Laungan itu berterusan ketika pemimpin proulama melangkah masuk ke dalam dewan seorang demi seorang, seolah-olah petanda awal kebangkitan golongan ulama dalam Pas yang sejak 2011 dilihat ‘kehilangan suara’ selepas barisan kepemimpinan parti dikuasai golongan profesional.

Abdul Hadi yang sejak awal lagi dilihat tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2002 menewaskan Ahmad Awang.

Walaupun mendapat lima pencalonan dari kawasan-kawasan berbanding Abdul Hadi yang memperoleh lebih 100 pencalonan, Ahmad tetap mahu mencabar Ahli Parlimen Marang tersebut.
Khabarnya, Ahmad tahu beliau akan tewas tetapi bertanding juga bagi mengukur sejauhmana sokong­an ahli Pas terhadap Abdul Hadi.

“Kalau dia dapat undi sekitar 40 peratus daripada jumlah perwakilan yang mengundi pun sudah cukup kerana ini akan dijadikan isyarat cengkaman Abdul Hadi semakin longgar,” kata seorang pemimpin Pas kepada penulis.

Tetapi impian itu tidak tercapai apabila Ahmad hanya memperoleh 233 undi berbanding Abdul Hadi yang menguasai 928 undi. Nasib Mat Sabu yang dianggap pasangan regu Ahmad lebih malang, apabila sekadar memperolehi 279 undi dan gagal mempertahankan kedudukan sebagai Timbalan Presiden yang di­sandang sejak 2011.

Kekalahan Mat Sabu sudah dijang­ka oleh banyak pihak berikutan tindak-tanduk beliau yang dilihat tidak selari dengan Abdul Hadi. Tindakan Mat Sabu berada sepentas dengan pemimpin DAP juga dikatakan menyinggung perasaan ahli-ahli Pas. Ini memandangkan DAP telah melakukan perbuatan yang dianggap sama sekali tidak menghormati Abdul Hadi sebagai Presiden Pas.

Pada pandangan mereka sepatutnya Mat Sabu merenggangkan hubungan dengan DAP sebagai tindak balas.
Gelombang penguasaan ulama turut membadai pemilihan jawatan Naib Presiden apabila dua penyan­dangnya, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa turut ‘hanyut dibawa arus’.
Husam dan Salahuddin yang masing-masing memegang jawatan itu sejak 2005 dan 2009 terpaksa akur dengan kebangkitan kumpulan proulama.

Tiga muka baharu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Kemenangan Idris bertepatan dengan populariti beliau yang dilihat tegas dalam mempertahankan perjuangan Islam Pas manakala Iskandar dan Mohd. Amar pula dilihat antara pemimpin yang lantang menentang kebiadaban DAP.

Bagaimanapun kekalahan Salahuddin sedikit mengejutkan banyak pihak kerana beliau dilihat tidak mempunyai banyak kontroversi dalam pertembungan antara proulama dan profesional.
Malah beliau antara yang mendapat pencalonan tertinggi dari kawasan-kawasan. Namun Salahuddin terpaksa akur dengan kehendak perwakilan.

Kekalahan Husam sudah dijangka berikutan populariti beliau yang merudum sejak tidak lagi berada dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Bagi Dr. Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Datuk Hatta Ramli, Dr. Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, mereka pasti tahu punca kegagalan mempertahankan kedudukan dalam Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas.

Keghairahan terlalu mempertahankan tahaluf siyasi sehingga didakwa tidak mempedulikan dasar Pas dan membuat kenyataan yang dikatakan merendah-rendahkan ulama menjadi punca kekalahan me­reka.
Kesimpulannya, gelombang proulama yang melanda Pas menjadi bukti tindak balas ahli-ahli parti itu terhadap kebiadaban dan keceluparan DAP serta ‘kerja-kerja bodoh’ yang dilakukan oleh sesete­ngah pemimpin Pas sendiri.
Dari: Utusan.