Saturday, August 8, 2015

MELAYU SEMAKIN TERPINGGIR SETELAH 23 TAHUN SINGAPURA MENJADI REPUBLIK.

AIDCNews –7/8/15 – Dr Lily Zubaidah dalam bukunya, “Dilema Singapura: Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu” (1) menunjukkan perbezaan pekerja lelaki Melayu dan Cina selepas 23 tahun Singapura mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara republik.

“Seperti yang tertera pada Jadual 2.2, jurang antara Melayu dengan Cina dalam dua kategori pekerjaan yang tertinggi ialah 2.3 peratus pada 1957, yang meningkat kepada 4.1 peratus pada 1970 dan 9.6 peratus pada 1980.

“Sebaliknya terdapat nisbah yang lebih kurang sama antara Melayu dengan Cina dalam kategori kerja buruh pada 1957, tetapi menjelang 1980 nisbah orang Melayu 10 peratus lebih tinggi dalam kumpulan pekerjaan ini. Pada tahun 1980-an, masyarakat Cina terus menikmati mobiliti pekerjaan yang lebih tinggi berbanding masyarakat Melayu dan India,”katanya.

Menurutnya, perubahan pola itu disebabkan polisi kerajaan pimpinan Lee Kuan Yew dari Parti Tindakan Rakyat (PAP). 

Kuan Yew ketika itu adalah Setiausaha PAP merangkap Perdana Menteri Singapura.

“Sebilangan besar orang Melayu hilang punca pendapatan apabila angkatan tentera British berundur dari Singapura pada awal 1970-an. Bilangan orang Melayu yang diambil berkhidmat dengan angkatan tentera British memang besar jumlahnya. 

“Dasar kerajaan PAP mengurangkan pengambilan orang Melayu dalam bidang pertahanan bermakna bekas pekerja pekerja Melayu yang berkhidmat dengan tentera British kini sukar untuk diterima berkhidmat dengan angkatan tentera Singapura.”

Dr Lily berkata sepanjang tempoh kekecohan penyatuan Singapura dalam Malaysia, Lee Kuan Yew (ST, 5 Mei 1965) telah mencabar kedudukan dan hak istimewa berperlembagaan orang Melayu di Malaysia dengan mengatakan bahawa taraf peribumi orang Melayu tidak ada lebihnya jika dibandingkan dengan orang Cina, India dan masyarakat pendatang yang lain. 

Didorong sama ada oleh agenda politik yang menjurus untuk memajukan kepentingan politik PAP ataupun kerana memang betul-betul jahil tentang sejarah, budaya dan penduduk peribumi di rantau ini, Lee mengaitkan orang Melayu Malaysia dari keturunan Indonesia sebagai pendatang yang sepatutnya setaraf dengan masyarakat pendatang yang lain (Mauzy, 1983 : 32). 

Kesimpulan serupa yang meragui keperibumian orang Melayu terus dilakukan oleh orang bukan Melayu di Singapura dan sesetengah ahli politik bukan Melayu di Malaysia.

“Kekaburan yang menyelubungi penanda sempadan bagi orang Melayu dijadikan contoh dalam pelbagai takrif dan kriteria pentadbiran Melayu di Singapura. 

“Contohnya pengelasan pelajar Melayu yang layak mendapat yuran persekolahan percuma dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Awam seperti jelas menunjukkan keutamaan diberikan kepada golongan peribumi, dan dengan khususnya mengetepikan pelajaran Islam bukan peribumi yang bukan berketurunan Melayu dan juga mereka yang ‘menganut agama Islam tetapi berketurunan Pakistan, Arab dan India (cf. Chew Oon-Ai, 1978: 77). 

“Banci Penduduk 1980 secara samar-samar mentakrif Melayu sebagai ‘orang yang asalnya Melayu atau Indonesia seperti orang Jawa’ tanpa mengaitkannya dengan Islam. Walaupun sembilan Ahli Parlimen Melayu mengusulkan kepada Jawatankuasa Pilihan untuk Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) supaya memasukkan kriteria Islam ke dalam takrif Melayu (ST, 3 Februari 1988), tetapi Jawatankuasa Pilihan tersebut akhirnya mentakrif Melayu bukan dari segi Islam. 

“Menurut Jawatankuasa Pilihan itu, Melayu ialah ‘orang Melayu, Jawa, Boyan, Bugis, Arab atau mana-mana orang lain yang pada umumnya diterima sebagai ahli dalam masyarakat Melayu oleh masyarakat itu sendiri’ (ST, 11 Mei 1988).”

Rumus Dr Lily, walaupun hak istimewa kepada orang Melayu termaktub dalam Seksyen 152, Perlembagaan Singapura, namun ia tidak bermakna apa-apa jika tidak dilaksanakan.

“Dasar Kerajaan Singapura hendaklah diberikan pertimbangan dan kepentingan pada setiap masa dalam mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk peribumi pulau itu dan juga bangsa yang sangat memerlukan bantuan, dan oleh yang demikian menjadi tanggungjawab Kerajaan Singapura untuk melindungi, menyokong, memelihara dan menggalakkan kepentingan politik, pelajaran, agama, ekonomi, sosial dan budaya mereka serta penggunaan bahasa Melayu (Seksyen 152, Perlembagaan Singapura).”

(1) Petikan daripada buku, Lily Zubaidah Rahim, “The Singapore Dilemma: The Political and Educational Marginality of the Malay Community,” Oxford University Press, 1998.

By: Dr Liky Zubaidah,


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik