Saturday, July 25, 2015

KUBURKAN DAP DAN SEKUTUNYA DALAM PRU14...

SATU pemerhatian yang saya dapat buat mengenai parti rasis cauvinis yang bongkak ini adalah betapa para pemimpinnya tidak ada perasaan dan hati perut langsung ketika mengeluarkan apa-apa kenyataan bersifat kecaman, kutukan, perlecehan, mencemuh, menghina atau merendah-rendahkan siapa sahaja yang dianggap musuh parti DAP.

Sikap ini seakan-akan menjadi satu KPI dan rangka rujukan kepada setiap pemimpin DAP. Ini satu sifat yang hanya ada pada spesis yang angkuh, sombong, bongkak dan menganggap merekalah serba tahu, serba mulia, serba tidak bersalah dan serba segalanya.

Sebut sahaja siapa sasaran mereka – PAS, ISMA, kumpulan-kumpulan umat Islam, institusi-institusi Islam Melayu, syariat dan syiar Islam. Pendek kata apa yang merupakan halangan atau perlawanan terhadap agenda mereka akan dilanyak tanpa belas kasihan atau perikemanusiaan, persis seperti kezaliman Zionis Israel terhadap penduduk Gaza dan Palestin.

Mereka juga pandai bermuka-muka, hipokrit dan (kalau perlu) boleh mengendurkan sedikit jati diri asasi mereka (yang terpaksa dilakukan dengan penuh kejengkelan) demi mengelabui dan memperdayakan umat Islam – melalui aktiviti-aktiviti kebajikan yang kononnya bersifat Islamik dan melambangkan keprihatinan mereka.

Seolah-olah sifat keikhlasan hanya terdapat pada parti DAP dan para pemimpinnya.

Dan penipuan serta kepura-puraan inilah yang telah menambat hati ramai di kalangan umat Islam untuk menyerah diri secara total untuk diperbudakkan oleh DAP. Pantang sahaja mendengar atau membaca kritikan atau kecaman terhadap DAP, kumpulan manusia yang telah dipukau ini akan segera bangkit dengan lantang mempertahankan DAP – kadangkala dengan ayat-ayat Al Quran, kadangkala pula dengan ajakan untuk berhikmah, bertoleransi, berlembut, berdakwah secara harmoni dan seringkali juga dibalas dengan amaran supaya pihak yang mengkritik atau mengecam DAP itu jangan menjadi ekstrimis, melampau atau merasa diri terlalu mulia.

Pembentukan sikap ini bolehlah diumpamakan sebagai satu “Defence Mechanism” yang sukar diubati. Apabila musuh sudah dianggap sahabat karib, maka sebarang sifat atau ciri keburukan pada musuh tersebut akan diremehkan dengan sikap berbaik sangka yang tiada tandingan.

Pepatah Melayu menyatakan: Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Itulah DAP!

Parti itu berpaksikan satu ideologi Sosialis sekular yang di dalamnya tidak ada secebis ruang sedikit pun untuk “ugama” – apatah lagi ugama Islam berperanan, meskipun ramai di kalangan pemimpinnya merupakan Evangelis tegar (dalam konteks ugama Kristian yang telah disekularkan juga). DAP sebagai sebuah parti tidak mempunyai apa-apa pegangan ugama atau akidah yang akan mempastikan fitrah insan akan sentiasa berjalan atas paksi yang ditentukan oleh Pencipta sekalian alam, justeru parti tersebut tidak boleh diharap atau diberi sandaran untuk membawa keseimbangan di dalam tuntutan fitrah dan potensi sebenar manusia yang menjadi anggota dan ahli parti.

Ia masih parti yang membawa agenda Jahiliyyah. “Demokrat” hanyalah satu mantra berasaskan kepalsuan dan hawa nafsu yang digunakan untuk menjerat orang ramai semata-mata.

Maka, apabila kedengaran ura-ura segelintir “aktivis” dan “Du’aat” di kalangan umat Islam dan pertubuhan-pertubuhan Islam begitu beriya-iya dan bersemangat untuk “mencipta” satu anjakan paradigma, satu “harapan baru” dan retorik masa depan gemilang bagi umat Islam di Malaysia dengan menggunakan kalimat “Parti Demokratik Islam”, “Progresif” dan seumpamanya, mereka hanya menempah kerugian buat diri sendiri. Meskipun gerombolan ini mungkin boleh meraih sokongan dan simpatisan puluhan ribu sekalipun, ia tidak akan membawa apa-apa makna bila mana fitrah dan potensi manusia tidak dibina, dibentuk dan dibimbing atas landasan Syarak.

Apa yang ada selain Islam?

Dengan sebab itu, DAP tidak akan menganggap entiti politik baru ini sebagai musuh, malah ia akan segera merangkul dan membantu parti baru ini. Apabila agendanya sama dan serupa, tidak ada yang mustahil.

Jadi, apa pilihan bagi umat Islam?

Pilihannya hanya satu. Umat Islam perlu tegas menolak parti DAP, agendanya dan sesiapa sahaja yang menjadi sekutunya!

Kita kuburkan mereka semua pada Pilihan Raya Umum Ke 14 nanti!

Sudikah dan bersediakah para pembaca menyahut seruan ini?
Dari: Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik