Monday, August 31, 2015

MELAYU JANGAN JADI KELDAI TUNGGANGAN DAP.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang Melayu supaya tidak menjadi kuda tunggangan DAP seperti yang berlaku di negeri ini ketika pembangkang memerintah selama 11 bulan pada 2008.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika itu DAP menjadikan orang Melayu sebagai boneka disebabkan undang-undang yang menghalang kaum lain menjadi Menteri Besar, selain pelantikan ketua negeri perlu mendapat perkenan Sultan.

“Mula-mula mereka (DAP) tarik orang India, tetapi akhir-akhir ini mereka mula tarik orang muda Melayu.

“Niat mereka untuk menjadikan ADUN Melayu ini sebagai kuda tunggangan sahaja. DAP tarik orang Melayu sebagai ADUN sebab mereka tidak boleh jadi Menteri Besar, jadi mereka cari ADUN-ADUN Melayu yang dilantik sebagai pemerintah boneka,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Timur di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman.

Ahmad Zahid seterusnya mengingatkan ahli UMNO tidak mudah terpedaya dengan mainan parti lawan yang melaga-lagakan sesama ahli parti sehingga UMNO dilihat begitu lemah.

Beliau berkata, sebaliknya semua ahli parti harus mempunyai daya juang dan daya tahan yang tinggi untuk berdepan cabaran yang cukup hebat dalam perjuangan atau menghadapi kemungkinan UMNO akan berkubur.

Kata beliau, setelah Barisan Nasional (BN) gagal meraih majoriti dua pertiga di Parlimen dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, kegagalan yang sama jika berulang dalam PRU akan datang mungkin akan menyebabkan UMNO hanya tinggal sejarah.

“Banyak parti politik yang kini hanya tinggal sejarah, hanya tinggal nostalgia dan menjadi bahan kajian pada hari ini. UMNO tidak mahu menjadi seperti itu, kita mahu terus menjadi kerajaan yang memerintah.

“Untuk itu, setiap ahli UMNO harus ada daya juang yang tinggi dalam menghadapi cabaran politik yang cukup hebat hari ini,” katanya.

Beliau juga meminta ahli parti supaya kembali kepada ajaran agama dalam perjuangan politik dan menterjemahkan perjuangan tersebut dengan penuh keikhlasan.

Kata beliau, keikhlasan akan datang apabila semua ahli parti bekerja dan berjuang kerana Allah.

“Kembalilah kepada agama. Islam untuk orang Islam, kepada yang bukan Islam (dalam BN) kembali kepada ajaran agama masing-masing kerana tiada agama yang mengajar perkara yang tidak elok,” katanya.

Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik