Friday, August 21, 2015

DEIG: DIDAKWA TIDAK TELUS DAN MUDAH DISELEWENG.....

Langkah Kerajaan PKR Selangor menubuhkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) untuk menstruktur pelaburan 12 entiti di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dipersoalkan kerana didakwa tidak mempunyai ketelusan dan terdedah kepada risiko penyelewengan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, terma pinjaman DEIG sangat ‘pelik’ dan mengelirukan selain syarikat berkenaan bebas daripada diaudit apabila boleh membuat pinjaman pelaburan tanpa perlu melaporkan laporan kewangannya kepada kerajaan atau di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menyifatkan penubuhan DEIG sebagai ‘ada udang di sebalik batu’ Irmohizam turut meminta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mendedahkan nama dua individu yang menjadi pemegang saham DEIG dan bebas menguruskan aset milik rakyat Selangor itu.

“DEIG dalam konteks ini diberi kuasa mutlak yang boleh menguruskan semua anak syarikat di bawah MBI tanpa ada semak dan imbang yang seterusnya dapat menyebabkan masalah ketelusan dan akauntabiliti.

“Saya juga khuatir DIEG ini adalah cubaan untuk dijadikan sebagai saluran mendapatkan sumbangan politik, maka sengaja ditetapkan supaya tiada mekanisme audit yang sewajarnya untuk melakukan audit syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kekecohan dalam sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam apabila bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan tujuan sebenar kerajaan negeri mewujudkan DEIG bagi menguruskan pelaburan anak-anak syarikatnya.

Abdul Khalid mempertikaikan kewujudan DEIG yang didakwa ditubuhkan tanpa sebarang enakmen dan tidak mempunyai kelulusan DUN.

Mengulas lanjut, Irmohizam turut mempersoalkan apa rasionalnya DEIG perlu didaftarkan di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menstruktur anak-anak syarikat kerajaan negeri sedangkan perkara itu boleh dilakukan MBI.

Tambahnya, satu undang-undang perlu ada untuk mengawal DEIG kerana syarikat berkenaan akan mengawal operasi dan mengurus aset rakyat Selangor yang bernilai RM6.3 bilion.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga perlu menyiasat akaun syarikat itu kerana penubuhannya menimbulkan pelbagai persoalan dan pertuduhan serius.

“Jika Menteri Besar tidak setuju dengan cadangan yang diberikan oleh semua pihak dan terus mempertahankan pendiriannya berkaitan penubuhan entiti ini, maka sudah pasti ‘ada udang di sebalik batu’ yang rakyat sendiri akan dapat menilainya,” katanya.

Dari: MYKMU.NET

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik