Saturday, June 6, 2015

TUN MAHATHIR DIBERI TEMPAT DI PENTAS PAS UNTUK MENERUSKAN UCAPANNYA, KATA TIMBALAN PRESIDEN PAS YANG BARU!!!


PAS bersedia menawarkan pentas kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memberi penerangan mengenai isu yang membelenggu rakyat selepas bekas perdana menteri itu dihalang berbuat demikian dalam satu majlis semalam.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dr Mahathir tidak seharusnya menerima layanan sedemikian kerana jasa yang disumbangkannya selama 22 tahun menerajui kepimpinan negara.

“Kita juga menerima berita mengejutkan. Dr Mahathir tidak dibenarkan berucap, dibawa polis waktu mula nak berucap," katanya merujuk program Dialog PM bersama NGO bertema ‘Nothing2Hide’ pagi semalam.

“PAS tawarkan tempat kepada Dr Mahathir. Kalau Dr Mahathir tak dapat tempat, tak apa, kita tawar pentas kita.

“Saya simpati dengan Dr Mahathir, dia bekas perdana menteri lama negara kita dan tak sepatutnya dia dilakukan sedemikian,” katanya pada satu ceramah khas bersempena Muktamar PAS kali ke-61 yang diadakan di Stadium Kuala Selangor malam tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam menegaskan dialog yang sepatutnya dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur itu dibatalkan kerana ancaman keselamatan.

Katanya, selepas meneliti segala maklumat diterima, beliau mendapati ancaman itu cukup serius hingga membawa kepada pembatalannya walaupun Najib tidak gembira dengan keputusan itu.

Khalid juga menafikan keputusannya membatalkan forum anjuran pertubuhan sukarelawan peguam SukaGuam itu mempunyai kaitan politik.

Mengulas dakwaan itu, Tuan Ibrahim berkata, Malaysia kini tidak lagi selamat kepada perdana menteri.

“Perdana menteri tak boleh hadir, alasan yang diberi, faktor keselamatan. Maknanya, Malaysia ini perdana menteri pun tak selamat.

“Beliau tak hadir kerana Dr Mahathir yang hadir. Akhirnya Dr Mahathir ke depan, baru nak berucap, beliau ditahan,” dakwanya.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) supaya mengukuhkan hubungan mereka dalam meneruskan usaha menuju ke Putrajaya.

Katanya, PAS kini tidak berdepan dengan masalah persepsi kaum Cina tetapi orang Melayu yang semakin menolak sokongan kepada Umno.  

“Kita sedang berada di tahap yang kritikal. Seluruh parti dalam negara kita, khususnya PR, perlu diperkasakan. Setiap parti - PAS, DAP dan PKR - mesti kuat. Satu parti yang kuat mungkin sampai ke Putrajaya.

“Kita bukan ada masalah dengan perubahan pengundi masyarakat Tiong Hua, mereka cukup bagus.

“Yang kita sedang hadapi, membina keyakinan pengundi Melayu yang hilang keyakinan pada Umno tetapi mesti yakin pada PAS. Maka kita parti politik pilihan yang akan memperjuangkan Melayu dan umat Islam di negara ini,” katanya.

Ditanya mengenai dasar kepimpinannya jika masih bersama PR seperti mana yang ditunjukkan penyandangnya, Mohamad Sabu, Tuan Ibrahim berkata, ia bergantung pada keadaan.

Katanya, walaupun sebilangan golongan progresif kini tidak lagi berada dalam Jawatankuasa PAS Pusat namun mereka tetap dapat memberi sokongan kepada usaha yang dimainkan.

“Usaha yang bersama dengan rakyat, kita teruskan. Tak ada masalah, mungkin dalam bentuk berdemonstrasi. Kalau ada keperluan, waktu demonstrasi, kita demonstrasi. Ada keperluan kitahantar memorandum, kita hantar memorandum.

“Mohamad pun bukan keluar. Walaupun dia tak pegang jawatan, dia tetap bersama-sama. Ramai lagi kaki demonstrasi yang lain. Kitalahirkan kaki demonstrasi yang lain. Kita pun bukan meminggirkan mereka, tetapi ini soal perwakilan (yang memilih),” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed memuji salah seorang pemimpin Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang masih setia kepada kepimpinan ulama.

Katanya, situasi itu memalukan ahli PAS yang beragama Islam dan masih menolak kepimpinan ulama.

“Dia dulu, awal-awal kita lantik berkata, ‘saya bersama-sama kepimpinan ulama’. Itu pada 2008. Malulah kita kalau orang PAS tak sokong dasar kepimpinan ulama.

“Dia bukan Islam tetapi dia boleh mendukung apa yang kita perjuangkan sampai ke hari ini tentang kepimpinan ulama itu.

Bukan dia seorang. Ramai ahli DHPP yang begitu - mahir, faham dan boleh berceramah tentang undang-undang hudud,” katanya pada majlis yang turut dihadiri 3 naib presiden baharu.

Mahfodz turut mengingatkan umat Islam agar tidak sewenang-wenangnya menolak pelaksanaan hudud kerana ia menjadi kewajipan kepada umat Islam.

Katanya, golongan yang tidak memahami hudud seharusnya tidak memberi penerangan mengenai hukum syariah itu kerana ditakuti ia akan mengundang dosa.

“Kalau kita sebagai orang Islam, kalau mengikuti kuliah formal atau tidak formal, akhirnya orang Islam seluruhnya boleh faham dan beri sokongan tak berbelah bahagi kepada hasrat kerajaan negeri Kelantan.

“Kita rasa malu kalau orang Islam tak faham dan kemudian menentang hudud kerana hukum untuk melaksanakan hudud kepada orang beriman itu hukumnya wajib tak boleh dipersendakan.

“Kalau tak setuju pun, diam-diam saja, jangan cakap. Pasal bila kita cakap, kutuk dan tak suka hudud, tak pasal-pasal dengan penjelasan tak betul, maka orang ramai akan kutuk hudud,” katanya. – 6 Jun, 2015. 

NOTA: 

Adakah PAS di bawah barisan kepimpinan baru sedang 'mengusahakan' sesuatu untuk melekatkan parti itu dengan UMNO, sepertimana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PARASIT PAS yang menjadikan Anwar Ibrahim sebagai gam perekat antara PAS dengan DAP pada tahun 2008?

Mahathir berucap di pentas PAS bukanlah perkara baru. Ketika dipecat dari UMNO oleh Tunku Abdul Rahman pada penghujung 1960-an, Mahathir menggunakan pentas PAS untuk berucap. Begitu juga ketika dia keluar dari UMNO pada zaman pentadbiran Abdullah Badawi, pentas PAS juga jadi medannya. 

Apakah akan ada tukang jolok, tukang hasut, tukang batu api yang menyamar sebagai pro-Mahathir akan menjolok orang tua itu untuk meneruskan konflik yang duk ada ini walaupun orang tua itu sudah menunjukkan kekendurannya? Apakah pihak yang akan kehilangan banyak perkara sekiranya orang tua itu menyelesaikan masalahnya dengan Najib akan terus menghasut dan mengapi-apikannya seperti yang berlaku dua hari sudah yang kemuncaknya adalah semalam di PWTC?
Dari: TFK.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik