Sunday, August 30, 2015

BERSIH 4.0: TUN M MUNCUL KALI KEDUA.

Selepas muncul sejenak di kawasan himpunan Bersih 4.0 dekat Dataran Merdeka pada 7.30 petang Sabtu...Tun Dr Mahathir Mohamad buat kemunculan kedua dekat lokasi perhimpunan itu petang Ahad.

Pada jam 4.30 petang beliau tiba menaiki LRT dan berjalan-jalan sambil menemui peserta himpunan itu yang mundar mandir sekitar Pasar Seni.

Di situ beliau ditemani oleh bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ,Datuk Zaid Ibrahim yang juga bekas pemimpin PKR.

Bekas Perdana Menteri itu yang bercakap pada wartawan di situ mendakwa beliau muncul bukan untuk ikut kehendak tuntutan atau sokong Bersih 4.0 tetapi hendak menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak letak jawatan.

Sementara itu kemunculan Dr Mahathir di lokasi himpunan itu telah mencetuskan rasa kecewa dikalangan pimpinan UMNO.Malah ada kalangan ahli parti dan pemerhati yang kebelakangan menyokongnya mempersoal tindakan terbarunya.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dalam kenyataannya mengulas hal berkenaan berkata mungkin Tun Mahathir tidak bersetuju dalam beberapa isu, tapi janganlah sampai merobohkan apa yang beliau sendiri telah sama-sama bina selama ini.

"Jangan kerana seekor nyamuk, habis kelambu dibakar,"katanya.

Kata Menteri Pertahanan itu beliau kecewa dengan tindakan Tun Mahathir, tokoh yang amat beliau hormati, kerana telah turun ke pentas pembangkang semalam.

" Bagi saya, beliau telah melanggar prinsip perjuangan yang beliau pegang selama ini. Tindakan beliau jelas bertentangan dengan nilai-nilai yang beliau ketengahkan kepada pejuang UMNO dan rakyat kesuluruhan semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Nilai-nilai inilah yang kita dan institusi kita pertahankan selama ini.

"Ketika demonstrasi besar-besaran pada tahun 1998, iaitu ketika zaman pentadbiran beliau, beliau secara jelas menyatakan bahawa demonstrasi jalanan bukanlah pendekatan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, apatah lagi menjatuhkan kerajaan.

"Kita semua tahu bahawa Bersih merupakan perhimpunan yang salah di sisi undang-undang. Malah, lebih teruk, Bersih kali ini telah menggugat keharmonian negara kerana diadakan di saat negara bersiap sedia menyambut kemerdekaan.

' Selama ini, kita tidak pernah menyekat Tun Mahathir untuk menyuarakan pandangan beliau di mana-mana platform sekalipun.

"Tetapi tindakan beliau bersekongkol di pentas pembangkang semalam tidak boleh diterima sama sekali. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara,"katanya.

Menurut Hishamuddin Tun Mahathir pasti sedar kesan keselamatan dan bahayanya jika demonstrasi jalanan dibiarkan berleluasa.

"Banyak negara di dunia tumbang bila mana pemimpin dijatuhkan melalui demonstrasi jalanan. Akhirnya rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa. Inikah matlamat yang ingin dicapai oleh seorang negarawan yang disanjung?,"katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditemui wartawan di Sandakan menyifatkan kehadiran bekas Perdana Menteri pada perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur semalam sebagai mengecewakan dan dikesali.

Ini kerana, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, Dr Mahathir merupakan individu yang paling lantang menentang demonstrasi jalanan terutama ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan berlaku demonstrasi besar-besaran oleh kumpulan reformasi.

Katanya bekas perdana menteri itu menganggap kumpulan melakukan demonstrasi jalanan adalah jahat.

“Kehadiran Mahathir pada perhimpunan Bersih 4 semalam sangat mengejutkan dan mengecewakan.

“Akhirnya Tun (Dr Mahathir) sendiri dahulunya penentang kuat kepada demonstrasi jalanan akhirnya dia sendiri terlibat," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Beluran di situ.

Ismail Sabri menegaskan, sebagai ahli UMNO, Dr Mahathir sepatutnya menghormati parti itu.

Katanya, alasan bahawa beliau bersama rakyat untuk hadir di perhimpunan Bersih 4 tidak boleh diterima sedangkan UMNO mempunyai 3.7 juta ahli yang boleh beliau wakili.

"Jumlah orang ramai yang hadir di perhimpunan Bersih 4 tidak boleh dianggap mewakili suara majoriti rakyat," katanya.

Beliau berkata sebagai anggota UMNO, Dr Mahathir perlu jelas bahawa perhimpunan Bersih didokong pemimpin parti pembangkang dan beliau sepatutnya mempertahankan kerajaan dan bukannya bersama-sama dengan kumpulan yang mahu menggulingkan kerajaan secara tidak demokrasi menerusi perhimpunan haram.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang ditanya mengenai hal berkenaan selepas satu majlis di Sungai Besar Selangor juga menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri amat mengecewakan.

Beliau berkata Tun Mahathir telah melanggar prinsip beliau sebelum ini yang menolak demonstrasi jalanan ketika krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 ketika Dr Mahathir memegang tampuk pemerintahan tertinggi negara.

"..tetapi disebabkan benci Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) dia (Dr Mahathir) sanggup bersekongkol dengan DAP yang berniat nak hancurkan parti.

"Walaupun kehadirannya ke perhimpunan itu sekejap tetapi beliau suruh peserta perhimpunan teruskan dan menggalakkan mereka terus berada di sana," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar.

Salleh berkata dalam setiap organisasi hanya terdapat seorang ketua dan apabila Najib telah dipilih sebagai presiden UMNO seharusnya semua anggota parti memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau.

"Tidak semestinya semua kita (pemimpin) lakukan betul dan dipersetujui tetapi prinsipnya bila nombor satu (presiden) buat keputusan kita kena ketepi pandangan peribadi untuk laksana apa yang diputuskan oleh presiden.

"Dahulu, Dr Mahathir lakukan perkara sama di Sabah mengenai penggiliran jawatan Ketua Menteri di mana beliau putuskan setiap dua tahun ketua menteri Sabah perlu ditukar. Walaupun ketika itu seluruh UMNO Sabah tidak setuju tetapi kita beralah dan akur dengan keputusan beliau kerana beliau presiden parti (ketika itu)," katanya yang juga bekas Ketua Menteri Sabah.

Sehubungan itu, Salleh berkata Tun Mahathir perlu mengekalkan prinsip berkenaan tetapi tindakan bekas perdana menteri itu yang tetap berterusan 'menyerang' Najib sangat bertentangan dengan pendirian beliau sebelum ini.

"Saya hormati Tun (Dr) Mahathir yang turut berkongsi tarikh lahir dengan saya dan saya juga pernah dilantik Ketua Menteri Sabah tetapi kita tidak boleh paksa pendapat kita diterima orang lain dan mengatakan pendapat kita sahaja betul.

"Kita dengar semua pendapat tetapi yang buat keputusan tetap nombor satu (Najib). Dulu tidak ada media sosial tetapi sekarang media biasa bersaing dengan media sosial...sebab itu penting kita sokong Najib bukan secara peribadi tetapi sebagai presiden parti," katanya.

Dari: Agendadaily.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik