Saturday, August 29, 2015

DEIG: KESINAMBUNGAN LANGKAH KAJANG.


Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) bagi menguruskan aset-aset milik Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor bernilai RM30 bilion dikhuatiri merupakan kesinambungan daripada ‘Langkah Kajang’ yang berjaya menyingkirkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini.

Bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata, beliau bimbang sekiranya pengurusan aset-aset MBI yang sepatutnya berlandaskan prinsip tadbir urus korporat dan akauntabiliti telah bertukar menjadi percaturan politik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Memang pelik apabila anak-anak syarikat MBI yang memiliki aset bernilai RM30 bilion ini akan diuruskan pula oleh sebuah syarikat sendirian berhad yang bernilai RM2. Ini menimbulkan rasa prasangka dan kekhuatiran oleh anak-anak Selangor.

“Saya takut kalau perkara ini ada terkandung dalam kitab Langkah Kajang yang mana difahamkan mereka mahu membuat transaksi yang memberi keuntungan atas angin dan kemudiannya digunakan untuk dana pilihan raya parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tindakan Kerajaan PKR Selangor menubuhkan DEIG menjadi isu paling panas di negeri itu berikutan syarikat bernilai RM2 tersebut didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang kini di bawah MBI.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mempertahankan langkah mewujudkan syarikat tersebut walaupun sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan usul agar penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat yang sekali gus bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, Mohamed Azmin sewajarnya berterus-terang dan membentangkan kertas putih di DUN Selangor bagi menjelaskan manfaat meletakkan pengurusan aset-aset MBI di bawah sebuah syarikat bernilai RM2.

“Kenapa perancangan untuk menubuhkan DEIG ini tidak dibentangkan dalam sidang DUN dan sekarang apabila orang persoalkan, baru cakap DEIG masih belum lagi beroperasi dan dijangka beroperasi pada tahun depan.

“Satu lagi perkara, dalam Enakmen Menteri Besar Selangor, ada disebut sekiranya ada transaksi perpindahan harta MBI, mesti dapat persetujuan atau dimaklumkan kepada Sultan Selangor, saya ingin bertanya adakah rancangan ini sudah dimaklumkan kepada Sultan Selangor?,” katanya yang juga merupakan anak kelahiran Selangor.

Katanya, langkah menubuhkan DEIG bagi menguruskan aset-aset MBI bakal menimbulkan isu ketelusan kerana negeri Selangor adalah negeri yang paling kaya dari segi aset selain daripada Sarawak.

Utusan

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik