Friday, August 7, 2015

MALAYSIAKINI AGRESIF MENANGGUK DI AIR KERUH.

Portal berita propembangkang, Malaysiakini tentu ‘seronok’ dengan senario terbaharu politik negara. 

Ini kononnya ‘masa yang tepat untuk mana-mana portal’ terutama Malaysiakini menangguk di air keruh.


Saban hari Malaysiakini menyiarkan reaksi pihak-pihak tertentu menghentam kepemimpinan kerajaan. Tidak ada satupun yang baik di pihak kerajaan di mata portal ini.


Satu persatu komen negatif menjadi ‘buah tangan’ Malaysiakini. Kalau tidak secara direct, berita-berita yang dilaporkan secara sehala pun oleh agensi berita atau mana-mana media arus perdana atau melalui sidang akhbar yang dihadiri wartawan mereka, pasti akan diputar belit (spin) serta ‘diadun’ mengikut cita rasa pengurusan editorial portal ini.


Pernah seorang rakan dari Indonesia membangkitkan rasa pelik dan tidak faham mengapa dalam 10 komen pembaca yang dihantar ke portal itu, yang dipakai adalah sembilan yang negatif.


Kalau diikutkan profesionalisme dalam kewartawanan, belum ada lagi portal berita di dunia yang berat sebelah seperti Malaysiakini.


Suatu ketika kita di kejutkan dengan pengakuan Malaysiakini sendiri yang mengakui menerima pembiayaan dana asing termasuk daripada Open Society Institute (OSI). Selain itu Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didakwa turut menerima dana asing.


Malah, seorang bekas pengarang kanan Malaysiakini turut mengesahkan portal berita itu menerima dana daripada George Soros.


Pembiayaan dana asing kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kepada Malaysikini dibimbangi dipergunakan bagi tujuan tertentu yang boleh menggugat keselamatan Malaysia.

Ia berkemungkinan mengancam keamanan rakyat, sekali gus dapat menjatuhkan kerajaan seperti yang berlaku di Mesir beberapa tahun lalu.


Di Mesir, NGO mereka mengakui menggunakan dana asing untuk berpura-pura sebagai menyuburkan proses demokrasi tetapi sebenarnya mereka dibiaya bagi menggerakkan demonstrasi menjatuhkan rejim Hosni Mubarak.


Sewajarnya mana-mana NGO di negara ini jangan menerima dana asing. Kalau terima dana asing pun, perlulah diisytihar. Jangan disembunyikan supaya rakyat boleh membuat penilaian.


Namun sejauh mana pihak berkuasa negara ini menyiasat penglibatan penerimaan dana asing oleh Malaysiakini sehingga ke akar umbi?


Banyak pemimpin kerajaan telah menjadi mangsa Malaysiakini. Antaranya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang semasa itu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.


Beliau waktu itu membidas portal itu kerana memutar belit fakta berhubung pembabitannya dalam syarikat luar pesisir RZA International Corporation.


Walaupun fakta sebenar, katanya, sudah diberi kepada pihak portal berita berkenaan, mereka tetap memutar belit fakta sehingga mencemarkan nama beliau dan keluarga.


Malaysiakini, kata Raja Nong Chik, telah memburuk dan mencemar nama baik bapanya dengan menggambarkan beliau terbabit dengan ‘wang haram’, ‘pengelakan cukai’ dan ‘transaksi tidak sah’ semata-mata untuk memberi kelebihan kepada calon mereka dalam pilihan raya umum yang akan menyusul.

Raja Nong Chik antara sebahagian mangsa Malaysiakini.


Sikap tidak beretika dan niat jahat Malaysiakini dengan memutar belit fakta dalam laporan mereka, merupakan satu percubaan untuk mendapatkan kelebihan politik.


Ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pengamal media termasuk portal berita yang menjulang kebebasan media dan demokrasi.

Dari: Utusanonline

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik