Sunday, July 19, 2015

MELAYU ITU BANGSAKU, ISLAM ITU AGAMAKU.

"Aku bukan Melayu. Aku orang Islam.  Melayu pemalas, perogol, pendengki, penyangak, penagih dadah, ..."

Bangganya mereka apabila malu mengaku Melayu sehingga dicanang dalam media sosial untuk dketahui kawan dan lawan.

Hang Tuah dikatakan pernah mengungkap: tak Melayu hilang di dunia.

Tun Mahathir ketika telah bergelar TUN berkata: kalau melayu sudah sampai merempat, mengemis, dan menjadi sampah; lebih baiklah Melayu hilang dari dunia.

Sejak bila Islam memansuhkan pengenalan bangsa dan menjadikan manusia kehilangan nasab keturunan?

Ketika ditanya para sahabat maksud assobiyah, Rasulullah saw menjawab assobiyah ialah apabila kamu mengambil hak bangsa lain untuk diberikan pada bangsa kamu.

Demang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Hak bangsa mana yang bangsa Demang telah rampas?

Bangsa Demang pernah menguasai ekonomi dunia berpusat di Melaka. Penguasa Melayu mampu menghentikan perniagaan di Venice hanya dengan menutup sebentar Selat Melaka, jika mereka mahu.

Bangsaku bangsa terbilang mentadbir empayar Melaka terhebat di dunia sehingga dijadikan sekutu empayar China. Bangsaku menggalas tanggungjawab dakwah Islamiyah selepas kerajaan Uthmaniah runtuh. 

Betul, sultan Melaka terbuang tetapi pemimpin Melayu menjadikan Portugis terkurung dalam penjara Afamosa sehingga ada kalanya dibiar kelaparan (tapi oreintalis barat tidak malu menamakannya sebagai penjajahan). Padahal misi 3K: Keagamaan, Kekuasaan & Kekayaan tinggal menjadi mimpi ngeri sehingga panglimanya dihukum bunuh atas kegagalan yang memalukan.

Malangnya lain pula yang dicatat dalam buku teks sekolah dan dihafal oleh anak-anak Melayu, dan dinamakan sejarah! 

Belanda diperdaya untuk menyerang Melaka yang ada Portugis di dalamnya. Belanda menang tetapi sampai kesudah kempunan untuk meraih hasil bumi Tanah Melayu.

Justeru kebijaksanaan bangsaku dicemburui kafir laknat hingga kini.

Namun bangsaku terus gigih berusaha membina putrajaya di atas runtuhan kota Melaka. Bangsa Melayu didefinisi sebagai orang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan adat Melayu. Ia dicatat dengan jelas dalam perlembagaan negara; tindakan yang tidak mampu dilakukan hatta oleh orang arab sendiri.

Bangsaku tidak tamakkan harta dunia. Justeru Tanah Melayu ini sedia dikongsi dengan siapa sahaja. Biarpun pernah ditipu dan diperdaya Inggeris yang berpura-pura datang berniaga, orang Melayu memberi peluang pula pada pendatang Cina dan India berkongsi tanahair.

Bukan sekadar tinggal bersama berkongsi harta, malah kuasa pun dipelawa sama.

Usahkan saudara serumpun daripada Indonesia bebas mencari rezeki di sini, bahkan saudara daripada Arab, Pakistan, Bangladesh, Rohingya turut diterima. Malah warga Afrika, Vietnam, Kemboja pun tidak dihalang berkongsi rezeki yang Allah anugerahkan di bumi makmur ini.

Rezeki daripada Allah, kita raikan bersama. Budimannya bangsaku.

Malangnya sikap luhur ini disalah erti. Sikap tolak ansur dan mudah simpati bangsa Melayu diambil kesempatan oleh pihak yang tidak memahami dan tidak tahu diuntung. 

Tolak ansur, sabar, sopan, merendah diri, dan redho dianggap lemah, penakut, dan pemalas.

Padahal tolak ansur, sabar, sopan, merendah diri, dan redho itulah kekuatan Melayu yang dengannya kaum-kaum lain dapat terus menikmati keamanan dan kemakmuran di bumi ini.

Jika bukan Melayu lah yang menjadi pemilik asal negara ini, entah bagaimanalah nasib kaum-kaum lain hari ini.

Selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir dan bathin.

Dari: Demang.
1 Syawal 1436h.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik