SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menggerakkan masa, hari dan bulan. Segala sesuatu dengan ketentuan-Nya. Hari dan malam silih berganti dan Dialah Yang Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati.

Bulan Ramadan sudah pun meninggalkan kita. Bulan penuh keberkatan. Siangnya dipenuhi dengan puasa, malamnya dihidupkan dengan qiamullail dan berbagai ibadah dengan harapan memperoleh pahala dan pengampunan. Hari-hari tersebut telah pun berlalu. Yang pastinya ia tidak akan kembali.

Apa yang tinggal adalah apa yang dilakukan dalam bulan tersebut sama ada yang baik ataupun yang buruk. Begitulah hari-hari yang dilalui dalam kehidupan dalam menuju ke akhirat. Semakin lama semakin bertambah umur kita dan semakin dekat dengan ajal. Hasil amalan kita dijaga dan dipelihara untuk hari pembalasan.

Harapan Ramadan

Perginya Ramadan dengan harapan kita kembali kepada ALLAH dengan taubat dan amalan soleh. Di samping jiwa kita dididik dengan melakukan amalan ketaatan dan meninggalkan hal yang haram, belajar erti sabar dan menundukkan nafsu yang sentiasa mendorong kepada kejahatan.

Semoga Ramadan meninggalkan diri dalam keadaan terbiasa dengan kebaikan, bencikan maksiat, jiwa terdidik dengan akhlak mulia, bangkit sesudah lama dalam kelalaian dan akhirnya kenal erti kehidupan serta kepentingan beribadah.

Sesudah berlalunya Ramadan, jangan pula kita kembali melakukan kemaksiatan. Jangan kita runtuhkan apa yang dibina sebulan ini. Antara tanda amalan kebaikan kita diterima ALLAH ialah amalan kebaikan itu dilakukan secara berterusan.

Adapun jika kita kembali melakukan maksiat sesudah kita bertaubat, perbuatan tersebut akan mengundang lebih dosa dan dikira jenayah yang besar berbanding keadaan kita  sebelumnya. Perlunya kita ingat di hadapan kita akan ada penimbang yang menimbang amalan baik dan buruk.

Ladang ibadah

Perlu kita ingat, bulan yang mendatang adalah ladang untuk kita beramal. Ia juga menjadi penentu kedatangan ajal.

Walaupun Ramadan sudah pergi, tetapi di hadapan kita musim beribadah yang berulang setiap hari dan malam iaitu ibadah mengerjakan solat fardu lima waktu yang ALLAH fardukan ke atas hamba-Nya untuk dikerjakan di masjid.

Ia adalah kesempatan kita untuk menghadap Tuhan kita, berdoa, dan meminta keampunan serta kurniaan daripada-Nya.

Ayuh kita sahut panggilan ILAHI dengan beriman dengan-Nya agar dosa kita diampunkan dan dihindarkan daripada api neraka. Adapun mereka yang tidak menyahut panggilan ini, dia tidak akan dapat melepaskan dirinya daripada balasan azab walau ke mana sekalipun cuba berlindung di bumi.

Dia tidak akan beroleh sesiapapun selain ALLAH sebagi pelindung dan pembelanya. Mereka yang demikian sifatnya jelas dalam kesesatan nyata. Kita juga memiliki musim ibadah yang berulang setiap minggu iaitu solat Jumaat.

Solat Jumaat adalah ibadah yang ALLAH khususkan buat Umat Nabi Muhammad SAW. Hari Jumaat adalah waktu mustajab kabulnya doa. Begitu juga solat malam dan solat di hujung malam itu secara khasnya. Waktu mustajab doa di penghujung malam berulang setiap hari.

Kita dianjurkan untuk berdoa dan memohon segala kebaikan dunia dan akhirat daripada ALLAH pada waktu mustajab ini. Ini kerana tiada kuasa dan tiada upaya bagi kita tanpa ALLAH walaupun sesaat.

Kebergantungan kita dengan ALLAH bukan hanya di bulan Ramadan. Menyedari hakikat ini, mengapa pula sebahagian kita di bulan Ramadan beribadah tetapi apabila Ramadan berlalu mereka berubah.

Sebahagian ulama Salaf ditanya perihal golongan ini dan jawab mereka: "Seburuk-buruk orang yang mengenali ALLAH hanya di bulan Ramadan.

Golongan ini memenuhi ruang masjid ketika solat fardu dan di waktu yang lain tetapi setelah Ramadan berakhir mereka pun menghilang dan tidak lagi dilihat di masjid.

Seolah-olah mereka sudah berasa cukup dan tidak lagi perlu kepada ALLAH atau tuntutan pergi ke masjid sudah terhenti."

Kita berlindung dengan ALLAH daripada kesesatan sesudah mendapat hidayah, kegelapan sesudah mendapat cahaya dan kekufuran sesudah memperoleh iman.

Harus kita sedar, sebagaimana kebaikan boleh menghilangkan keburukan, begitu juga keburukan boleh menghilangkan kebaikan yang dilakukan.

Sebagaimana kata hikmah yang berbunyi: "Satu dosa sesudah bertaubat lebih buruk daripada tujuh puluh dosa sebelumnya."

Seorang ulama Salaf menangis sedih ketika hendak mati, sesudah ditanya kenapa, dia berkata: "Aku menangis kerana malam yang aku tidak bangun (qiamullail) dan hari yang aku tidak puasa."

Jika seseorang itu di kala berdepan ajal akan menyesali perkara sunat yang ditinggalkan, bagaimana pula dengan perkara fardu yang dilalaikan.

Sewajarnya kita meninggalkan bulan Ramadan dalam keadaan beristighfar dan meminta daripada ALLAH  agar dikabulkan amalan kita.

Golongan Salaf pada setiap tahun di sepanjang enam bulan pertama mereka berdoa agar dipanjangkan umur mereka untuk merasai bulan Ramadan.

Sesudah Ramadan tiba dan mereka bermujahadah beramal di bulan tersebut, baki enam bulan berikutnya mereka berdoa agar dikabulkan amalan mereka itu.
Ternyata Ramadan diingati dan dirindui sepanjang tahun.

Adapun manusia zaman sekarang, ramai yang mengucapkan selamat tinggal terhadap bulan Ramadan dengan melakukan maksiat, meninggalkan kewajipan dan melakukan yang haram.

Hal ini bercanggah dengan apa yang ALLAH perintahkan agar kita mengakhiri bulan Ramadan dengan takbir membesarkan ALLAH serta mensyukuri-Nya  atas nikmat yang disempurnakan buat kita. Nabi Muhammad SAW menganjurkan kita menyusuli Ramadan dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa berpuasa Ramadan lalu berpuasa enam di bulan Syawal, ia seperti berpuasa sepanjang tahun." (Riwayat Muslim)

Hikmah puasa enam

Adapun puasa Ramadan yang disusuli dengan puasa enam hari di bulan Syawal dikira menyamai puasa sepanjang tahun, ini kerana satu kebaikan akan dilipat gandakan sepuluh kali.

Maka, puasa satu bulan Ramadan menyamai puasa sepuluh bulan manakala puasa enam hari di bulan Syawal menyamai puasa dua bulan.
Membiasakan diri berpuasa selepas Ramadan akan membawa banyak faedah.

Antaranya, puasa enam hari di bulan Syawal seperti solat sunat yang dilakukan selepas solat fardu. Ia akan menyempurnakan kekurangan yang ada pada puasa Ramadan.

Membiasakan diri berpuasa selepas Ramadan juga menjadi tanda terkabulnya puasa Ramadan di sisi ALLAH. Ini kerana jika ALLAH memakbulkan amalan seseorang hamba, ALLAH akan memberi taufik dan hidayah-Nya untuk hamba itu terus beramal soleh sesudahnya. Ramadan menghapuskan dosa yang lalu.

Meneruskan puasa selepas Ramadan menjadi tanda kita syukur kepada ALLAH atas nikmat ini.

Kita mohon kepada ALLAH supaya memakbulkan puasa dan solat kita di sepanjang Ramadan dan semoga tergolong dalam kalangan mereka yang terus istiqamah beribadah selepas Ramadan.

By: USTAZ IDRIS SULAIMAN.