Thursday, August 27, 2015

MEMBANGUN MASA DEPAN MELALUI SEJARAH LAMPAU.

jalur Gemilang gergasi bersaiz 180 kaki lebar dan 93 kaki tinggi

Sambutan bulan kemerdekaan telah pun bermula. Empat hari lagi, iaitu pada 31 Ogos ini, negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan. Inilah masanya untuk rakyat Malaysia terutamanya generasi muda berbilang kaum menunjukkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara. Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut hari bersejarah ini sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.


Dalam bulan ini, sekali lagi rakyat Malaysia diingatkan dan digalakkan untuk mengibarkan Jalur Gemilang - bendera kebangsaan kita sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.


Bendera kebangsaan melambangkan semangat patriotik, kebanggaan, perpaduan dan kecintaan kepada negara. Bendera kebangsaan menunjukkan kita telah mencapai kemerdekaan dan membina kehidupan yang harmoni tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama. Di bawah satu bendera inilah, terletaknya simbol perpaduan untuk semua masyarakat kita menuju ke arah sebuah negara yang bersatu padu.


Saya yakin bahawa rakyat Malaysia amat berbangga dengan bendera kebangsaan kita kerana ia melambangkan semangat patriotik mereka terhadap negara yang mereka gelar sebagai rumah. Malah bendera kebangsaan bukan hanya dikibarkan pada Hari Kemerdekaan. Di kebanyakan negara yang pernah saya lawati, saya perhatikan bahawa bendera negara mereka dikibarkan setiap hari di bangunan kerajaan dan swasta seperti syarikat perniagaan, sekolah dan pusat komuniti.


Di Malaysia, kebanyakan pemilik bangunan tidak mengamalkan pengibaran bendera kecuali pada Hari Merdeka. Malah terdapat juga banyak premis yang tidak mengibarkan bendera pada hari yang penuh bermakna ini.


Apa yang paling penting di sini adalah untuk mendidik generasi muda kita untuk mengasihi bendera kita. Masa depan negara bergantung kepada golongan muda maka ia adalah penting untuk kita menyemai semangat kebanggaan dan kasih sayang dalam diri mereka terhadap Jalur Gemilang kita.


Walaubagaimanapun, saya juga ingin menegaskan bahawa mengibarkan Jalur Gemilang bukan hanya satu-satunya cara menunjukkan patriotisme seseorang. Patriotisme boleh diklasifikasikan dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, apabila kita bersuara untuk mempertahankan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman. Ini juga adalah satu perbuatan patriotik.


Ketika kita mengelakkan diri kita daripada melakukan perbuatan vandalisme ke atas harta awam atau membuang sampah di tempat-tempat awam sewenang-wenangnya dan menjadikan masyarakat kita bebas daripada jenayah serta melindungi dan memelihara alam sekitar. Kesemua tindakan ini adalah satu perbuatan patriotik.


Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik mereka melalui kata-kata mereka, pemikiran dan tindakan yang memberi kepentingan kepada negara. Seseorang yang patriotik juga bermakna pandangan dan pendapat ikhlas seseorang dalam bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara.


Melahirkan perasaan yang adil dan ikhlas seseorang terhadap hal ehwal negara kita adalah tanggungjawab yang perlu diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik dan cintakan negara serta mahukan yang terbaik untuk negara.


Dalam konteks masa kini, patriotisme boleh kita tafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan – ekonomi, politik, sosial, hubungan antarabangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang dan sebagainya.


Patriotisme atau sifat patriotik juga harus merangkumi usaha-usaha yang dapat meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia seperti penerokaan dan perkembangan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, model dan kaedah-kaedah pembangunan, keadilan sosial, keamanan dan kesejahteraan sejagat.


Patriotisme digalakkan kerana ia menjamin ketahanan nasional. Ia juga dilihat sebagai satu-satunya tenaga yang mampu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman dari dalam dan luar negara dan dengan itu memastikan kestabilan, keutuhan dan kelangsungan sesebuah negara-bangsa.


Sejarah masa lampau adalah cerminan masa depan kita. Kita banyak belajar daripada apa yang berlaku pada masa lampau. Bangsa yang tidak mengetahui sejarah masa lampaunya tidak akan mampu membangunkan masa depannya. Justeru, kita wajar menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan yang dikemudi oleh para pejuang kemerdekaan masa dahulu supaya kita dapat menyumbang demi untuk mencapai kejayaan di masa hadapan.


Penghayatan terhadap erti kemerdekaan perlulah dikekalkan secara berterusan supaya semangat perjuangan dan pengorbanan bekas tokoh-tokoh negara tidak dilupai generasi muda dan akan datang. Generasi muda hari ini perlu menghayati semangat kemerdekaan ini. Pengetahuan sejarah yang diperoleh melalui pembelajaran sejarah di sekolah adalah tidak memadai dan mencukupi bagi mendalamkan pengetahuan remaja hari ini tentang semangat kemerdekaan.


Sesungguhnya 31 Ogos adalah satu tarikh yang begitu bermakna yang tidak ada tandingannya. Kemerdekaan harus diambil berat dan dihayati dengan sebaik-baiknya supaya penghayatan itu tidak lari daripada landasan sebenarnya.

Oleh: TS Lee Lam Thye.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik