Wednesday, June 3, 2015

STRATEGI DAP BAWA HALA TUJU PR KETEPIKAN UNDI MELAYU/ISLAM - DR ZUHDI.

Strategi politik DAP menjelang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) yang lalu dilihat menjurus kepada pengabaian pengaruh undi Melayu. Perkara ini semakin terserlah mutakhir ini dengan serangan yang berterusan terhadap hukum-hukum Islam dan PAS itu sendiri. Selain daripada itu, DAP Sarawak dan Sabah pula diberi ‘restu’ untuk memainkan sentimen keagamaan, seterusnya memutuskan hubungan dengan PAS. Dengan memalapkan pengaruh undi Melayu, DAP dipercayai cuba mendominasikan PR secara tidak disedari.

Dalam konteks politik Malaysia, tiga segmen pengundi menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah gabungan parti-parti politik, iaitu segmen pengundi Melayu, segmen pengundi bukan Melayu (Cina dan India) dan segmen pengundi peribumi Sabah dan Sarawak yang bukan Islam. 

Berdasarkan kedudukan semasa, segmen pengundi Melayu adalah yang paling dominan iaitu 111 kerusi parlimen. Manakala kerusi yang boleh dimenangi oleh bukan Melayu ialah 96 kerusi dengan mengambil kira 34 kerusi yang pengundi bukan Melayu lebih 50% dan 55 kerusi yang pengundi bukan Melayu antara 30% hingga 50%. Selebihnya 22 kerusi yang mewakili bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak.

Dengan memperolehi sokongan besar segmen pengundi Melayu, sesebuah gabungan parti-parti politik boleh menguasai Putrajaya dengan majoriti tipis. Gabungan antara segmen pengundi Melayu dan segmen pengundi bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak pula memungkin sesebuah gabungan memperolehi majoriti dua pertiga parlimen. Perkara inilah yang telah diusahakan oleh BN dalam PRU 13 yang lalu.

Hakikat ini menunjukkan segmen pengundi Melayu adalah teras kestabilan politik Malaysia, justeru mana-mana gabungan parti-parti politik tidak boleh mengabaikan segmen pengundi Melayu ini.

Sebaliknya DAP dipercayai cuba membawa PR melaksanakan strategi yang di luar kebiasaan , iaitu mengabaikan segmen pengundi Melayu dan menumpukan kepada segmen pengundi bukan Melayu dan segmen pengundi bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, gabungan segmen pengundi bukan Melayu dan segmen bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak belum memadai, memerlukan sedikit sokongan segmen pengundi Melayu tidak kurang 20%. Dengan strategi ini DAP mengunjurkan PR boleh menguasai sehingga 120 kerusi parlimen.

Strategi mengabaikan pengundi Melayu seumpama ini memungkin PR menang tetapi dengan pengaruh politik Melayu yang minoriti. Situasi ini sama seperti di Perak selepas PR berjaya menguasai negeri itu pada tahun 2008, di mana gabungan DAP, PKR dan PAS berjaya membentuk kerajaan, tetapi dengan pengaruh politik Melayu yang minoriti. Situasi yang sama boleh berlaku sekiranya Projek 16 September 2008 yang diusahakan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim berjaya. Ketika itu jumlah Ahli Parlimen PR Melayu hanyalah 43 dari 112 yang diunjurkan.

Strategi DAP dalam PR ini dengan mengabaikan segmen pengundi Melayu, amatlah rapuh terhadap kestabilan politik Malaysia sebagaimana yang terbukti dengan keruntuhan kerajaan PR di Perak tahun 2009 sebelum ini. Pengabaian segmen pengundi Melayu ini juga boleh membangkitkan sentimen perkauman yang boleh menjurus kepada pertelingkahan kaum di Malaysia. Oleh sebab itu, sama ada BN atau PR perlu menjadikan segmen pengundi Melayu sebagai teras kekuatan politik mereka. Semangat inilah yang terkandung dalam empat tonggak Perlembagaan Malaysia yang menjadi dasar utama PR.

Bagaimanapun, semangat itu tidak dihayati oleh DAP dengan mengapi-apikan banyak isu yang dilihat cuba mengabaikan segmen pengundi Melayu. Pendirian seperti inilah manjadi punca sebenar keretakan PR, kerana strategi DAP ini sudah pasti tidak mendapat laluan oleh PAS yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Oleh kerana Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dilihat sebagai penghalang utama, beliau telah diserang habis-habisan oleh DAP. Lebih daripada itu, DAP menginginkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ditumbangkan dalam Muktamar PAS yang sedang berlangsung, sekaligus menaikkan barisan kepimpinan baru yang boleh mengiyakan strategi tersebut.

Dari: AIDCNews.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik