Monday, August 3, 2015

AKU YANG DULU BUKAN SEKARANG.

ULTRA kiasu cauvinis dan ultra kiasu Melayu berasa hairan kenapa saya masih diberikan ruang dan peluang menulis dalam akhbar, berceramah sana sini, masuk dan keluar TV. Sedangkan isi kandungan ceramah saya sarat dengan perkauman. Rasis katanya. Nak cari perhatian dan populariti.

Helo! Saya sudah dapat perhatian dan popular sejak dahulu lagi. Tak perlu cari publisiti. Saya masih bertahan kini kerana prinsip.

Saya hanya berkata benar. Saya tidak akan menyerang jika tidak diserang. Relaks brother! Saya mencurahkan nukilan saya kepada orang yang suka baca dan suka dengar. Jika apa yang saya luahkan itu berbahaya, sudah lama polis tidak teragak-agak bertindak.

Saya bukan orang Umno atau jurucakap Umno. Tidak ada siapa pun yang melindungi saya. Saya lakukan demi agama, bangsa dan negara. Itu sahaja. Saya warganegara yang belajar dan faham sejarah dan Perlembagaan. Jika suatu masa nanti terpaksa masuk penjara, saya reda. Berbaloi rasanya masuk penjara pertahankan yang hak kepada yang berhak.

Saya hidup dalam dua alam. Dididik dalam keluarga jati diri kecinaan. Berada dalam persekitaran kampung penuh kemelayuan (sedikit keIslaman). Saya memahami kesemuanya, walaupun mungkin tidak mendalam.

Saya kagum dengan kisah Cikgu Wong, 60 tahun, seorang ibu beragama Buddha dari Putatan, Sabah, yang sanggup membesarkan dua anak Melayu ‘terbuang’ dan kekal sebagai seorang Islam. Terima kasih Cikgu Wong. Andalah ibu 1Malaysia. Sifat anda sukar untuk dicari kalangan ultra kiasu di semenanjung. Tidak hairan jika perpaduan di sana jauh lebih baik dari di sini. Bahasa Melayu Cikgu pasti hebat.

Tidak seperti ultra kiasu di sini. Walaupun berstatus wakil rakyat, hidup perkauman, tidak mahu berasimilasi, BM tunggang-langgang. Semua ini mengingatkan saya ketika zaman remaja saya, melihat agak ramai penyanyi bukan Melayu menyanyi lagu-lagu Melayu seperti DJ Dave (Irwan Shah), AlleyCats, Kenny, Remy dan Martin; Francisca Peters dan Roy; Andre Goh dan ramai lagi. Mereka ini amat dekat dengan hati dan diri orang-orang Melayu. Kenapa hari ini tidak ya?

Bukan kerana tidak ada penyanyi bukan Melayu menyanyi lagu Melayu hari ini. Ada. Sudah tentu tidak seramai dahululah. Namun, walaupun mereka menyanyi lagu Melayu, tetapi kita tidak berasa mereka ini dekat di hati. Pasal apa?

Jawapan mudah, artis dulu sanggup berasimilasi dan menghayati lagu Melayu tersebut, selain dekat dengan orang Melayu. Mereka seolah-olah seperti orang Melayu. Hari ini susah sangat nak melihat keadaan sebegitu. Menyanyi lagu Melayu semata-mata bagi tujuan komersial atau mendapat duit.

Tidak ada penghayatan langsung terhadap lagu Melayu tersebut. Lagu sekadar hafalan. Sebab itu, kita lihat bila menyanyi, tidak ada penjiwaan. Lagu sedih, mimik muka senyum. Lagu ceria, mimik muka tidak ceria. 

Justeru, dalam usaha melahirkan rakyat 1Malaysia, mereka mesti menghayati dan sanggup berasimilasi dengan kaum majoriti. Jika terus-menerus mahu mempertahankan identiti bangsa, bahasa dan sekolah masing-masing, sampai mati pun kita tidak akan dapat lahirkan rakyat 1Malaysia.

Yang ada, hanya kepura-puraan. Luar lain, dalam lain. Kita hanya berjaya melahirkan pelakon semata-mata. Saya amat bimbang kita akan tertipu. Kita didampingi ketika ada kuasa, ada duit dan ada takhta. Bila semua itu telah tiada, maka hai-hai, bai-bai lah jawabnya.

Sebab itu, saya amat seronok melihat warganegara Thai yang bukan Siam. Asimilasi telah berjaya menampakkan dan menonjolkan keikhlasan mereka. Bila berjumpa Raja Siam, terus meniarap, seperti orang Siam. Kita masih terlalu jauh. Mengangkat sembah hormat, jauh sekali. Malah, Raja dihina dan dikutuk. Gelaran dan pangkat tidak malu pula disauk.

Kita amat teruja dengan slogan perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) atau Malaysia truly Asia. Itulah yang dicari dan dimahukan ultra kiasu selama ini. Memang sedap didengar. Sedap juga dijual. Realitinya, kepelbagaian tidak pernah menyatukan kita. Apa yang ada, setiap bangsa pentingkan diri masing-masing. Sentuh sahaja sedikit hak mereka, melenting tak tentu pasal.

Peliknya, bila hak dan identiti orang Melayu tercabut, tidak pula Melayu bising. Bahasa Melayu makin hilang! Sekolah kebangsaan mahu diliberalkan! Tanah rizab Melayu tergadai? Yang tinggal, UiTM dan Sekolah Agama. Itu pun terus dipertikai setiap kali bila disentuh hak mereka. 

Akhirnya, yang menjadi mangsa adalah kita. Kita yang terlalu percaya kepada orang lain, lebih daripada orang sendiri. Wahai DJ Dave dan Andre Goh, kenapa tidak ramai orang sepertimu sekarang? Aku rindu lagu ever green, menjelang hari raya.

By: Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah,

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik