Saturday, August 29, 2015

NAK BERJUANG BIARLAH BERTEMPAT.

ORANG Melayu sudah pasti memahami pepatah, ‘Lebai malang, menang sorak kampung tergadai’, ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’, ‘yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran’, ‘sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna’. Malah, mereka juga diingatkan pesanan orang tua-tua, ‘jangan jadi pak turut’ atau ‘bagai lembu dicucuk hidung’.

Semua pepatah atau kiasan itu bukanlah dicipta dengan sia-sia. Ia berdasarkan apa yang sering berlaku dalam kehidupan orang Melayu. Antaranya mereka begitu mudah terpancing dan melenting. Apabila sudah marah atau tidak berpuas hati dalam sesuatu perkara, akal tidak lagi dijadikan sandaran, iman dicampak entah ke mana.

Begitulah hari ini apabila kita akan menyaksikan ribuan orang Melayu turun ke jalanan kononnya bagi memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Mereka berpusu-pusu untuk melanggar undang-undang dan menentang pihak berkuasa kerana perhimpunan yang diadakan diisytihar haram.

Kelompok itu bagaikan ‘lembu dicucuk hidung’ yang boleh diseret ke mana sahaja oleh pihak tertentu yang amat memahami kelemahan orang Melayu apabila mereka marah atau berasa tidak puas hati.

Ia tiada bezanya dengan Hang Jebat yang menderhaka kepada sultan apabila mendengar khabar Hang Tuah dihukum bunuh. Jebat mengamuk membunuh sesiapa sahaja hanya bersandarkan berita yang didengarinya, namun orang Melayu juga tidak boleh menjadi Hang Tuah yang setianya membuta-tuli.

Demikianlah juga segelintir orang Melayu pada hari ini, mereka suka terikut-ikut dan mudah terhasut dengan sesuatu perkara tanpa usul periksa. Lebih malang lagi ada pula bersemangat tidak tentu hala dengan berpegang kepada pepatah, ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’ atau melaungkan kata-kata ‘akan berjuang sehingga titisan darah terakhir’.

Tindakan atau semangat seumpama itu tidak menguntungkan orang Melayu sebaliknya hanya menyebabkan mereka semakin lemah dan mudah dilemahkan oleh puak-puak yang mengambil kesempatan atas ‘kejahilan’ orang Melayu berpolitik.

Kalau mahu bermati-matian mempertahan atau memperjuangkan sesuatu biarlah bertempat dan ada asasnya. Takkanlah turun melakukan huru-hara sehingga menggugat keselamatan dan ketenteraman awam pun dianggap satu perjuangan?

Tetapi itulah sikap orang Melayu apabila mereka marah, tidak berpuas hati atau teruja. Mereka merasakan apa yang dilakukan adalah betul biarpun kadang kala agak melucukan, termasuklah bersedia menjadi ‘benteng atau perisai’ kepada individu atau kumpulan tertentu.

Sebagai orang Islam, dalam berhadapan dengan apa juga isu termasuklah ajakan untuk berdemonstrasi atau memperjuangkan sesuatu, kita dilarang sama sekali melampaui batas, segalanya perlu berpandu kepada al-Quran dan sunnah.

Ini ditegaskan melalui firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 33 yang bermaksud: “Janganlah sekali-kali kami bertindak melampaui batas kerana Allah tidak suka kepada mereka yang melampaui batas.”

Begitulah juga dalam perhimpunan haram, wajarkah mereka yang mengaku dirinya Islam mahu melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara? Siapa yang akan untung? Betulkah orang Melayu akan dihormati dengan turun ke jalanan melakukan sesuatu protes?

Apa yang kita bimbang wujudnya ‘tangan-tangan ghaib’ yang menjadi ‘tok dalang’ menggerakkan pihak tertentu untuk memperalatkan orang Melayu mencetuskan huru-hara di tanah air sendiri.

Kesudahannya yang akan rugi adalah orang Melayu. Sebab itulah dalam apa keadaan sekalipun, mereka perlu rasional. Mereka tidak boleh terlalu teruja mahu menunjukkan kononnya mereka pejuang sejati atau pembela sehidup semati.

Sebenarnya tidak salah menjadi pejuang, bukanlah satu dosa kalau mereka ingin menjadi pembela, tetapi bak kata orang muda sekarang ‘agak-agaklah’, janganlah sampai kita dianggap menjadi ‘alat’ atau dilihat memperbodohkan diri sendiri termasuklah dalam berpolitik – dalam bahasa mudah, ‘jangan jadi badut’.

By: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik