Sunday, August 30, 2015

PARTI BARU WAJAH YANG SAMA...

Sejak awal Jun lalu, kumpulan 18 pemimpin kanan Pas yang ditolak secara demokrasi cuba mendandan wajah mereka agar dapat terus diterima rakyat. Mereka yang kemudiannya terus berilusi dengan nama yang muluk-muluk, Gerakan Harapan Baru (GHB), berhasrat menubuhkan parti baharu, Parti Islam Progresif (PIP) pada 31 Ogos ini.


Pendaftaran parti itu malangnya ditolak. Kementerian Dalam Negeri memberi alasan Islam adalah hak untuk semua yang memeluk agama itu dan penggunaan nama Islam pada parti politik boleh menyebabkan kekeliruan. Cukuplah, kesilapan lalu tidak boleh diulang.


Yang menjadi buah mulut sekarang bukan pendaftaran parti yang menggunakan nama Islam itu ditolak tetapi laporan polis sebuah parti politik lain yang ada kaitan dengan GHB. Sebelum ini tersebar khabar bahawa GHB akan mengambil alih parti kecil, Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) ekoran proses mendaftar parti baharu mengambil masa yang lama.


Dalam keghairahan GHB mendandan parti baharu berteraskan Islam, yang syumul dan inklusif, mereka sebaliknya terperangkap dengan dakwaan cuba mencari keuntungan politik yang mudah.

Setiausaha Pusat KITA, Azmi Othman mendakwa ada pihak cuba memalsukan maklumat untuk mengambil alih parti itu bagi diserahkan kepada GHB dengan tujuan menukar nama. Jika benar GHB terlibat dengan manipulasi dan pemalsuan seperti didakwa, ini bukanlah sesuatu yang baik kepada kumpulan ini.


Kumpulan kecewa Pas ini sudah terpalit dengan begitu banyak kontroversi. Sejak dalam Pas lagi, mereka dianggap sebagai gunting dalam lipatan dan duri dalam daging. Jelaslah, mereka adalah kumpulan yang dianggap telah mengotorkan Pas selama ini.


Memang prilaku mereka sentiasa dicurigai. Dalam kalangan mereka pun bukan sehaluan, masing-masing kepala angin. Masing-masing terkesan mahu membuktikan diri mereka hebat dan betul. Masing-masing mahu menghukum Pas bahawa parti itu yang rugi kerana menolak mereka.


Lebih parah, masing-masing dalam kumpulan ini mahu menjadi hero di mata DAP. Justeru, yang dapat dirasakan selama hampir tiga bulan ini ialah masing-masing seperti berlumba-lumba untuk membodek DAP dan juga PKR. Masing-masing mahu menjadi serba molek di mata sekutu mereka, bukannya rakyat terbanyak yang sudah muak dengan aksi politiking berpanjangan.


DAP, memang penting kepada GHB. Itulah masa depan politik mereka bahkan ada pihak yang berani mendakwa DAP yang membiayai GHB. Tuduhan yang sama seperti dahulu, semasa masih aktif dalam kekuasaan Pas.


Bayangkan GHB tanpa DAP. Sebab itu tidak mungkinlah kumpulan ini berani untuk membantah apa jua kemahuan parti yang dilabel cauvinis itu. Sekali DAP berdehem, nyiru mereka tadahkan.


Kuasa politik mereka juga akan banyak bergantung kepada DAP. Keahlian GHB yang setakat ini merupakan ahli Pas tidak akan membawa ke mana parti ini. Pas dan GHB serta UMNO akan berkubang dalam selut yang sama. Melihat cara GHB diurus dan barisan pimpinan yang ada, agak sukar untuk mereka menarik keahlian dan meraih sokongan umum yang banyak.


Yang tambah solid ialah DAP.. Yang nampak hebat, gah dan semakin angkuh juga parti yang satu ini.

Sokongan undi DAP yang minoriti itu akan menjadi penentu kepada kebanyakan kerusi pilihan raya yang bakal GHB tandingi yang pastinya di kawasan bercampur.


Mungkin atas alasan itu juga, GHB ini begitu bersungguh-sungguh untuk menyertai himpunan haram Bersih 4.0. GHB mahu membuktikan mereka mampu menggantikan tempat Pas dalam siri demonstrasi jalanan parti pembangkang ini.


GHB bahkan sepantas kilat menjanjikan kumpulan sukarelawan bagi mengawal himpunan Bersih 4.0 itu. Namanya pun seakan-akan sama dengan unit Amal Pas iaitu Amal Relief Malaysia (Arif).


Mengikut perancangan GHB, semua pimpinan mereka digerakkan untuk menyertai himpunan 34 jam yang dijadual berakhir tengah malam ini. Barangkali bagi perkiraan GHB, dalam konteks himpunan haram itu mereka telah berjaya menggantikan peranan Pas.


Tetapi perjalanan GHB sebagai sebuah parti politik yang dirancang bakal bergabung dalam satu pakatan baharu pada 16 September kelak, masih jauh. Mereka hanya terlihat suka menabur harapan yang setakat ini masih kabur.


Dengan alasan yang mudah dan berdasarkan sejarah, umur parti baharu itu tidak akan panjang. Banyak pihak bahkan melihat GHB hanya pujaan sementara DAP, setelah manisnya habis, sepah dibuang.


Lagipun setakat ini, GHB yang diuar-uarkan hebat dan bakal mengubah landskap politik Malaysia, tidak mampu berdiri sendiri. Mereka hanya mengekor suara DAP mahupun PKR.


Tidak terlihat GHB ini ada tarikan dan identiti baharu yang boleh menarik perhatian umum. Yang mereka hasilkan setakat ini hanya konflik dan perseteruan. Pimpinan mereka pun masih dalam kelompok yang sama. Hanya orang-orang itu juga yang bersuara.


Walaupun ada peluang menjadi gagasan politik yang serba baharu bagi memenuhi cita rasa rakyat yang semakin kompleks, GHB sebaliknya lebih selesa menampilkan wajah lama mereka yang perengus.

By Zulkefli Hamzah, 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik