Friday, August 7, 2015

SAMPAI BILA SEMPADAN NEGARA DIBOLOSI?


Tetapi rakyat yang membayar cukai sentiasa tertanya-tanya kenapa perkara yang dilaporkan itu masih terus berlaku atau tiada tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.


Agensi penguat kuasa di sempadan atau ditempat-tempat lain dalam negara ialah terdiri daripada penjawat awam dibawah pengurusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu pegawai tertingginya ialah berjawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), satu jawatan yang paling tinggi dalam perkhidmatan awam selepas jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN). Penjawat awam ialah pihak yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan.


KPPA dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) tidak boleh lagi berpeluk tubuh atau memejam mata, atau memekakkan telinga jika satu-satu isu berbangkit yang melibatkan penjawat awam.


Tidak logik langsung isu rasuah yang melibatkan agensi penguat kuasa hingga sempadan negara terus bolos tidak boleh diatasi kerana difahamkan dalam perkhidmatan awam di negara ini terdapat ratusan dan hampir ribuan pegawai tinggi kerajaan tidak termasuk perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat JUSA C, JUSA B, JUSA A, Turus 3, Turus 2 dan Turus 1, dan golongan ini dipanggil kumpulan professional dalam perkhidmatan awam.


Hanya dengan memanggil satu mesyuarat khas atau turun padang menemui penguat kuasa berkenaan bagi mengetahui masalah yang mereka hadapi berkaitan bebanan tugas adalah dipercayai ia boleh diatasi.


Namun ia tidak dilakukan seolah-olah agensi penguat kuasa itu terpisah daripada tanggungjawab JPA, dan rasuah melibatkan penjawat awam terus berlaku dan ini sangat memalukan penjawat awam yang lain.


Jika perkara berbangkit masih gagal diatasi, adalah tidak keterlaluan jika ada rakyat berpendapat adalah lebih baik sahaja Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengambil sahaja warga asing daripada negara Nepal yang merupakan manusia terbaik di dunia yang sentiasa setia kepada tugas dan majikannya untuk mengganti keseluruhan penguat kuasa di semua agensi kerajaan.


Cadangan ini memanglah tidak munasabah tetapi inilah hakikatnya yang patut diterima apabila rakyat yang membayar cukai sudah naik menyampah kepada penjawat awam berkenaan.


Saya cadangkan nama agensi tunggal itu ialah Pemerintah Keselamatan Kawasan Sempadan (Border Area Security Command) atau panggilan ringkasnya Bascom yang hanya diketuai oleh pegawai tinggi tentera (ATM) berpangkat Jeneral empat bintang. Adalah wajar Bascom diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri atau Jabatan Perdana Menteri dan tidak di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Bagi mengetuai pengawasan dan penjagaan keselamatan sempadan negara, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu keselamatan dan peperangan disamping ilmu-ilmu lain seperti pengurusan dan pentadbiran serta pengalaman lain.


Hanya pegawai tinggi tentera sahaja yang layak memegang jawatan pemerintah dan kesemua agensi-agensi penguat kuasa lain akan berada dalam Bascom dan bekerja serta mengamalkan displin ala-tentera.


Mengikut laporan khas tersebut terdapat penguat kuasa yang tidak amanah ada mengutip wang perlindungan di sempadan.


Difahamkan daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai perkara sama juga berlaku di premis-premis perniagaan pusat-pusat bandar dan di pinggir bandar atau di pekan-pekan iaitu terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di situ terpaksa membayar juga wang perlindungan setiap bulan kepada penguat kuasa berkenaan.


Perkara ini diceritakan sendiri oleh PATI yang terlibat. Atas sebab itulah PATI tidak lagi rasa takut ditangkap oleh pihak penguat kuasa.


Difahamkan daripada sumber-sumber tertentu berakhir 31 Disember 2014 lebih 12 juta PATI berada di negara ini.


Maklumat ini berdasarkan kepada kemasukan warga asing melalui jalan yang sah, namun tidak pulang ke negara asal setelah tamat tempoh visa. Ini tidak termasuk warga asing yang masuk melalui jalan tikus. Jika kenyataan ini benar, maknanya negara sedang dan akan menghadapi masalah besar untuk jangka panjang jika tidak diatasi mulai sekarang.


Jika benar 12 juta PATI berada di negara ini ia adalah satu jumlah yang sangat besar berbanding dengan keseluruhan jumlah penduduk negara seramai 29.3 juta orang.


Akhirnya negara kita akan dipenuhi oleh PATI dan negara ini juga akan menjadi lambakan manusia warga asing. Jadi pihak berkuasa yang diberi amanah hendaklah bijak dalam menguruskan PATI dan warga asing yang lain.


Mampukah Jabatan Imigresen menangkap PATI pada setiap hari?, dan mampukah Depot Tahanan Imigresen menerima tahanan baharu seramai itu setiap hari? Jika tidak, maknanya PATI di negara ini sudah tidak dapat dikawal lagi oleh pihak berkuasa.


Atas sebab itu adalah wajar anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diberi semula kuasa memeriksa dan menangkap PATI seperti tahun-tahun sebelum ini.


Saya juga berharap kerajaan menimbangkan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya anggota ATM diberi kuasa yang sama bagi tujuan sama.


Bagi tujuan tersebut, Jabatan Imigresen, MKN, ATM, PDRM dan Rela perlu bergabung sepanjang tahun untuk mengusir PATI di negara ini tanpa bertolak ansur lagi dan hukuman sebat adalah satu-satunya hukuman yang difikirkan amat sesuai dikenakan kepada PATI bagi memberi pengajaran dan untuk menakutkan warga asing yang ada cita-cita hendak datang ke negara ini.


Sehari dua yang lalu Menteri Dalam Negeri ada bercakap di Dewan Negara bahawa di negara maju pun ada PATI. Saya berpendapat jumlah PATI di negara ini sangat berbeza dengan jumlah PATI di negara maju iaitu jumlah PATI di negara maju adalah sangat kecil bilangannya berbanding dengan jumlah penduduk tempatan.


PATI di negara-negara tersebut sebenarnya tidak mengancam rakyat tempatan. PATI di negara ini disamping mengancam keselamatan rakyat tempatan seperti melakukan jenayah rompakan, rogol, pecah rumah, curi kereta kemudian jual alat ganti kereta dan lain-lain lagi.


Disamping itu mereka juga membawa penyakit berjangkit yang paling bahaya iaitu penyakit batuk kering, penyakit kusta dan penyakit-penyakit berjangkit yang lain.


Pihak kerajaan terutamanya MKN dan Jabatan Imigresen perlu sedar kerana rakyat sudah bosan dan sangat letih bercakap fasal PATI.


Hari ini, sedar atau tidak, PATI berjaya mengusir penyewa tempatan di satu-satu kawasan seperti yang di laporkan oleh akhbar Sinar Harian baru-baru ini.


Di kawasan Gombak, PATI masuk menyewa di kawasan itu secara beramai-ramai kemudian melakukan sesuatu yang kurang menyenangkan penduduk tempatan. Akhirnya penduduk tempatan angkat kaki meninggalkan kawasan ini. Maknanya rakyat tempatan telah kalah kepada PATI.


Kini di Kuala Lumpur di kawasan Pekeliling dan Damai Kompleks di Batu 1 Jalan Ipoh terlalu ramai warga asing daripada negara Pakistan, Nepal, Bangladesh yang menguasai kawasan tersebut.


Terdapat restoran dan kedai runcit warga asing, dan ramai rakyat tempatan yang terdiri daripada perempuan staf Hospital Kuala Lumpur telah angkat kaki ke tempat lain kerana tiada jaminan keselamatan.


Apakah MKN dan Jabatan Imigresen akan membiarkan sahaja tanpa apa-apa tindakan untuk memeriksa sama ada warga asing itu PATI atau sebaliknya?


Adalah dicadangkan organisasi MKN wajar ditambah baik dengan mewujudkan sebuah Unit Pengusiran PATI.


MKN wajar diketuai oleh seorang Pegawai Kanan PDRM empat bintang, dan mempunyai tiga timbalannya yang wajar diisi oleh Pegawai Kanan ATM tiga bintang, Pegawai Kanan Polis tiga bintang dan Pegawai Kanan Rela tiga bintang bagi tujuan menghapuskan PATI di negara ini.


Rasuah, rujuk Al-Quran di Surah Al-Maa’idah (Hidangan) Ayat 88 bermaksud: Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.


Ada pasukan Rela, simpan, hanya untuk mengawal lalu lintas pada majlis-majlis tertentu yang dihadiri oleh pemimpin kerajaan, atau mengawal stadium apabila ada perlawanan bola sepak, atau majlis-majlis lain.


Janganlah jadikan negeri-negeri di semenanjung ini sebagai negeri Sabah kedua iaitu PATI di negeri tersebut 10 kali ganda lebih ramai daripada jumlah sebenar warga Sabah yang bertaraf warganegara Malaysia.


Kepada Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Najib Tun Razak, demi untuk kebaikan dan kecemerlangan jentera kerajaan dalam pengurusan dan pentadbiran negara bagi menghadapi cabaran-cabaran mendatang adalah difikirkan wajar agar jawatan KSN, jawatan KPPA dan Timbalan KPPA dibuka kepada semua cabang perkhidmatan seperti perkhidmatan ATM, PDRM, Perkhidmatan Pendidikan, Perkhidmatan Perubatan, Ahli Akademi dan lain-lain, dan tidak wajar atau munasabah ia terus dimonopoli selama-lamanya oleh Pegawai Tabdir Diplomatik (PTD).


By: HAMID AIRBORNE,

Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik