Sunday, July 26, 2015

MENELUSURI DENYUT NADI BANGSA MELAYU.

Bukan lagi slogan-slogan retorik.

Bangsa Melayu mesti ada jati diri yang kental. Bangsa Melayu mesti ada agenda hidup. Bangsa Melayu mesti tahu sejarah bangsa ini. Sejarah bangsa sebelum dan selepas kedatangan Islam. Bangsa Melayu mesti kembali sepakat bagi Islam kembali berdaulat. Bangsa Melayu adalah tonggak kebangkitan Islam di Malaysia dan di alam Melayu.

Semua di atas bukan sekadar slogan-slogan retorik tetapi kumpulan slogan yang perlu dipahat dan ditanam sedalam-dalamnya di dalam hati dengan  rasa penuh kesedaran dan keinsafan. Slogan-slogan ini menjadi asas yang kukuh dan padu kepada bangsa ini dalam memikul beban kebangkitan semula Islam melalui bangsa Melayu di Malaysia dan Nusantara.

Denyutan nadi bangsa Melayu ini ada kalanya baik dan ada kalanya tidak. Bangsa Melayu tidak sunyi daripada masa pasang dan surutnya. Ibarat lautan yang tidak sentiasanya tenang akan tetapi penuh terpaan badai, gelombang dan taufan. Pepatah Melayu juga ada menyebut “bulat air kerana pembetung dan bulat manusia kerana muafakat”. Begitulah juga dalam pepatah Melayu yang lain ada dikatakan “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”.

Mengimbau kembali sejarah silam boleh diumpamakan seperti keadaan seorang pemandu yang sedang memandu sebuah kenderaan yang sentiasa perlu cermat dan berhati-hati dalam pemanduannya dengan sentiasa memerhati cermin yang memperlihatkan keadaan di belakang kenderaannya bagi menghindari sebarang musibah kemalangan di jalan raya.

Bangsa Melayu miliki sejarah yang cemerlang

Islam telah sampai ke Nusantara selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW seawal abad pertama hijrah iaitu sekitar kurun ke-7 dan ke-8 Masihi. Bangsa Melayu mudah menerima ajaran Islam melalui dakwah dan akhlak para pendakwah pada masa itu. Nusantara yang sebelumnya merupakan alam Hindu telah bertukar kepada alam Islam yang gemilang dengan tertubuhnya kerajaan-kerajaan Melayu Islam antaranya kerajaan Melayu Islam Melaka, Aceh, Patani, Banten, Mataram, Brunei, Maluku dan Ternate. Kerajaan-kerajaan ini telah mewarnai, memayungi serta melindungi kehidupan harian Bangsa Melayu di Nusantara.

Kerajaan-kerajaan Melayu Islam ini berbaiah dengan Khilafah Uthmaniah di Turki. Maka terbentuklah satu kesatuan Bangsa Melayu berasas aqidah Islam di Nusantara. Hasilnya mereka menjadi satu bangsa yang kuat, dihormati, disegani dan digeruni oleh musuh- musuh Islam. Kerajaan Melayu Islam Melaka di Tanah Melayu sangat dihormati dengan pelabuhan Melaka adalah di antara pelabuhan yang tersohor di dunia pada masa itu.

Kejatuhan Kerajaan Melayu Islam

Musuh Islam sentiasa merancang dan mengintai peluang untuk mengalahkan dan melenyapkan Islam dari muka bumi ini. Kejayaan mereka mengalahkan Kerajaan Islam di Sepanyol menjadi satu dorongan kepada Sepanyol dan Portugis untuk menggerakkan agenda salibiah ke Nusantara. Kelemahan dan kealpaan yang dialami oleh kerajaan-kerajaan Islam ini telah membuka ruang yang seluas-luasnya untuk ditewaskan oleh tentera salibiah. Kerajaan Melayu Islam Melaka juga tidak dapat bertahan dengan serangan berterusan tentera salibiah Portugis menyebabkan ianya berjaya ditawan pada tahun 1511 Masihi. Tentera salibiah Sepanyol dan Portugis telah memecah-belah serta memisah-misahkan kerajaan-kerajaan Islam yang mereka tawan kepada koloni-koloni kecil yang dipisahkan mengikut suku-suku Bangsa Melayu Islam.

Empat Abad yang suram

Tidak banyak catatan sejarah yang diketahui selepas kejatuhan Kerajaan Melayu Islam Melaka selain daripada beberapa serangan balas untuk menawan semula Melaka daripada tangan Portugis. Belanda dan kemudiannya British berganding bahu bersama-sama dengan Portugis dan Sepanyol meneruskan agenda salibiah dan penjajahan di Nusantara. Sudah diketahui umum bahawa penjajah salibiah datang ke Nusantara bukan dengan tangan kosong, tanpa senjata dan tanpa agenda. Bukan semata-mata mencari rempah-ratus seperti yang dicanang dalam buku-buku sejarah yang diajar di sekola-sekolah. Bermula dengan agenda salibiah dan diteruskan pula oleh Yahudi Freemason yang rakus mahu menguasai seluruh dunia Islam. Mereka bernafsu besar mahukan umat Islam hidup di bawah telapak kaki dan telunjuk mereka melalui penguasaan negara serta kekayaannya. Penjajahan ini berterusan hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, abad demi abad dengan bangsa penjajah ini meneruskan agenda menindas bangsa Melayu. Walaupun hebat ditindas dan dijajah, kita dapati bangsa Melayu tetap utuh mempertahankan akidah Islam dan adat istiadat Melayu yang diwarisi sejak berabad.

Era Penjajahan British

British mula menjajah Tanah Melayu pada tahun 1786 melalui perjanjian antara Francis Light, seorang ahli Freemason dengan Sultan Kedah. Melalui penjajah British, golongan Yahudi Freemason mengambil posisi dan peranan penting di dalam usaha mereka mengusai Tanah Melayu. Stamford Raffles yang juga seorang ahli Freemason, memainkan peranan yang sama di Temasik yang kemudiannya diubah nama menjadi Singapura. Dari sebuah negara bangsa, British melalui dasar “divide and rule” dan secara terancang telah merubah demografi Tanah Melayu yang penduduk asalnya Bangsa Melayu menjadi negara pelbagai bangsa.

Orang Melayu secara terancang dibiarkan tinggal terasing di kampung-kampung. Ini adalah faktor penting yang dimainkan oleh British dalam usaha meminggirkan bangsa Pribumi Melayu dari kawasan kegiatan ekonomi yang dibangunkan oleh British dalam mengekplotasi kekayaan hasil bumi Tanah Melayu. British telah membawa masuk kaum Cina yang pada mulanya bekerja untuk mereka dan akhirnya berubah menjadi pemilik kepada pusat-pusat kegiatan ekonomi tersebut. Kaum India juga dibawa masuk ke Tanah Melayu di penghujung abad ke-19 untuk bekerja di estet-estet milik British. Cuma segelintir sahaja elit Melayu yang diambil bekerja dengan pejabat pentadbiran British. Mereka ini mendapat pendidikan di England dan dilatih untuk mengambil-alih pemerintahan negara setelah British meninggalkan Tanah Melayu melalui kemerdekaan.

Selama hampir 500 tahun penjajahan Bangsa Melayu telah dipermainkan dengan pelbagai helah itu dan ini, perjanjian itu dan ini oleh bangsa penjajah kerana kebencian yang mendalam kepada Islam yang mendasari keimanan Bangsa Melayu. Seperti yang dinyatakan dengan jelas oleh Abul A’la Al Maududi dalam satu penulisan beliau bahawa penjajah barat akan masuk menjajah ke negara Islam dan merubah sistem hidup serta peraturan yang berlandaskan Islam kepada sistem hidup barat yang mengengkari Allah SWT. Mereka akan merubah sistem politik, ekonomi, pendidikan dan sosial mengikut acuan barat.

Inilah hasil yang dapat dilihat di hadapan mata kita sekarang sama ada di peringkat kepimpinan atau rakyat. Natijah yang lahir daripada rahim dan benih beracun berasal dari Barat.

Masalah bangsa Melayu di Malaysia?

Bangsa Melayu sering dilabelkan dengan pelbagai label yang tidak sedap didengar oleh telinga, sakit mata memandang, tidak dapat diterima akal yang waras dan menyakitkan hati. Lebih menyakitkan, apabila ada di kalangan orang Melayu yang sanggup menghina bangsa sendiri tanpa mengetahui punca kepada permasalahan tersebut. Tidak kurang hebatnya, bangsa-bangsa lain yang dengki kepada bangsa Melayu, dengan beraninya dan celupar menghemburkan label-label yang sama.

Melayu alpa, Melayu malas, Melayu merempit, Melayu ambil dadah, Melayu gila hiburan, Melayu asyik konsert dan pelbagai label lagi. Walhal fenomena yang sama berlaku di negara-negara lain seperti di Amerika Syarikat, Cina, Eropah, Jepun, Korea Selatan dan India.

Bagi seorang doktor perubatan, dalam proses membuat ‘diagnosis’ sesuatu penyakit, mereka akan diajar supaya mencari punca kepada penyakit tersebut berlaku sebelum sesuatu rawatan terbaik dapat diberikan. Rawatan yang bukan hanya merawat simptom-simptom penyakit itu dan membiarkan punca penyakit terus bersarang di dalam tubuh pesakit yang boleh menyebabkan kematian.

Di sini ada beberapa persoalan penting yang perlu dijawab secara tuntas oleh kita semua.

1. Benarkah bangsa Melayu di Nusantara adalah satu bangsa yang hebat sebelum kedatangan Islam?

2. Benarkah Bangsa Melayu menjadi lebih hebat selepas menerima Islam?

3. Benarkah dengan tertubuhnya kerajaan-kerajaan Melayu Islam di Nusantara menjadi lambang kehebatan Bangsa Melayu di mata dunia?

4. Benarkah Kerajaan Melayu Islam Melaka adalah lambang kehebatan Bangsa Melayu di Tanah Melayu, Nusantara dan dunia amnya?

5. Benarkah penjajah dengan sengaja dan terancang meminggirkan Bangsa Melayu Islam di Tanah Melayu?

6. Benarkah penjajah telah merubah setiap sistem hidup yang diamalkan oleh Bangsa Melayu turun temurun yang berteraskan Islam kepada sistem hidup barat yang tidak beriman kepada Allah SWT?

Kita perlu menjawab semua persoalan di atas secara ikhlas dan penuh kesedaran dalam mencari punca kepada permasalahan dan musibah yang sedang menimpa bangsa Melayu.

Serangan berterusan dan musuh di sekeliling kita

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka.” (Al Baqarah: 120).

Walaupun negara telah diberikan kemerdekaan oleh British pada tahun 1957 tetapi Syariat Islam masih belum terlaksana dengan sempurna dalam kehidupan.

Musuh tidak henti-henti menyerang bangsa Melayu dan Islam dari dalam dan luar negara. Negara-negara penjajah dahulu berada di benua Eropah tetapi kini mereka berada di sekeliling kita sama ada jauh atau dekat. Dahulu mereka mengambil masa berbulan-bulan untuk sampai ke Tanah Melayu tetapi tidak sekarang dengan kecanggihan teknologi pengangkutan. Dahulu sangat sukar dan lambat untuk disampaikan sesuatu maklumat ke destinasi tertentu tetapi sekarang maklumat berada di hujung jari. Media sosial menjadi medan pertarungan yang baharu dengan capaian yang mampu disebarkan dengan seluas-luasnya.

Senjata-senjata baharu yang mereka gunakan untuk menguasai negara-negara umat Islam adalah dengan mengetengahkan ideologi liberalisme yang tidak berpaksikan kepada agama, fahaman pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama dan gerakan hak asasi manusia dengan mengiktiraf golongan LGBT.

Amerika Syarikat dengan secara agresif memaksa Malaysia sebuah negara umat Islam yang sedang membangun untuk masuk ke dalam blok ekonomi yang mereka sendiri cipta dan wujudkan iaitu “Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA)”. Ini akan menyebabkan negara terperangkap dalam penjajahan ekonomi dan negara apabila terma-terma perjanjian gagal dipatuhi.

Tidakkah semua situasi yang disebutkan di atas akan mengelirukan pemahaman dan mencelarukan pemikiran bangsa Melayu yang sedang berada di situasi yang sangat kritikal, lemah dan tidak bersatu? Bangsa Melayu kini berpecah kepada beberapa kolompok kerana fahaman politik kepartian yang sempit dan bernafsu besar kepada perkara-perkara keduniaan.

Siapakah yang layak serta mampu menyedarkan dan memimpin bangsa Melayu Islam?

Siapakah yang akan mampu merubah dan membawa Bangsa Melayu ini untuk kembali kepada kemulian dan ketinggian seperti yang berlaku semasa di zaman pemerintahan Sultan Allaudin Ri’aayat Shah Al Kahar dan kegemilangan Kerajaan Melayu Islam Melaka?

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d:11).

Inilah cabaran kepada setiap kita yang sedar untuk bersatu dan bersepakat serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mengangkat kembali Islam ke mertabatnya yang tertinggi. Ini tidak lain kerana kita secara sedar dan insaf menyahut seruan Rasulullah SAW melalui sabda Baginda yang bermaksud: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam.”

Inilah seruan kita kepada Bangsa Melayu dan semua manusia kerana mereka adalah bangsa majoriti dan tonggak kebangkitan Islam di Malaysia dan Nusantara. Seruan yang akan menyelamatkan kita di dunia dan daripada azab Allah di Hari Akhirat. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, kita akan berhadapan dengan tiga jenis manusia seperti yang disebut oleh Assyahid Imam Hasan Al Banna iaitu mereka yang bersetuju dengan kita; mereka yang tidak mengambil endah akan dakwah kita dan mereka yang menentang dakwah kita.

Inilah hakikat dakwah yang penuh dengan ujian dan rintangan yang bakal  menanti para pendakwah. Ia memerlukan para pendakwah yang sentiasa bersedia untuk merancang, berfikir, melaksana, menilai dan memperbaiki kerja-kerja yang dilakukan. Mereka perlu mengenali siapa kawan dan siapa musuh dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah ini.

Oleh: Dr Azmi Md Nor.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik