Sunday, June 7, 2015

TANDA CINTA NEGARA.




Baca Rukun Negara dan nyanyi Negaraku, itu bukan satu-satunya tanda setia kepada negara.  

Kesetiaan adalah melakukan apa yang perlu dilakukan mengikut Rukun Negara, kehendak agama, adat budaya dan nilai moral.  Malangnya semakin banyak rakyat yang melakukan perkara yang dilarang, termasuk dalam soal kedudukan raja-raja dan agama Islam, serta hak istimewa Melayu.  

Perbuatan mencerca, menghina atau mempertikaikan fungsi serta kuasa raja tidak boleh dihalalkan begitu sahaja. Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan yang berbau hasutan dan boleh memporak-porandakan rakyat boleh saja dilontarkan tanpa mengira sama ada ia menyakitkan sesiapa. 

Jika semua rakyat Malaysiatanpa mengira keturunan dan agama menghayati elemen dalam sumpah setia serta lagu Negarakutentu tidak akan tercetus lepas laku mempertikaikan kuasa sultan dalam urusan yang sememangnya dalam bidang kuasa baginda. Dalam lagu Negaraku terserlah betapa tingginya institusi diraja sebagai payung kepada rakyat. 

Rakyat Malaysia juga tentu ingat akan Rukun Negara kita. Rukun lima perkara itu menjadi teras perpaduan untuk membentuk satu negara tanpa mengira agama dan bangsa. 

Tertera pada ikrar Rukun Negara ialah janji rakyat untuk menumpukan seluruh tenaga dan usaha bagi mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat. Rukun Negara meletakkan 'Kepercayaan Kepada Tuhan' sebagai prinsip pertama. Begitu pentingnya setiap rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa berlandaskan hidup kepada agama. 

Tanpa agama, manusia tidak percaya konsep ketuhanan, lantaran kehidupan yang dilalui tanpa sebarang pegangan dan juga kepercayaan. Maka hidup akan menjadi tidak terarah sehingga boleh saja menjadikan negara porak- peranda. 

Menariknya jika dilihat semula susunan prinsip Rukun Negara yang menjadikan 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara' sebagai prinsip kedua selepas kepercayaan kepada Tuhan.  

Perlu difikirkan secara teliti mengapa kesetiaan kepada raja disatukan pula dengan negara. Pastinya definisi kesetiaan kepada raja dan negara amat berkait rapat di mana semua rakyat dituntut setia kepada raja dan penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara. 

Hakikatnya pakej prinsip Rukun Negara yang turut menggariskan Kedaulatan Undang-Undang; Keluhuran Perlembagaan; dan Kesopanan dan Kesusilaan amat berkait rapat. 

Kelima-lima elemen itu saling berkait dan ia menjadi asas paling penting ke arah membentuk negara yang benar-benar merdeka dan rakyat yang sentiasa harmoni serta saling percaya- mempercayai. 

Perbuatan memperlekehkan kuasa raja sekali gus kesetiaannya kepada raja boleh saja dipersoalkan atau diragui. Semestinya apabila institusi raja diusik dengan kaedah yang tidak betul, apa pula status pelakunya terhadap negara.  

Begitu juga dengan prinsip Kedaulatan Undang-Undang yang secara jelas telah dilanggar oleh mereka mempertikaikan kedudukan raja-raja dan agama Islam, serta Keluhuran Perlembagaan yang secara jelas tidak dihormati apabila perbuatan itu dilakukan.   

Setiap tatalaku dan kata-kata mesti mencerminkan bahawa tiada sebarang keraguan tentang kecintaan rakyat terhadap negara bangsa serta institusi-institusi yang perlu diberi penghormatan dan pengiktirafan. 

Setiap tuntutan undang-undang mesti dihormati manakala ikatan sosial yang terjalin antara rakyat yang berbeza warna kulit dan rupa tidak boleh dirungkai semata-mata kerana limanegeri menyerah kepada politik yang berbeza. 
Dari: Bicaramentari.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik