Sunday, July 12, 2015

HAI MELAYU, TERUSKAN BERTELINGKAH.


Dalam e-melnya itu Rahman berkeluh-kesah tentang nasib Melayu Singapura yang terpinggir melalui permainan PAP. Apa yang diluahkan Rahman bukanlah hal baharu. Keluh-kesah sebegitu sudah banyak diceritakan.


Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengangkat martabat Melayu Singapura. Sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur. Semua pintu seakan-akan tertutup bahkan boleh dianggap sebagai dikunci mati.


Atas sebab itu, beliau mahu berkongsi perasaan dan mungkin boleh disebut sebagai kealpaan bangsanya yang meletakkan orang Melayu dalam kedudukan sekarang, agar dapat dijadikan teladan.


Menurut Rahman, PAP sangat bijak mengunakan taktik serampang dua mata. Mula-mula mereka melaungkan konsep sama rata. Tidak kira bangsa, bahasa dan agama, semuanya sama rata. Orang Melayu tertipu dengan muslihat bijak itu. PAP pun menang dengan undi Melayu. Apa yang terjadi sekarang?


Apabila menyedari penambahan bilangan orang Melayu, PAP mengikut versi Rahman, mengimport pula orang asing dari China, Taiwan dan Hong Kong bagi menyeimbangkan kedudukan.


Beliau turut merujuk fakta semakin banyak "orang Malaysia tertentu" diberikan kerakyatan dan taraf penduduk tetap. Mereka mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan. Bagi menyokong hujahnya, Rahman mengepilkan laporan Malaysian Insider pada 30 Jun lalu bertajuk, "Mengucapkan selamat tinggal kepada Malaysia." Menurut siasatan portal itu, 30 hingga 50 permohonan melepaskan taraf kewarganegaraan Malaysia diterima setiap hari di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura.


Saban tahun, jumlah rakyat Malaysia yang menjadi warganegara republik itu terus meningkat. Pada 2012, sebanyak 20,693 kewarganegaraan diberikan kepada penduduk baharu Singapura.


Dikuburkan

Portal itu turut menemu bual dua rakyat Malaysia (Daphne Lim dan Saranee Joseph-bukan nama sebenar) yang kini menjadi warganegara Singapura yang menyatakan mereka menukar kerakyatan untuk mendapatkan kehidupan lebih baik. Begitulah, terdapat dua sudut pandang berbeza. Kedua-dua rakyat Malaysia ini menganggap pemberian kerakyatan sebagai keistimewaan. Orang Melayu Singapura pula melihatnya sebagai gerakan politik untuk terus menekan mereka.


Bukan itu sahaja, menurut Rahman, banyak rakyat Malaysia tertentu mendapat biasiswa ke universiti Singapura. Beliau berasakan layanan kepada orang asing ini lebih istimewa berbanding kepada anak Melayu tempatan. Usah ceritalah tentang pengambilan pegawai tinggi tentera, dalam kerajaan dan GLC.


Rahman turut menyatakan bahasa Melayu yang dijadikan Bahasa Kebangsaan sudah dikuburkan. Sudah hilang. Hanya dua yang kelihatan digunakan iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin.


Katanya, sekolah Melayu sudah lama ditutup tetapi sekolah Cina masih dikekalkan. Parti politik Melayu terkial-kial hendak hidup kerana sudah tidak ada lagi kawasan majoriti Melayu. Melayu sudah dipecah-pecahkan. Setiap blok rumah pangsa, bangsa bukan Cina hanya dihadkan kepada 30 peratus sahaja. Jadi, semua orang Melayu tidak boleh tinggal dalam satu blok. Menteri Melayu hanya satu. Baru-baru ini ditambah satu lagi sedangkan orang India ada empat menteri Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri.


Apa yang diceritakan oleh Rahman ini tiada bezanya dengan pendedahan oleh Profesor Dr. Lily Zubaidah Rahim dalam bukunya, Singapore Dilemma in the Malay World,” Routledge Taylor & Francis Group, 2009.


Lily Zubaidah telah dibuang dari Singapura kerana mengkritik kerajaan PAP. Beliau menjadi profesor di Sydney University, Australia. Banyak yang dibangkitkan oleh Lily yang boleh dijadilkan pengajaran. 


Antaranya selepas Yusof Ishak menjadi Presiden (9 Ogos 1965 – 23 November 1970), tiada lagi orang Melayu menjawat jawatan itu. Rumusan yang boleh dibuat ialah pelantikan Yusof Ishak hanyalah gula-gula bagi menarik sokongan orang Melayu pada ketika itu.


Singapura kepada Lily, tidak lebih hanya sebuah negara yang mengamalkan diskriminasi. Konsep sama rata dan meritokrasi tidak wujud apabila melibatkan orang Melayu. Mengakhiri keluh-kesahnya, Rahman menulis “Wahai Melayu Malaysia bersatulah. DAP dah tunjuk kuasa. Semoga Allah lindungi Malaysia daripada kekuasaan DAP hipokrit.”


Asas penting mendaulatkan Melayu ialah perpaduan. Tetapi malangnya politik Melayu itu sekarang sedang diamuk gelora sehingga ada yang menyifatkannya sebagai masa gelap politik. Dari tahun ke tahun walaupun mengetahui hayat kuasa di hujung usia, kita lebih suka mempamerkan perpecahan.


Kita tahu perpecahan adalah racun mematikan bangsa ini tetapi kita seperti tidak berdaya pun untuk menangkis asakan adu domba dan fitnah. Terlebih lagi kita terlalu mudah termakan umpan anasir asing.


Kita kalah sebelum berjuang. Kita selalu gagal kalau tidak pun ragu-ragu untuk mempertahankan pemimpin yang kita sendiri pilih melalui sistem demokrasi yang ulet, teruji dan panjang.


Sesungguhnya kita merindukan pemimpin pelbagai peringkat yang mempunyai wawasan jauh dengan cara pandang antisipatif, bukan reaktif. Kita tentu sekali tidak memerlukan pemimpin bergaya pemadam kebakaran. Hanya apabila ada kebakaran, baru bergerak memadamkannya.


Kita bertekad mahu mengekalkan kuasa tetapi kita suka bertelingkah sedangkan orang lain terus tegap bersatu menuju ke Putrajaya. Kita ada wawasan untuk melangkah jauh tetapi terlihat malu-malu bertindak agresif bahkan mudah terganggu oleh gerakan licik musuh sedangkan politikus lain kuat bekerja, berdisiplin, tekun dan nekad dalam perjuangan.


Mengapa tidak? Jadilah angkuh seperti si tokong Pulau Pinang, jika perlu. Atau jadilah licik seperti PAP, jika perlu demi mengekalkan kuasa Melayu.

Dari: UtusanOnline.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik