Tuesday, June 2, 2015

SINGAPURA KINI MEMPUNYAI PELUANG MENYELSAIKAN ISU2 LAMA DENGAN MALAYSIA KATA DIPLOMAT VETERAN.

Malaysia dan Singapura kini berpeluang  menyelesaikan isu-isu tertunggak dan perbalahan mereka yang   berdekad-dekad lama.

Mantan Ketua Setiausaha Wisma Putra Tan Sri Kadir Mohamad berkata, walaupun mantan Perdana Menteri Singapura mendiang  Lee Kuan Yew telah lama bersara, beliau sangat mempengaruhkan dasar Singapura terhadap Malaysia.

Persetujuan bekalan air kepada Singapura, kes Pedra Bianca atau Batu Putih dan apa yang dikenali sebagai urusan jambatan bengkok adalah isu-isu yang merugikan Malaysia, kata Tan Sri Kadir dalam syarahan bertajuk Perhubungan Malaysia-Singapura: Isu-isu yang belum diselesaikan dan Prospek Masa Depan anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Tambahan pula, beliau menjelaskan, terdapat syak wasangka terhadap satu sama lain mengenai niat sebenar mereka sehingga ke hari ini.

Sambil mengakui bahawa bukan salah Singapura semata-matanya, beliau berkata republik itu boleh menjadi lebih fleksibel dan sensitif kepada kepentingan negara jiran apabila berunding pertikaian mereka.

Kadir berkata semua pandangan beliau dituliskan dalam buku karangan beliau 'Malaysia-Singapura Lima Puluh Tahun Perbalahan 1965 – 2015’.

Buku 364 muka surat itu mempunyai sembilan bab mengenai  maklumat latar peristiwa-peristiwa penting atau isu-isu seperti bekalan air, pertikaian mengenai kedaulatan Batu Puteh, dan  cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Walau bagaimanapun, menurut beliau mendiang Lee Kuan Yew  telah menentukan hala tujuan dan agenda hubungan dengan Malaysia sejak 50 tahun lepas.

"Saya mahu menjelaskan isu-isu utama yang menyebabkan turun naik hubungan antara Malaysia dan Singapura, 1965-2015, yang berpunca daripada pengaruh Lee terhadap kerajaan Singapura.

"Saya perlu mengenal pasti orang yang bertanggungjawab. Tidak ada cara yang lebih baik daripada menumpu kepada peranan Lee.

"Saya juga ingin memberitahu di sini bahawa Lee menaruh dendam terhadap  pemimpin Malaysia, dengan itu kesimpulan saya dan harapan saya adalah hubungan Malaysia-Singapura boleh menjadi lebih baik dalam 50 tahun akan datang kerana Lee tiada lagi, " katanya.

Tan Sri Kadir berkata apabila Singapura diberikan kemerdekaan pada 9 Ogos 1965 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tunku Abdul Rahman, Lee yang merupakan Ketua Menteri - menangis.

"Beliau berperasaan demikian pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di televisyen. Semua orang menyangka beliau sedih bahawa Singapura telah diusir, tetapi sebenarnya beliau kesal kerana hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia telah gagal. Beliau kesal kerana melakukannya dengan cara yang salah. Beliau mahu ‘Malaysian Malaysia’. Beliau mahu memerintah Melayu.

"Caranya adalah terlalu pantas . Beliau menyesal tidak dapat mencapai objektifnya. Mungkin beliau sepatutnya menunggu lebih lama, mungkin satu dekad kemudian, " jelas Kadir.

Tetapi sejak itu, Lee, yang meninggal dunia pada Mac tahun ini,  berpendirian keras terhadap kerajaan Malaysia.

Isu Air

Antara lain, Tan Sri Kadir menceritakan suasana tegang ketika siri rundingan mengenai bekalan air di antara kedua-dua negara yang berlarutan selama beberapa tahun sehingga ia berakhir pada tahun 2004 tanpa apa-apa perjanjian.

Di bawah tiga perjanjian berasingan yang ditandatangani pada tahun 1961, 1962 dan 1990 Singapura menerima air tawar dari Johor setiap hari. Perjanjian tahun 1961 tamat pada 2011 tetapi dua perjanjian terus berkuat kuasa sehingga tahun 2061.

Dalam pada itu, Singapura telah membangunkan bekalan air domestik dan menyatakan bahawa negara itu dan rakyatnya akan menjadi berdikari mengenai bekalan air menjelang tahun 2061 apabila semua perjanjian air yang ditandatangani dengan Malaysia  habis tempoh.

"Hasil daripada isu yang belum diselesaikan, Johor masih menjual air mentah pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen kepada Singapura dan membeli balik air dirawat pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

"Terdapat persepsi di Kuala Lumpur bahawa Singapura  mengaut keuntungan yang berlebihan apabila menjual air yang dirawat kepada pihak ketiga, iaitu kepada kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Singapura. Perjanjian 1961 tamat pada tahun 2011, manakala dua perjanjian lain yang berkuatkuasa sehingga 2061. Kita berharap pada masa itu, Johor dan Malaysia boleh mendapatkan perjanjian yang saksama untuk air kita," Kadir menerangkan.

Batu Puteh

Beliau juga memperihalkan pertikaian pemilikan Batu Puteh selama  tiga dekad. Penyelesaian dua hala menjadi mustahil apabila Singapura juga menuntut dua batu  tambahan di kawasan yang sama, iaitu Middle Rocks dan South Ledge.

Pada tahun 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berpangkalan di The Hague akhirnya memutuskan untuk memberi Batu Puteh, yang sebesar padang bola sepak berhadapan dengan Laut China Selatan, kepada Singapura. Middle Rocks telah diberikan kepada Malaysia manakala ICJ memutuskan kedua-dua negara berunding untuk membataskan sempadan maritim di kawasan itu bagi menentukan negara yang memiliki South Ledge.

Kadir adalah pemimpin delegasi Malaysia bagi kes ICJ ini dan juga untuk kes tahun 2001 yang Malaysia menang mengenai kedaulatan pulau-pulau Ligitan dan Sipadan di Sabah yang menyelesaikan  pertikaian dengan Indonesia.

“Jambatan Bengkok"

Mengenai jambatan yang dicadangkan oleh Dr Mahathir untuk menggantikan tambak besar, Kadir berkata Singapura sepatutnya  bersetuju dengan syor tersebut.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal mencapai apa-apa perjanjian dengan Singapura walaupun Dr Mahathir telah menggesa Putrajaya supaya tidak berganjak daripada pendirian itu.

Kadir, yang berkhidmat dengan Abdullah apabila cadangan pembinaan jambatan itu dibuat, telah memberikan pandangan beliau mengenainya dan menjelaskan pertikaian antara Jabatan Perdana Menteri dan Dr Mahathir ketika itu.

Syak Wasangka Antara Mereka

Memandangkan terdapat isu-isu yang belum diselesaikan, Kadir berkata adalah tidak menghairankan bahawa keadaan saling tidak percaya wujud antara kedua-dua negara.

Beliau menyifatkan dakwaan bahawa Malaysia mahu mencerobohi dan menakluki Singapura, sebagai merepek dan tidak berasas sama sekali.

"Malaysia tidak akan memberikan Singapura kemerdekaan jika itu hasratnya," kata beliau.

Sebaliknya, beliau menolak kebimbangan orang Melayu bahawa republik itu mahu melakukan perkara yang sama terhadap Malaysia dan menjadikannya Singapura yang diperbesarkan.

By:  Saiful Bahri Kamaruddin.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik