Monday, August 31, 2015

HAKIMI KERAJAAN BILA SAMPAI MASANYA - PM.

Kalau puak yang berkampong dengan geng Bersih 4.0 dekat Dataran Merdeka merasa Datuk Seri Najib Tun Razak goyang dengan gempak dan pesta 'hura-hura' mereka selama dua hari sila dengar Amanat Merdeka 2015 beliau.

Mesej beliau cukup jelas.Tak payah susah payah nak memekak di jalanan segala macam.

Perdana Menteri dengan penuh yakin kata bila sampai masanya hakimilah kerajaan melalui peti undi pada pilihanraya umum.

"Sehingga itu berilah kerajaan peluang untuk terus memikul amanah,"katanya pada ucapan pada malam Merdeka yang disampaikan di dewan KLCC,Kuala Lumpur.

Sebelum itu beliau menolak sebarang andaian dan dakwaan bahawa Malaysia kini adalah ' failed state'.

Beliau kata gambaran seumpama itu ditonjolkan oleh spekulasi dan mainan di media sosial tanpa berasaskan fakta sebenar.

Serentak dengan itu Perdana Menteri memberi lima petunjuk untuk membuktikan bahawa ekonomi Malaysia masih kukuh dan berada di jajaran yang betul.

Katanya kejatuhan nilai Ringgit dan harga minyak dunia serta harga komoditi yang tidak menentu adalah sesuatu yang di luar kawalan kerajaan.

Petunjuk pertama,katanya,"di sebalik segala ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi serantau dan global, saya ingin maklumkan kepada rakyat sekalian, usahlah menjadi terlalu bimbang, hakikatnya ekonomi semasa Malaysia masih berkembang, contohnya tahun lepas, kita berada pada kadar 6 peratus dan tahun ini pula insyaAllah, akan mencapai 5 peratus.

"Tidak seperti tahun 1998, ketika berlakunya krisis kegawatan ekonomi Asia, di mana ekonomi kita telah menguncup sebanyak negatif 7 peratus.

"Petunjuk kedua; Sebetulnya, fundamental atau asas ekonomi negara pada hari ini, lebih kukuh lagi kerana kita telah mempelajari dari kesan krisis tersebut.

" Antara contohnya seperti defisit fiskal Kerajaan yang telah dapat dikurangkan dari negatif 6.7 peratus pada tahun 2009, kepada 3.2 peratus yang dijangka akan dicapai pada tahun ini.

"Seterusnya, sistem perbankan dan kewangan yang kekal mempunyai modal kukuh dan kecairan yang mencukupi. Kadar pinjaman tidak berbayar dan inflasi yang rendah serta terkawal.

"Petunjuk ketiga; kejayaan dasar-dasar negara khususnya melalui Dasar Transformasi Nasional, telah membawa kepada penurunan kadar kemiskinan, daripada 49.3 peratus pada tahun 1970, kepada hanya 0.6 peratus pada tahun 2014.

"Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar pula telah meningkat sebanyak 47.7 peratus dari 2009 hingga 2014. Manakala, sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan telah diwujudkan sejak pelancaran Program Transformasi Ekonomi pada 2010.

"Petunjuk keempat; Sekalipun Malaysia terus dihadapkan dengan sekian banyak cabaran domestik dan di arena global, kita masih kekal diiktiraf di mata dunia, kerana masih mampu mengawal pengurusan ekonomi negara dengan begitu baik.

"Ini terbukti, melalui penarafan dan laporan daripada agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody’s, Standard & Poor’s, IMF, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang keadaan serta pengurusan ekonomi semasa.

"Di sinilah, saya mahukan rakyat sekalian faham bahawa, segala kajian dan dapatan terhadap pencapaian Malaysia, bukanlah direka-reka, jauh sekali dipetik dari awan nan biru.

"Antara lain lagi, Malaysia telah berjaya menduduki tangga ke-12 daripada 60 negara dalam World Competitiveness Yearbook 2014.

"Namun, saya sedar bahawa, telah timbul keresahan akibat kejatuhan nilai matawang. Harus disedari bahawa ini merupakan fenomena global dan hampir kesemua negara tidak terkecuali daripada menerima kesan kejatuhan mendadak harga minyak dan komoditi, pengucupan ekonomi dunia, termasuk negara China, sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.

" Bagi maksud ini, saya perakui ada faktor-faktor dalaman yang masih berada dalam kawalan kita untuk dilakukan penambahbaikan.

"Maka, beberapa hari lalu, saya telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi, dianggotai 10 pakar ekonomi dan tokoh korporat, yang akan bertindak segera menimbang segala perancangan dan tindakan bersifat serta-merta sehingga kemelut ekonomi menjadi reda.

"Apa yang penting,… saya beri jaminan bahawa, Kerajaan tidak akan hilang fokus, malah akan terus membela untung nasib dan mendahulukan kepentingan, juga kesejahteraan rakyat.

Merujuk kepada gelagat himpunan haram Bersih 4.0,beliau  melahirkan rasa kesal atas tindakan segelintir pihak yang yang sanggup dan tergamak mencetuskan bibit-bibit persengketaan serta api permusuhan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara.

Menurutnya apa yang berlaku sehari dua ini amat tidak wajar, serta mempamerkan kecetekan minda dan miskin semangat kebangsaan, kata Najib yang jelas merujuk kepada perhimpunan Bersih 4 di ibu negara, Kota Kinabalu dan Kuching.

"Kerana itulah kita menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan hanya menyusahkan rakyat, kerana ia tidak langsung mencerminkan kematangan, bahkan ia bukanlah sebagai saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan dalam sebuah negara demokrasi.

"Sesungguhnya, kami tidak akan membenarkan sesiapa sahaja sama ada dari dalam atau luar (negara), untuk dengan mudahnya datang dan mencuri, merosakkan atau memusnahkan apa yang telah kami bina selama ini.

"Beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur begitu sahaja," katanya.

Najib berikrar beliau dan barisan pentadbirannya tidak akan membiarkan Malaysia jatuh, malah akan terus membangunkan tanah air supaya kekal makmur di persada dunia.

Perdana Menteri mengingatkan kemerdekaan yang mengajar sesebuah watan itu berdiri di atas kaki sendiri, hanya datang sekali dan bukanlah barang mainan, justeru ia harus dijaga, dipupuk dan dipelihara sebaik-baiknya.

"Saya berdiri di sini, dan berucap sebagai warga Malaysia yang bersemangat serta bangga dan ingin menyatakan dengan tegas bahawa negara serta tanah air ini adalah milik setiap seorang daripada kita dan kita tidak akan membenarkan sesiapa pun menjadi dalang serta pengkhianat untuk memusnahkannya.

"Bersabit itu juga, jangan ada sesiapa yang cuba mengadu domba meski apapun akan berlaku, biar berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua... persarikatan mulia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung bak pesan orang-orang lama, bercerai kasih bertalak tidak, ibarat besi terpatri mati," katanya.

Dalam ucapan kira-kira 40 minit itu, Perdana Menteri turut menjelaskan mengapa kemerdekaan begitu dekat dengan hati orang Melayu, UMNO dan Barisan Nasional.

"Kerana kemerdekaan inilah lambang kemuncaknya perjuangan, tanda tingginya kesungguhan dan bukti sifat penuh berani oleh orang-orang Melayu, UMNO dan rakan-rakan parti komponen, demi membina sebuah negara bangsa," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan yang lain akan meneruskan usaha itu walau apa pun cabaran yang mendatang serta dugaan yang melanda.

Ke arah itu, Najib berjanji bahawa beliau dan anggota pentadbiran serta Barisan Nasional akan terus berikhtiar gigih dan komited dalam memakmurkan Malaysia serta mensejahterakan rakyat.

"Suka saya ulangi di sini, sekali layar sudah dikembangkan, apabila sauh sudah dilabuhkan, pantang nakhoda dan anak-anak kapalnya berbalik haluan.

"Bersamalah kita berdiri, bersamalah kita bangun dan bersamalah kita bangkit dengan hati yang ikhlas dan tekad yang diperbaharui, memandang masa depan dengan jiwa yang gagah dan merdeka dalam satu solidariti, senada seirama, sehati sejiwa kita gemakan Merdeka! Merdeka! Merdeka!" katanya.

Dari: Agendadaily.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik