Tuesday, July 28, 2015

GERAKAN POST ISLAMISM SEDANG MENGKHIANATI PAS.

Lama sebelum ini dalam wacana tulisan dan lisan, saya telah menyebut bahawa telah wujud satu kumpulan yang cuba membawa satu aliran pemikiran baru dalam PAS yang disebut gagasan Post-Islamism, juga dikenali sebagai Progressive Muslim, American Islam dan Liberal Islam. 

Gagasan pemikiran global yang bermula dekad 1990 an ini telah menyerap dalam PAS khususnya semasa era reformasi, seterusnya cuba melakukan ‘grand design’ terhadap tampuk kepimpinan PAS termasuklah dalam Muktamar PAS kali ke 61 yang terkini, cuba menjatuhkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. 

Semenjak itu, berlaku perpecahan di dalam PAS dan semakin memuncak pada hari ini.

Lama sebelum ini dalam wacana tulisan dan lisan, saya telah menjangkakan kumpulan ini berusaha untuk menubuhkan sebuah entiti politik baru sekiranya usaha mereka untuk menguasai PAS dalam Muktamar PAS ke 61 baru-baru ini gagal. 

Menjelang Muktamar PAS tahun 2014 yang lalu, satu pertiga dari ‘bongkah ais’ kumpulan ini muncul atas nama Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), manakala dua pertiga lagi masih tenggelam bawah permukaan. 

Bagaimanapun, di ambang Muktamar PAS baru-baru ini, dua pertiga dari ‘bongkah ais’ itu semakin kelihatan sehingga menjadikan pertembungan dalam muktamar tersebut umpama pertembungan antara satu blok dengan satu lagi blok yang lain.

Lama sebelum ini dalam wacana tulisan dan lisan, saya menyatakan DAP begitu mesra dengan gagasan pemikiran yang dibawa oleh kumpulan ini sehingga tokoh-tokoh luar negara yang cenderung kepada gagasan pemikiran ini telah ditaja untuk datang ke Malaysia bagi mengukuhkan kumpulan ini. 

Gagasan pemikiran ini yang membawa pendekatan keadilan Islam tanpa pelaksanaan syariah, mengabaikan polisi moral yang dianggap menerjah hak asasi individu dan meminggirkan amar maaruf nahi munkar yang dikatakan oleh mereka tidak tasamuh, sememangnya menyenangkan DAP berbanding dengan PAS yang asal. 

Dapat dilihat DAP dengan penuh mengharap jaluran ini menang dalam Muktamar PAS baru-baru ini.

Lama sebelum ini dalam wacana tulisan dan lisan, saya telah meramalkan entiti politik baru yang terbentuk selepas kumpulan ini kalah dalam Muktamar PAS akan bergabung dengan PR untuk mengambil tempat PAS, dan PAS akan terpelanting daripada gabungan itu. 

Gabungan ini nekad tidak memerlukan PAS, kerana mereka khususnya DAP mengunjurkan menawan Putrajaya hanya dengan sokongan segmen pengundi bukan Melayu, segmen pengundi pribumi bukan Islam Sabah/Sarawak dan sedikit peratusan segmen pengundi Melayu. 

Unjuran seperti ini begitu ditentang oleh PAS sebelum ini, kerana menjadi politik negara tidak stabil, disebabkan menguasai segmen pengundi Melayu adalah teras kepada mana-mana gabungan.

Selepas Muktamar PAS ke 61 yang menyaksikan kumpulan ini kalah, PasMa telah membuat satu kenyataan bahawa mereka sedang mengusahakan penubuhan sebuah parti politik baru seterusnya membentuk gabungan, yang akan diumumkan selepas Eidul Fitri. 

Rentetan daripada itu, DAP mengumumkan PR telah terbubar dan mereka sedang mengusahakan sebuah gabungan baru yang didasarkan atas semangat muafakat PR. 

Serentak dengan itu pula, satu roadshow ke seluruh negara yang bermula di Parlimen Bakri, Johor, malam tadi telah mewarwarkan keperluan kepada sebuah wadah baru sebagai wahana untuk kumpulan yang kalah dalam Muktamar PAS baru-baru ini. 

Berikutan dengan itu, beberapa pimpinan kawasan dan cawangan mula mengisytiharkan keluar PAS. Adakah semua ini kebetulan?

Saya percaya usaha sedang dilakukan secara besar-besaran membawa 20% daripada sejuta ahli PAS untuk mendukung entiti baru politik yang bakal ditubuhkan nanti. 

Peratusan 20% diunjurkan kerana dalam Muktamar PAS yang lepas, undi teras yang diperolehi oleh kumpulan ini ialah sekitar 20%. 

Selain daripada itu, dipercayai kawasan-kawasan PAS tertentu yang mencalonkan kumpulan ini sebelum muktamar lepas, akan mengsytiharkan keluar PAS secara kolektif untuk menggambarkan PAS sudah hilang sokongan. 

Bersyukur kepada Allah, kesemua senario ini dapat saya telaah dan telah saya kemukakan kepada umum sebelum ini. 

Malah saya sering ulangi selepas Muktamar PAS, situasi perpecahan yang berlaku kepada Fazilet Party di Turki pada tahun 2002 akan berlaku kepada PAS.

Dari: AIDCNews.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik