Dengan kemenangan barisan proulama, maka akan menjadi makin mantaplah usaha untuk merealisasikan perjuangan asal ini.

Saya ucapkan setinggi tahniah. Semoga di bawah pimpinan berwibawa Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisannya, Malaysia akan menjadi bertambah aman dan sentosa.

Ketika Abdul Hadi dihina oleh DAP dan mahu memutuskan hubungan dengan beliau sebagai presiden parti tetapi masih mahu bekerjasama dengan Pas, saya dan akan-rakan berdoa supaya beliau dikuatkan iman dan semangat untuk terus memimpin partinya.

Semua orang tahu bahawa DAP telah cuba untuk campur tangan dalam urusan parti Pas. Saya dan rakan-rakan telah rasa tersangat gusar, takut-takut ada pembelot dalam Pas yang akan termakan dengan cubaan melampau DAP itu.

Usaha DAP ini mungkin telah berjaya sekiranya barisan pimpinan proulama tidak kental di dalam memerangi anasir tersebut. Abdul Hadi pernah berkata bahawa beliau tidak akan mengheret pengikut-pengikutnya ke neraka. Syabas!

Orang Melayu di Tanah Melayu ini hanya mempunyai dua parti sahaja untuk memperjuangkan nasib mereka iaitu parti UMNO dan parti Pas. Malangnya kedua-dua sayap Melayu ini tidak bersatu sehinggakan bangsa Melayu menjadi lemah.

Banyaklah usaha setahu saya telah dilakukan untuk merapatkan kerjasama, persefahaman dan silaturahim antara mereka tetapi sehingga kini hasrat ini belum tercapai.

Apakah lagi yang mesti dilakukan supaya bangsa saya ini mengambil yang jernih dan membuang yang keruh untuk dapat duduk bersama membangunkan agama dan bangsa? Tolak ansur mesti diutamakan kalau hendak bersatu. Musyawarah mestilah diutamakan, dan kepentingan diri sendiri hendaklah diketepikan.

Kalau ini boleh dilakukan maka akan menjadi gahlah kita. Menyalahkan orang lain dan membenarkan diri sendiri akan membinasakan kita.

Puluhan tahun tanah airku merdeka,
tapi bangsaku masih bersengketa,
berpecah dua dan tiga,
tidak lagi sekata.
Mega bermendung di langit tinggi,
bumi dipijak terasa rekah,
ombak mengganas di laut luas,
taufan melanda tanpa arah.
Di timur matahari tidak bersinar,
di barat cepat terbenam,
di utara tengkujuh melanda,
di selatan api terpadam.
Kita pun memakai kelubung suram,
warnanya hitam, pekat kelam!
Tidak nampak bangsaku ini,
pada bara yang kian mengunggun,
menunggu membakar mereka.
Lima puluh tahun tanah airku merdeka,
tapi jiwa bangsaku masih berduka.
Saya mohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya mencari jalan kesatuan demi kedaulatan agama dan bangsa.