Sunday, July 26, 2015

SELEPAS PORAK PERANDA PAS DAN RANAPKAN TAHALUF, APA LAGI DAP MAHU?

dap pas

Selepas memporak-porandakan PAS dan meranapkan tahaluf siyasi, apa lagi yang DAP mahu?

Siapakah pihak yang paling terkesan dari segi politik dan strategi parti setelah berlangsungnya Muktamar Agung PAS ke-61 baru-baru ini?

Tidak lain dan tidak bukan adalah parti sosialis liberal DAP.

Jawapan ini tidak susah dimengerti kerana isyarat dan petunjuknya sudah terpampang jelas baik sebelum, semasa dan sesudah muktamar dilangsungkan. Calon-calon tajaan tidak rasmi parti itu semuanya kecundang, Ahli Jawatankuasa Pusat (yang sebelum ini dianggotai oleh individu-individu yang sangat disenangi oleh DAP sudah ditamatkan peranan dan penguasaan mereka. Demikian juga senario yang berlaku pada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Muslimat PAS.

Ucapan-ucapan dan kenyataan-kenyataan beberapa calon ini semasa dan sesudah Muktamar Agung parti Islam ini langsung tidak mempamerkan karektor seorang pemimpin PAS yang kukuh pendirian dan amat yakin akan matlamat dan hala tuju parti sendiri. Seolah-olah yang timbul hanyalah suara hati dan aspirasi DAP (yang tidak akan berkumandang lagi di dalam parti Islam selepas ini).

Serangan bertali arus (termasuk ancaman halus, mesej-mesej simpati kepada calon “favourite” mereka yang kalah, pujuk rayu dan tekanan psikologi) daripada pihak pimpinan DAP terhadap keputusan pemilihan di dalam muktamar ini merupakan satu testimoni yang terang benderang betapa DAP bukanlah rakan pasukan yang jujur, setia dan terbuka. Amalan demokrasi yang sihat telah diterajang keluar oleh sikap fanatik dan ekstremis DAP bersama dengan persefahaman politik yang selama ini menjadi “tali pengikat” antara parti-parti pembangkang.

Tahaluf siyasi sudah lama dikuburkan oleh pimpinan-pimpinan DAP sendiri. Muktamar Agung PAS hanya berperanan untuk “hitting the last nail to the coffin”!

Istilah pakatan rakyat sendiri hanyalah cebisan kata-kata yang telah di’longkang’kan oleh parti DAP juga.

DAP tidak mempunyai alasan dan hak dari segi moral untuk mencampuri urusan rumah tangga PAS. Tingkah laku, sikap, pendirian dan kenyataan-kenyataan para pemimpin mereka tidak pernah positif kepada PAS.

Kata-kata nista seperti: “Bagaimana boleh duduk serumah dan sebumbung kalau sudah diceraikan”, “Buang yang keruh, ambil yang jernih”, “Si Fulan adalah pemimpin yang berprinsip” dan seumpamanya adalah satu siri pengkhianatan DAP terhadap janji setia di kalangan parti-parti pembangkang.

Siapa boleh lupa tindakan DAP Sabah memutuskan hubungan dengan PAS di Sabah?

Siapa boleh lupa betapa angkuh dan sombongnya DAP bila pihak yang menang di dalam Muktamar Agung PAS bukan termasuk di dalam senarai terpilih mereka?

Gagasan-gagasan mengenai kesatuan, kesepakatan bangsa Melayu dan umat Islam menjadi satu igauan yang menakutkan bagi DAP. Kesatuan, kesepakatan, perdamaian dan keharmonian ini akan memberi petanda bahawa strategi DAP untuk memecah belah bangsa Melayu akan gagal, dan seterusnya akan menggagalkan perancangan mereka untuk menguasai iklim politik dan pintu-pintu masuk ke perbendaharaan negara.

Kesatuan dan kesepakatan ini akan menjadi salah satu batu penghalang terbesar kepada DAP ke arah mencapai cita-cita dan perancangan survival mereka.

DAP sebagai satu parti yang menggabungkan sentimen dan aspirasi yang pelbagai – rasisme, kapitalis, evangelis, sosialis, liberal dan sekular … pendek kata, gagasan ekstremis dan antinasional ini tidak akan bersetuju atau bergembira melihat munculnya bibit-bibit kesatuan dan muhibbah di kalangan bangsa Melayu, lebih-lebih lagi kalau melibatkan dua parti terbesar bangsa Melayu dan umat Islam iaitu PAS dan UMNO.

Tapi parti itu juga tidak akan teragak-agak atau segan silu untuk berdamai dengan musuh tradisinya – UMNO demi memastikan kejatuhan parti lawannya.

Baik secara halus mahupun terbuka, licik mahupun lihai, tidak ada satupun yang mustahil.

Barangkali DAP masih menaruh harapan (dan di sinilah satu bahaya yang sedang menunggu masa untuk mengkucar-kacirkan PAS sekali lagi) bahawa calon-calon kesukaan mereka masih dapat berperanan atau dimanfaatkan. Pertama, calon-calon tersebut walaupun kalah di dalam pemilihan parti, mereka masih menjadi anggota Parlimen yang “mewakili” “suara dan kepentingan” PAS. Kedua, masih terdapat banyak lagi sokongan dari kalangan sebahagian pemimpin PAS sendiri terhadap calon-calon yang kecundang ini, dilihat daripada jumlah undi kepada mereka oleh para perwakilan muktamar.

Kedua-dua isu ini akan menghantui tubuh PAS sehinggalah ke PRU 14 nanti.

Kepentingan dan hala tuju PAS mungkin tidak dapat diterjemahkan secara praktikal dan berkesan melalui anggota-anggota Parlimen ini, sekiranya kesan kekalahan mereka terbawa-bawa hingga ke dalam Parlimen. Senario ini akan menjadi mimpi ngeri yang akan sering mengganggu saraf dan emosi serta perjalanan parti. PAS juga perlu berhadapan dengan “monster” ciptaan sendiri yang masih berleluasa di dalam rumah mereka!

DAP bukan sahaja mempunyai “simpanan tetap” di dalam kedua-dua pihak ini (anggota Parlimen dan para perwakilan (yang mewakili suara akar umbi), tetapi turut mendapat “bonus” daripada NGO yang bernama Pertubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang ditubuhkan oleh ahli parti sendiri. PasMa kini sudah beralih daripada sekadar sebuah NGO kepada satu entiti yang memiliki cita-cita politik tersendiri, dan sudah tentulah bukan untuk bermusuhan dengan DAP!

Pertubuhan Ikram juga disebut-sebut oleh sebahagian Netizen sebagai salah satu pihak yang boleh berperanan atau diambil manfaat oleh DAP. Ura-ura untuk menubuhkan parti politik untuk meneruskan agenda progresif dan profesional juga sudah kedengaran di kalangan sebahagian ahli-ahli Ikram. Sama ada ini merupakan pendirian organisasi tersebut, tidak dapat dipastikan (oleh kerana tidak diumumkan secara rasmi). Bukan rahsia umum lagi bahawa organisasi tersebut sangat rapat dengan PasMa dan kumpulan Anwarinas dalam PAS, termasuk calon-calon mereka yang kalah. Begitu juga yang dapat dilihat pada perkongsian matlamat dan visi pada beberapa gerakan sivil dan kempen-kempen anti-ISA, BERSIH, NegaraKu dan seumpamanya.

Satu eksperimen oleh DAP untuk cuba memancing sokongan para mahasiswa Timur Tengah melalui “ziarah” beberapa pemimpin DAP ke Jordan dan Mesir juga diusahakan oleh seorang ahli Ikram.

Yang jelas, DAP bernafsu besar. Mereka tidak akan berhenti pada PAS. Mereka tidak akan membiarkan PasMa bernafas melainkan mereka akan mengawal aliran darah, oksigen dan pergerakan organisasi itu. Mereka akan bermain silap mata, bermanis kata dan berpura-pura dengan sesiapa sahaja. Mereka akan mengambil kesempatan, merampas peluang, memperkudakan atau memperalatkan.

Baik kepada PAS mahupun bangsa Melayu dan umat Islam, semua perlu berhati-hati, mencurigai dan mewaspadai muslihat dan sepak terajang parti DAP ini.

Jentera propaganda dan pakar-pakar strategi parti ini tidak pernah berhenti rehat!

Oleh: Muhammad Luttfi Abd Khalid


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik