Saturday, August 29, 2015

JANGAN JADI PAK TURUT.

Ketika lagu-lagu patriotik berkumandang di corong-corong radio dan kebanyakan stesen televisyen menyiarkan program-program berunsur perjuangan memerdekakan tanah air bersempena menyambut Hari Kebangsaan negara Isnin ini, masih ada lagi pihak sibuk hendak mengadakan perhimpunan haram.

Kita semua tahu dan akui, perhimpunan Bersih sebelum ini tidak membuahkan hasil, sebaliknya sekadar tempat untuk meluahkan kemarahan yang sia-sia. Perhimpunan ini hanya menjulang suara parti pembangkang semata-mata.

Selain itu, ia turut memberi ruang kepada pihak tertentu mengeksploitasi situasi perhimpunan tersebut. Sudah pasti media-media asing akan sibuk merakamkan kejadian dan melaporkan kepada seluruh dunia .

Oleh itu, penulis berharap, anak-anak muda jangan menjadi ‘pak turut’ kepada pihak tertentu untuk turut sama turun ke jalan raya hanya kerana tercandu dengan pelbagai propaganda jahat untuk memalukan negara dan menjerumuskan kita ke arah perpecahan rakyat.

Tindakan Pas tidak mengerahkan ahli dan penyokongnya untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0 membuktikan pemimpin parti itu berfikiran rasional kerana tarikh perhimpunan tersebut tidak sesuai dengan hampirnya kita semua menyambut Hari Kebangsaan.

Masih banyak lagi saluran boleh digunakan jika tidak berpuas hati seperti melalui saluran perundangan dan jika tidak berpuas hati dengan kerajaan yang memerintah boleh menukar kepimpinan menerusi pilihan raya umum akan datang. Saluran ini adalah cara yang selamat dan matang.

Perhimpunan Bersih 4.0 dilihat hanya sebagai meraih sokongan politik semata-mata dan bukan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. Tidak salah jika mengadakan perhimpunan secara aman kerana ia dibenarkan oleh undang-undang dan dilindungi di bawah hak warganegara mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tetapi niat dan agenda yang tersembunyi oleh pihak penganjur boleh dipertikaikan.

Sudah tiga kali episod perhimpunan Bersih diadakan dan kita sudah semakin bijak menilai sendiri apa sebenar yang mereka mahukan.

Ketika penganjur perhimpunan Bersih sibuk melaungkan hak demokrasi, cubalah lihat sendiri berapa banyak kampung yang telah dirobohkan di Pulau Pinang kononnya untuk tujuan pembangunan. Penduduk terbabit menangis siapa yang peduli? Adakah penganjur perhimpunan Bersih peduli dengan nasib mereka?

Penganjur perhimpunan hanya bersikap selektif dalam perjuangan mereka dan hanya menjaga kumpulan elit ahli politik pembangkang semata-mata. Rakyat dipergunakan dan ada juga dikatakan diupah untuk menyertai perhimpunan terdahulu.

Golongan ini hanya sibuk berpolitik sepanjang masa tidak kira waktu sehingga tidak peduli langsung nasihat dan pandangan yang diberikan pelbagai pihak tentang keamanan dan keselamatan termasuk tidak sensitif ketika rakyat ingin menyambut Hari Kebangsaan. Sikap taksub kepada berpolitik telah mengenepikan sikap rasional dan lebih kepada emosi demi mengejar kepentingan diri dan kumpulan tertentu.

Sikap bongkak pihak penganjur ini memang sudah dijangka kerana mereka sudah kemaruk untuk berkuasa melalui cara mengajak orang ramai melakukan bantahan dan memberontak di jalan raya.

Malah ada di antara ibu bapa yang menyertai perhimpunan sebelum ini membawa kanak-kanak untuk berhimpun dan kita boleh menilai sendiri di mana tanggungjawab mereka? Apa yang ingin diperjuangkan oleh mereka sehingga sanggup mengheret kanak-kanak menyertai perhimpunan berkenaan .

Menghasut rakyat memberontak di jalan raya bukanlah amalan rakyat Malaysia selama ini. Hanya tidak sampai lagi tiga tahun kita akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sewajarnya kita sabar menunggu.

Cerita-cerita politik Malaysia sepatutnya hanya pada musim pilihan raya tetapi sekarang seolah-olah mengheret rakyat berpolitik sepanjang masa.

Mana-mana pihak yang hadir ke perhimpunan haram Bersih 4.0 perlu sedar mereka tidak akan mengubah apa-apa sekadar hanya menjadi tukang sorak dengan ucapan berapi-api daripada pemimpin pembangkang. Malah akan ada pemimpin-pemimpin parti pembangkang hanya duduk memerhati daripada bilik berhawa dingin sambil selesa minum kopi dengan teropong masing-masing.

Rakyat harus faham bahawa penyudah perhimpunan Bersih kebanyakan akan berakhir dengan keganasan serta tempat menjerit-jerit memaki pihak polis. Mereka juga sengaja untuk mencetuskan provokasi serta ketegangan agar pihak polis bertindak terhadap mereka ini.

Perhimpunan Bersih tidak akan lengkap jika tidak ada elemen-elemen ini dan cubaan memprovokasi menambahkan kemeriahan dan saya yakin pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih bijak menangani orang seperti itu.

Seharusnya sambutan Hari Kebangsaan dengan tema sehati sejiwa akan menjadi agenda lagi penting kepada negara dan akan membentuk karektor anak muda Malaysia yang lebih bertanggungjawab kepada negara.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Cintakan tanah air itu sebahagian daripada iman.“ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Kecintaan kuat kepada negara akan membawa negara lebih maju ke hadapan.

Kepada anak-anak muda, jangan mudah diperalatkan untuk menjadi ‘pak turut ‘ demi kepentingan politik sempit pihak–pihak tertentu. Letakkan golongan ini sebagai lambang dan simbol intelektual agar golongan ini dihormati dan disanjungi.

Sudah-sudahlah penganjur perhimpunan Bersih mengajak anak muda untuk berdemonstrasi. Jangan cuba menipu anak muda lagi. Kepada ahli-ahli politik pergilah berdebat di Parlimen sampai pecah mikrofon berucap, jangan pecah-belahkan perpaduan rakyat.

Anda yang bertanding pilihan raya jika mengatakan pilihan raya tidak adil sekalipun pergilah ke mahkamah bawa anak dan isteri serta sanak saudara dan jangan mengheret rakyat dalam mengejar kepentingan politik sendiri.

Jangan ingat kami anak muda tiada maruah. Kami mempunyai jatidiri untuk negara bukannya untuk parti politik tertentu! Agenda anak muda pada hujung minggu ini adalah menyambut Hari Kebangsaan dengan semangat sehati sejiwa bukannya menyertai perhimpunan haram.

By: Ezzarudin Abdul Rahman

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik