Sunday, July 26, 2015

KEMARUK KUASA MENGUNDANG MALAPETAKA TERHADAP ISLAM....

ustaz shuhaib ar-rumy selamat isma melaka


SEORANG muslim jelas sedari mula hidupnya bahawa ia ada misi besar dalam sebuah perjalanan yang panjang untuk menuju Allah SWT. Apa yang perlu dia lakukan untuk melalui kehidupan ini dengan baik adalah mengikut landasan Islam yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW.

Islam itu bukanlah barang hiasan yang dia boleh pilih ikut suka hati. Islam adalah tanggungjawab yang dia mesti tunaikan sebaiknya dan dikebumikan bersama jasadnya.

Rasulullah membawa sebuah perubahan besar dalam tamadun kemanusiaan. Perubahan itu mengubah cara berfikir, cara makan minum, cara berkahwin dan cerai, cara jual-beli dan hutang, cara mengurus dan mentadbir negara dan cara menjalani kehidupan ini berasaskan syariat Allah.

Suatu perubahan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan dalam tempoh 23 tahun telah berjaya dibuktikan oleh Rasulullah dan para sahabat baginda. Perubahan ini menterjemahkan terus teori nas-nas kepada bukti hidup di atas bumi yang dicatat kemas oleh sejarah.

Dalam konteks politik di Malaysia, seorang muslim wajib menilai semua peristiwa dan juga krisis politik berdasarkan neraca Islam dalam membuat pendirian yang jelas. Kita menilai dan mengukur individu dan juga parti-parti itu mengikut kaedah fiqh Islam dan juga Siyasah Syariah untuk membina pendirian berkawan mahupun bermusuh.

Halal dan haram bukan hanya pada makan minum maupun hubungan lelaki dan perempuan. Hubungan politik pun ada hukum halal dan haramnya yang terang. Kaedah dan menilainya jelas digariskan oleh Syarak.

Politik Islam memiliki objektif utama iaitu menegakkan Islam dan mengurus tadbir dunia dengan berpandukan Islam. Ini adalah maslahah dalam penglibatan politik mana-mana parti Islam. Maslahah yang Islam ambil kira dan diletakkan sebagai pemutus adalah maslahah yang membawa kebaikan kepada umat Islam secara keseluruhan.

Maslahah bukan hanya menang pilihan raya dan membentuk kerajaan baru yang didakwa lebih adil dan cekap. Maslahah adalah memastikan kedaulatan Islam terpelihara dengan sempurna tanpa sebarang cubaan untuk mencemarinya.

Jika mana-mana individu mahupun parti dan gerakan yang tersilap langkah dalam perhitungan ini maka itu merupakan paku terakhir di atas kerandanya. Kemaruk dengan kemenangan palsu atas nama menjatuhkan kezaliman, sedangkan mereka sedang membantu musuh membina sebuah kota tirani yang lebih zalim dan mereka kelak akan dikuburkan dalam kota gelap itu.

Akhirnya, mana-mana parti yang berasaskan kepada ideologi sekular yang memerangi Islam dan syariatnya, atau kumpulan pendukung liberal yang menolak Allah sebagai pentadbir alam, maka parti dan kumpulan ini tiada langsung legitemasi untuk wujud di atas muka bumi maupun di bawah langit.

Bersekongkol dan membantu mereka akan membawa kehancuran dan malapetaka kepada kepimpinan Islam. Malapetaka itu kelak bukan sekadar melanda kepada mereka yang gila kuasa sahaja, tetapi ianya turut meliputi kita seluruh umat termasuk mereka yang diam hanya memerhati.

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (Al-Anfal: 25)

Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik