Tuesday, July 28, 2015

MASIH ADAKAH SINAR RAMADAN.

RAMADAN dan Syawal merupakan bulan serta hari yang begitu bermakna bagi umat Islam. Rasa berkobar-kobar untuk menjalani ibadah puasa dan menunaikan solat tarawih. Suasana bertambah seronok apabila dapat bersama keluarga mahupun rakan ketika berbuka puasa dengan pelbagai juadah di hadapan mata. 

Suara takbir yang bergema pada malam hari raya menandakan kejayaan sebulan berpuasa. Bertambah sibuk golongan wanita menghias rumah, memasang langsir, memasak ketupat dan rendang. Balang siap diisi dengan pelbagai jenis biskut di atas meja. Di luar rumah kedengaran suara kanak-kanak keriangan bermain bunga api. 
 
Namun tidak semua insan beruntung dapat berkongsi suasana kegembiraan tersebut bersama. Ada insan yang hidup sebatang kara, tanpa waris. Ada juga yang perlu tabah dan bersabar menjaga orang tersayang yang kurang upaya, warga emas mahupun menghadapi masalah kesihatan. Tidak kurang juga bakti mereka yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu golongan tersebut.

Sempena bulan mulia ini, isu kali ini menukilkan kisah insan istimewa dalam melalui kehidupan mereka. Apakah masih ada keseronokan dan keterujaan di hati mereka dalam meraikan Ramadan dan Syawal? Mungkinkah sambutan kali ini yang terakhir? Mungkinkah kenangan lalu bersilih ganti menjadi pengubat rindu tatkala bersendirian? 

Sebagai insan yang sihat dan berkemampuan, kita seharusnya bersyukur dengan nikmat kurniaan ALLAH SWT ini. Ramadan inilah masa untuk kita bermuhasabah diri dan menghayati nasib golongan yang kurang mampu seperti fakir miskin, warga emas, anak yatim dan orang kurang upaya.

Pernahkah mereka makan seenak kita, tidur lena di hamparan kaku, rasa dikasihi dan dihargai oleh keluarga dan orang tersayang?

Ternyata Islam mengambil berat mengenai kepentingan umat Islam bersilaturahim dan saling menyayangi seperti saudara sendiri. Ini disebut dalam hadis sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri”. (Riwayat Muslim)

Daripada Abu Mas'ud, Uqbah bin 'Amral Anshari al-Badri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan petunjuk atas kebaikan, maka baginya adalah seperti pahala orang yang melakukan kebaikan itu.” (Riwayat Muslim).

Sebagai insan yang bersemangat kental dan yakin dengan ALLAH SWT, pasti kedatangan Ramadan dan Syawal tetap disambut dengan melakukan kebaikan sepanjang masa. Ujian yang mendatang dijadikan pemangkin semangat untuk teruskan kehidupan walaupun bersendirian. Ini  kerana sesungguhnya ALLAH yang Maha Pengasih sentiasa ada bersama kita. 
Oleh: Fouziah Amir.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik