SUDAH seminggu lebih kita menyambut Aidilfitri. Beraneka juadah dihadam sehingga perut meragam.

Manakan tidak, bayangkan apabila ketupat, rendang ayam, daging, nasi minyak berlauk ayam masak merah bersatu dengan wajik, dodol, lemang dan ketupat palas kemudian bercampur-baur bermacam warna air, ada yang masam, manis, pastilah kekenyangan merajai hati tanda 'hasil' berpuasa selama sebulan.

Tidak terceritakan lagi dengan banyaknya pilihan warna dan jenis rekaan baju yang diperagakan pada hari raya. Indah sungguh detik itu. Namun, hati mula berbicara: "Inikah hasilnya selepas sebulan menahan diri berlapar dahaga, melawan nafsu?" Tepuk dada tanyalah iman.

Didik hati  yang beriman

Kebaikan dan keberkatan yang ada dalam Ramadan bukan sahaja nampak pada zahirnya tetapi dihayati dengan mempraktikkan pada bulan yang lain. Kuncinya hanya satu iaitu istiqamah (berterusan).

Pendakwah, Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud berkata, mukmin lahir dari madrasah Ramadan bakal menjadi mukmin bertakwa, demikian juga bapa yang lahir dari sekolah Ramadan menjadi bapa bertakwa dalam mendidik keluarga.

Mendidik hati menjadi hamba bertakwa sewajarnya tidak terhenti sebaik berakhirnya Ramadan. Amalan mentadabur al-Quran wajar diteruskan di samping melakukan penambabaikan seperti mengkaji isi kandungannya. Sayangnya ramai mengatakan motivasi membaca al-Quran dalam bulan biasa tidak sama seperti Ramadan.

"Bagi mengekalkan motivasi membaca al-Quran, saya cadangkan supaya adakan program One Week One Juzuk (OWOJ) atau One Day One Juzuk (ODOJ).

Caranya wujudkan satu kumpulan (maksimum 30 orang) yang terdiri daripada sahabat dan rakan taulan untuk masing-masing membaca al-Quran mengikut juz pilihan masing. Setelah selesai juz pertama, esok bacalah pula juz kedua.

Begitulah seterusnya. Insya-ALLAH jika dilakukan dengan terancang dan istiqamah, kita mampu khatam sebulan sekali tidak hanya pada  Ramadan tetapi juga bulan lain.  

"Jika kita ingin menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup di dunia dan menjadi syafaat di akhirat, ia perlu melalui beberapa proses. Ibarat hendak membina sebuah rumah.

Seseorang perlu ada ilmu mengenai al-Quran termasuk dalam segala aspek. Fahamilah ayat ini makin mengkaji semakin bertambah ilmu di dada," katanya kepada Rehal.

Kongsinya, ada yang bertanya, kenapa apabila berlalunya Ramadan, hati dan jiwa langsung tidak terkesan dengan didikan Ramadan? Jawapannya, Ramadan hanya memberi kesan kepada orang yang menyediakan anggota tubuh dan jiwanya untuk beribadah kepada ALLAH. Inilah orang yang benar-benar beriman.

Tiada langsung dalam hatinya untuk melakukan maksiat kepada ALLAH, malah memberi tumpuan terhadap peningkatan ibadah wajib dan sunat. Sentiasa beristighfar memohon keampunan daripada ALLAH dan berdoa moga-moga amalannya diterima.

Beliau menambah, Ramadan tidak akan memberi kesan jika seseorang itu berpuasa tetapi masih mengumpat, masih berdendam, dedahkan aurat, bergaul bebas, buang masa dan melakukan banyak maksiat.

Walaupun syaitan diikat, namun nafsu amarah yang ada dalam diri manusia sentiasa mendorong melakukan kejahatan. Begitulah keadaan manusia khasnya Muslim pada bulan Ramadan.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi ALLAH selain daripada lapar dan dahaga sahaja." (Riwayat Bukhari)

Sahabat Nabi Muhammad SAW, Jabir bin ‘Abdillah turut menyatakan: "Seandainya kamu berpuasa maka hendaknya pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu turut berpuasa daripada dusta dan hal haram serta janganlah kamu menyakiti tetangga. Bersikap tenang dan berwibawalah di hari puasamu. Janganlah kamu jadikan hari puasamu dan hari tidak berpuasamu sama sahaja."

Hamba Ramadan @ ALLAH?

Beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz MK Azman berkata, kita berpuasa untuk menjadi hamba ALLAH bukan hamba Ramadan. Hamba Ramadan adalah orang yang melakukan kebaikan dan amal ibadah hanya pada bulan Ramadan.

Contohnya bersolat bulan Ramadan, tetapi meninggalkan solat pada bulan-bulan yang lain.

Memang besar amalan yang dilakukan pada Ramadan, cuma janganlah dilakukan secara touch & go. Sepatutnya amal ibadah tetap dilakukan pada 11 bulan lain secara beristiqamah. Al-Hassan Al-Basri selepas membaca al-Quran Surah Al-Fussilat ayat 30, beliau akan berdoa: "Allahumma anta robbuna, farzuqna istiqamah,".

Istiqamah dalam mengejar ganjaran ALLAH

ALLAH  SWT sudah sebutkan dalam al-Quran pada ayat 183 dalam Surah Al-Baqarah iaitu perintah berpuasa ini sebagai satu dorongan kepada orang yang benar-benar beriman agar mereka bertakwa.

MK Azman berkata, jika seruan ini disahut oleh orang yang belum beriman, maka puasanya tiada nilai di sisi ALLAH. Contohnya sekarang sudah menjadi trend rakan kita yang belum memeluk agama Islam berpuasa kerana menyertai kita yang berpuasa.

"Manakala bagi orang yang imannya ada keraguan, misalnya dia berpuasa tetapi tidak solat baginya hanya lapar dahaga kerana amalan puasa itu hanya bernilai jika dia mengerjakan solat fardu.

"Bukankah soalan pertama yang akan ALLAH tanya ialah solat, bukannya ibadah lain. Bagi orang yang imannya tahap waham, misalnya dia berpuasa tetapi tidak menjaga tujuh anggota badannya daripada melihat perkara yang sia-sia seperti mata.

"Ralit menghabiskan masa menonton drama, jari pula asyik melayan Facebook dan WhatsApp, dia juga sebenarnya menjadi hamba Ramadan kerana lebih suka menghabiskan masa dengan sia-sia sehingga waktu berbuka.

"Saranan saya, jika kita mahu terus menjadi hamba ALLAH SWT sepanjang masa, tinggalkanlah perkara yang sia-sia dalam hidup. Tingkatkan amal ibadah dan jadi orang yang bermanfaat pada orang lain," ulasnya panjang.

Puasa sunat, ganti

Orang yang mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal akan memperoleh pahala seperti berpuasa selama setahun.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan menyambungnya dengan puasa enam di bulan Syawal, pahalanya adalah seperti seumur hidup." (Riwayat Muslim)

Beliau menjelaskan, hadis ini adalah sahih dan ia bukanlah hadis yang lemah seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak. Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam melalui kitabnya Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maram menjelaskan hadis ini nyata kesahihannya.

"Timbul dua isu yang popular iaitu yang pertama puasa yang mana satu perlu diutamakan sama ada puasa sunat Syawal atau puasa qadak (ganti). Isu yang kedua ialah perihal penggabungan antara puasa sunat Syawal dengan puasa ganti.

"Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik antara puasa sunat Syawal dan puasa qadak? Jawapannya sudah tentu adalah puasa qadak.

"Ini terbukti daripada hadis Qudsi yang sahih bermaksud: "...dan tidaklah hampir kepada-Ku seorang hamba-Ku dengan apa jua pun, maka yang lebih Ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepada-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah Aku kasih kepadanya..." (Riwayat Bukhari)," katanya.

Menurutnya, hadis tadi sebagai asas keutamaan, bagaimanapun daripada segi pelaksanaan, jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Beliau membawakan contoh, jika seseorang itu perlu qadak puasanya sebanyak 15 hari atau 30 hari kerana nifas atau haid yang lama pada bulan Ramadan, malah tubuhnya juga sihat dan kuat, adalah lebih baik baginya untuk puasa sunat Syawal terlebih dahulu kerana waktu sunat puasa Syawal singkat berbanding masa untuk qadak puasa Ramadan iaitu sepanjang tahun.

 "Namun kita harus ingat meskipun waktu untuk qadak puasa panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita sempat atau tidak.

Seseorang yang mati sebelum sempat menggantikan puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawal pasti bermasalah kerana dia dikira masih berhutang dengan ALLAH.

Gabung puasa

"Jika seseorang itu mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, ia tidak menanggung sebarang dosa atau hutang, malah mungkin ia mendapat pahala sunat Syawal itu sekali.

Dalam konteks ini, harus difahami darjat puasa qadak lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar daripada sunat Syawal.

Ini kerana puasa qadak adalah puasa wajib dan 'hutang' dengan ALLAH sedangkan puasa Syawal yang hanyalah puasa sunat untuk menambah pahala.

Isu yang kedua ialah boleh atau tidak puasa sunat Syawal digabungkan dengan puasa qadak. Secara ringkasnya beliau berkata, tidak elok untuk menggabungkan kedua puasa tersebut bagi mereka yang mampu yakni sihat tubuh badan dan ada kelapangan masa.  

"Ini kerana sepanjang pengetahuan saya tiada dalil yang membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada sahabat untuk menggabungkannya.

"Dalam kalangan ulama As-Syafie ada berpendapat ganjaran puasa enam Syawal tetap diperoleh apabila seseorang berpuasa qadak meskipun dia tidak berniat menggabungkan keduanya. Namun pahala diperoleh itu adalah kurang berbanding seseorang yang berpuasa secara berasingan," jelasnya.

Menurutnya, pandangan ulama yang membolehkan 'puasa dua dalam satu' ini tidak disandarkan kepada nas al-Quran ataupun As-Sunnah yang sahih.  

Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadak pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardu (orang yang terus mengerjakan solat fardu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid).

Oleh: Syahidatul Akmal.