkan suasana “selamat” bagi pihak yang ditohmah dengan seribu kebencian itu? Itulah realiti pengundi di masa hadapan nanti.

Pada pandangan saya, kita semua maklum bahawa di umur muda sebegitu, saat itulah kita tercari-cari arah tuju perjuangan politik masing-masing dan mungkin atas sikap “radikal”, mudah terpengaruh dan diperdaya propaganda politik kebencian, maka minda generasi muda di negara kita mudah sekali dikorupkan?

Apatah lagi di zaman serba “whatsapp”, facebook, twitter dan instagram ini, sikap malas mencari kebenaran yang sah oleh golongan muda dengan mengharapkan “maklumat dihujung jari” dikhuatiri telah merosakkan minda anak-anak muda kita dengan budaya politik sebegini.

Pada saya, agenda politik kebencian “puak itu” sudah berjaya dicapai sebanyak 60 peratus mempengaruhi minda “malas” anak-anak muda di negara ini, sama ada Melayu, Cina atau India, sama saja. Bila dihati mereka melekat dengan perkataan “benci”, apa saja yang dilakukan oleh pihak yang dibenci pastinya akan dilihat secara negatif, bukan?

Sebagai contoh, jika pemimpin yang ditimbulkan kebencian terhadapnya itu beribadah di depan Kaabah sekalipun, pastinya akan timbul persepsi negatif terhadapnya seperti “hendak menunjuk-nunjuk”, “riak”, malah ada yang menjadi mangsa “photoshop”, bukan?

malaysian-flag-650x400

Itulah hasil didikan politik kebencian. Biar apapun kebaikan atau jasa yang dibuat, pemimpin itu akan tetap dipandang negatif. Maklumlah, “mind set benci” yang sudah dipropagandakan sangat sukar untuk diubah, bukan?

Meskipun begitu, saya merasakan bahawa walaupun dikatakan sukar untuk mengubah “mind set” tersebut, mahu tidak mahu, kita semua bertanggungjawab untuk mengubahnya demi masa depan Islam, bangsa Melayu dan tanahair yang bernama Malaysia ini.

Usaha berkenaan amat perlu dilakukan di peringkat akar umbi masyarakat, pemimpin pertengahan dan seterusnya pemimpin politik atasan yang benar-benar sayangkan masa depan dan kestabilan politik di negara kita.

Hala tuju negara perlu ditetapkan sasarannya supaya seluruh rakyat di negara ini jelas dengan dasar-dasar yang dilaksanakan dan masyarakat yakin dengan hala tuju yang disasarkan itu mampu dijayakan dengan baik mengikut perancangan.

Selain itu, kita juga perlu mengubah “mind set” para kakitangan awam yang “korup minda”nya dan terpengaruh dengan sentimen kebencian tersebut terhadap pihak kerajaan supaya kembali menyokong dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan. Jadi, tidaklah nanti berlaku “yang di atas cakap lain, yang di bawah cakap lain”.

Paling utama, “mind set” kebencian di kalangan rakyat itu perlu diubah 100 peratus. Jika tidak dapat 100 peratus, dapat diubah sebanyak 90 peratus pun sudah dikira bagus. Bagaimana untuk melakukkannya, tanyalah Islam. Sudah tentu ada “jawapan”nya.

Pada pandangan saya, itulah masalah kritikal yang sedang dihadapi atmosfera politik negara yang terkini, sama ada di pihak kerajaan, mahupun pihak pembangkang. Lebih malang lagi, pihak pembangkang dilihat sangat gagal untuk menjadi “pembangkang yang sihat” sehingga tergamak tidak mempedulikan soal dosa dan pahala.

Sempena Ramadhan ini, marilah kita bermuhasabah diri. Kembali merenung jihad politik di negara kita, ke mana hala tujunya, bagaimana budayanya yang terkini dan apakah yang mampu kita lakukan selaku seorang Muslim berbangsa Melayu berwarganegarakan Malaysia.

Begitulah sedikit sebanyak hasil perbualan ringkas saya dengan seorang “permata yang dibenam ke dasar lautan”. Buah fikiran dan ketajaman mindanya masih lagi tajam seperti dulu, namun dipersiakan gara-gara nafsu serakah kuasa duniawi.

Tidak perlulah saya mendedahkan nama pemimpin berkenaan kerana “hanya jauhari yang mengenal manikam”, dan hanya mereka yang mengenali dirinya sahaja yang akan mengaku tentang kualiti yang ada pada beliau. Wallahu’alam.

Dari: MYKMU.NET

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik