Thursday, August 27, 2015

31OGOS: SEMANGAT, NILAI DAN PRINSIP YANG KIAN DILUPAKAN.

hari kebangsaan

SABAN tahun rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan, malah bagi mereka yang telah menginjak masuk ke umur 58 tahun, sudah pasti 58 kali mereka menyambut hari kemerdekaan. Namun begitu jika ditanya dari sudut lubuk hati kita, bagi kita yang mengaku bahawa kita adalah rakyat Malaysia, apakah erti kemerdekaan yang sebenar bagi kita? Adakah kita mampu memberi makna kemerdekaan yang sebenar melalui perspektif yang benar dari sudut pemikiran, ilmu dan hati kita?

Setiap orang jika ditanya apakah erti kemerdekaan bagi dirinya, maka ramai yang boleh memberikan jawapan ‘Kebebasan’ dari perspektif literal mahupun konseptual. Namun begitu adakah semangat, nilai dan prinsip kebebasan itu dihayati dengan perasaan yang bersungguh-sungguh melalui kaca mata kemerdekaan yang hakiki?

Sungguh, sekiranya kita melakukan tinjauan di peringkat akar umbi masyarakat terutamanya generasi pada hari ini, semangat kemerdekaan itu sudah mula menampakkan kebobrokan dan ketabrakan. Bermula dari peringkat sekolah, lagu patriotik hanya dinyanyikan di bibir sahaja sambil mengibarkan bendera oleh para pelajar. Itupun apabila disuruh dan dipaksa oleh pihak sekolah. Pelajar-pelajar elit hanya mengharapkan A+  semata-mata untuk subjek sejarah dalam SPM tanpa memahami dan menghayati perjuangan tokoh-tokoh agama dan bangsa yang membebaskan tanah air.

Masyarakat pula celaru dengan identiti dan pemikiran yang pelbagai konon-kononnya ingin mencontohi negara Barat. Katanya peradaban mereka maju dan moden, tetapi rupa-rupanya tertipu oleh kejahilan nilai agama.

Ahli-ahli politik pula dengan laungan keramat perjuangan agama, bangsa dan tanah air tetapi pada masa yang sama sibuk mengisi poket sendiri dan menjaga kerusi Parlimen dan DUN sehingga tercabar integriti parti. Sama  sahaja baik kerajaan mahupun pembangkang.

Alangkah sedihnya, sambutan kemerdekaan di peringkat nasional nampak gah dengan perarakan hari kebangsaan oleh kontijen jabatan dan komrad pertahanan awam serta tembakan bunga api tetapi ia hanya sekadar perayaan tahunan sahaja.

Itu belum lagi ditambah dengan konsert kemerdekaan oleh artis-artis pujaan anak-anak dara dan teruna yang terkinja-kinja di malam hari sehingga diakhiri dengan pesta maksiat di hotel-hotel murahan dan di rumah-rumah pelacuran. “Sambutan  malam merdeka,” kata mereka.

Aduh, alangkah sedihnya.

Wahai Rakyat Malaysia,

Definisi kemerdekaan yang perlu difahami bersama adalah apabila kita membebaskan jiwa, raga, masyarakat dan negara kita daripada kongkongan hawa nafsu yang dijajah sejak separuh abad yang lepas.

Negara Malaysia mungkin merdeka dari sudut fizikal namun rakyat dan pemimpin negara masih tidak dapat membebaskan jiwa mereka daripada kongkongan nafsu yang meratah iman, nilai dan prinsip ukhrawi.

Ambillah contoh sebagaimana pentadbiran yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang membebaskan kejahilan bertuhan masyarakat Musyrikin Quraisy sebelum membina model negara Islam pertama Madinah.

Nabi telah menunjukkan qudwah kepada kita akan pembangunan negara yang berlandaskan syariat tanpa mengabaikan aspek pembangunan lahiriah yang telah berjaya menaungi 2/3 dunia dan menjadi mahaguru kepada dunia daripada pelbagai aspek kehidupan. Kuncinya adalah dengan membebaskan jiwa di kalangan pemimpin dan masyarakat daripada hawa nafsu.

Percaya atau tidak ,hampir separuh masalah yang berlaku dalam negara kita pada hari ini dapat diselesaikan apabila hawa nafsu dapat diuruskan dengan baik, bermula daripada sebesar-besar perkara seperti isu politik dan rusuhan kaum sehinggalah kepada masalah penzinaan dalam kalangan remaja, ia berpunca apabila sistem pendidikan, sosio-ekonomi, kekeluargaan dan politik masih berTuhankan hawa nafsu dan berkiblatkan penjajahan barat yang pincang tsaqafah dan tasawwur islaminya.

Sebagai contoh masalah rasuah yang berlaku di kalangan kakitangan awam dan pemimpin masyarakat pada hari ini adalah kerana masih tidak ada nilai amanah dalam diri mereka sehingga berlakunya penyalahgunaan kuasa tanpa memikirkan kepentingan orang lain.

Itu semua kerana diri kita masih dikuasai nafsu yang tidak diurus dengan baik. Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia perkara pertama yang perlu diuruskan adalah memerdekakan diri kita sendiri daripada hawa nafsu kerana ia adalah prinsip yang dilupakan oleh generasi demi generasi!

Wahai jiwa yang merdeka,

Anda perlu ingat untuk mencapai kemerdekaan yang sebenar, tidak cukup hanya sekadar membebaskan hawa nafsu sahaja kerana tanpa adanya semangat kesatuan yang utuh daripada kita. Hari ini, kita dipecah-belahkan oleh pelbagai parti politik, fahaman dan fikrah yang berlainan.

Betul tidak dapat dinafikan, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai sesuatu isu, tetapi itu bukanlah alasan yang menjadikan kita berpecah-belah. Sesungguhnya musuh-musuh negara telah mengatur strategi dan mengumpul kekuatan sewaktu kita berpecah-belah.

Perpecahan akan merugikan kita. Semangat kesatuan pelbagai bangsa perlu dipupuk dari generasi awal melalui langkah pemerkasaan sistem sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi menjadi satu garis kayu ukur kepada penyatuan anak-anak bangsa di Malaysia.

Ayuh umat yang bersatu,

Negara kita mempunyai identiti diri yang perlu dipertahankan yang menjadi titik mula kepada sejarah kemerdekaan negara. Tidak kisah siapa pun kita sama ada pemimpin mahupun rakyat marhaen, nilai dan prinsip kemerdekaan perlu dipertahankan dengan sebaiknya seperti mana yang diperjuangkan oleh orang yang terdahulu.

Nilai dan prinsip yang dipegang melalui kesepakatan 3 bangsa utama melalui Perlembangan Malaysia dan kontrak sosial jangan sesekali disisihkan kerana ia adalah asas kepada penyatuan bangsa-bangsa dan keharmonian di Malaysia.

Sungguh sebelum tahun 2000, negara kita aman dan harmoni, rakyat Malaysia masih boleh hidup dengan aman dan damai tanpa ada rusuhan kaum yang kronik, namun sejak 4-5 tahun kebelakangan ini sering kali rusuhan kaum sering diapi-apikan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti media alternatif, ahli politik cauvinis dan pertubuhan-pertubuhan sosial yang ingin mengubah status dan identiti negara.

Sekiranya kita memahami dan menghayati secara bersunguh-sungguh akan makna kemerdekaan yang sukar diperolehi pada tahun 1957, sudah pasti kita akan menghayati betapa bersyukurnya kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum atas jasa-jasa orang terdahulu seperti Tunku Abdur Rahman, Tun V T Sambathan dan Tun Tan Cheng Lock. Sekiranya rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka cuba melanggar asas perlembangaan dan kontrak sosial, sudah pasti keharmonian dan identiti negara akan mudah tergadai.

Kesannya, generasi akan datang, hilang semangat kenegaraan dan nilai patriotisme, agamanya kian luntur daripada pegangan hidup, adat dan budaya kaum setiap bangsa mula terhakis dan tiadanya identiti negara yang utuh yang boleh dibanggakan.

Adakah ingin kita lihat negara yang kita didiami hari ini nasibnya seperti Singapura, di mana bangsanya terbuang di tanah sendiri, identitinya dan budayanya kian hilang dan yang lebih menakutkan syiar agama yang  semakin luntur?

Ayuh rakyat Malaysia, perkemaskan kembali iman dan diri kita melalui nilai dan prinsip kemerdekaan daripada hawa nafsu dan pertahankan nilai dan prinsip kemerdekaan serta identiti negara yang kian hari  semangat, nilai dan prinsipnya kian dilupakan.

Seandainya semangat, prinsip dan nilai kemerdekaan ini dilupakan maka 31 Ogos akan menjadi seperti tugu peringatan negara, dilihat dan ditatap, tanpa difahami dan dihayati apakah himmah dan hikmahnya. Moga rahmat terus memayungi bumi yang bertuah ini.

Salam Kemerdekaan dan Perjuangan,
Malaysia Sehati Sejiwa

By: Mohammad Aiman Hazim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik