Sunday, August 16, 2015

SIAPA DISEBALIK ARUL KANDA 1MDB?


Khabarnya ramai dilaporkan ‘terlopong mulut’ apabila menonton program serius Soal Jawab yang disiarkan stesen TV3 pada malam Rabu lalu, bukan kerana ia kebetulan membicarakan isu panas melibatkan 1MDB.

Juga ada dikatakan ‘terpegun’ menyaksikan kefasihan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mampu bercakap dalam bahasa Melayu tanpa masalah seperti gaya orang Melayu sejati.

Kepetahan beliau berhujah bahkan jauh lebih baik daripada ramai ahli parlimen dan pemimpin pembangkang bukan Melayu di Parlimen yang masih lagi tergagap-gagap apabila cuba berbahas ‘menghentam’ pihak kerajaan.

Biarpun Arul pernah berada lama di luar negara kerana tuntutan pekerjaan, cara beliau berbual mengutamakan bahasa Melayu nyata amat berbeza dengan tokoh-tokoh Melayu yang ‘selesa’ cakap Inggeris walaupun berterabur.

Memetik portal AgendaDaily, ramai yang ‘hairan’ ketika bos 1MDB itu tampil dalam program secara langsung tersebut apabila beberapa kali menyebut kalimah lazim seperti Alhamdulillah, Insya Allah dan seumpamanya.

Ini sebab jika tengok punya tengok sekali pandang wajahnya macam 100% imej tipikal orang India dan namanya pun memang sah nama orang India, tiada langsung unsur-unsur nuansa Melayu, Mamak atau pun Bangladesh.

Malah ketika mula-mula beliau diumumkan sebagai Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB pada 1 Januari 2015, ramai tentu ingat beliau rakyat Malaysia yang pasti tidak tahu cakap bahasa Melayu sepatah pun.

Sebenarnya tidak ramai tahu, bagi kalangan petugas media tempatan sendiri yang ketika kali pertama bertemu beliau untuk wawancara eksklusif pasti disapa dengan salam yang lembut dan berpelukan cara orang Arab.

Ada rakan-rakan pemberita media prokerajaan bahkan terkejut juga mendengar lenggok dialek bahasa Melayunya amat fasih dan lancar sama seperti iras-iras gaya Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Khabarnya kalau loghat Kelantannya terkeluar, habis lebih lancar lagi! Ironi mungkin ramai masih tidak tahu latar belakang siapakah dirinya itu. Arul membesar di Kelantan, walaupun beliau dilahirkan di Kuala Lumpur.

Ibunya seorang doktor yang bertugas di hospital kerajaan; kebanyakannya di luar bandar. Beliau membesar di Machang, Kelantan sebelum memasuki Maktab Tentera Diraja (RMC) di Kem Sungai Besi pada usia 13 tahun.

Ini bermakna Arul memang sah macam orang ‘Kelate’ juga dan jenis kuat makan budu. Habis tamat tingkatan 5 di RMC, beliau menyambung lagi pelajaran ke London School of Economics and Political Sciences di Britain.

Beliau memperoleh ijazah sarjana muda undang-undang atau LLB dan kemudian mendapat sarjana dari University College London pada tahun 2000 sebelum memulakan kerjaya awal sebagai penganalisis sekuriti.

Arul berkhidmat di firma kewangan Calyon di London dari Januari 2002 hingga Jun 2003 sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengarah bersekutu pensekuritian Calyon juga di London dari Julai 2003 hingga Mei 2004.

Beliau kemudian diberi kepercayaan dilantik sebagai pengarah modal pasaran Calyon di Bahrain antara Jun 2004 hingga Jun 2005. Jadi tidak hairanlah beliau dilaporkan boleh juga bertutur lancar dalam bahasa Arab.

Arul merupakan Ketua Perbankan Islam, Calyon di London dari Julai 2005 hingga Ogos 2006 sebelum pindah ke Barclays Capital sebagai Ketua Penyelesaian Pembiayaan Islam di Dubai dari September 2006 hingga Julai 2008.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah di RHB Islamic Bank Bhd. dan juga Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas di RHB Capital Bhd. serta RHB Investment Bank Berhad dari 20 Julai 2009 hingga 10 Mei 2011.

Arul sering bertugas di luar negara dan hanya sesekali pulang sama ada mesyuarat setelah terlibat dengan RHB atas lantikan bank tempatnya bekerja, Abu Dhabi Commercial Bank secara kebetulan ada saham di dalam RHB.

“Selepas pegang beberapa jawatan dalam RHB saya kerap balik ke Malaysia sama ada untuk bermesyuarat, bercuti dan sebagainya, ketika itu saya mula kenal dengan ramai ‘kapten industri’ dalam negara sendiri,” ceritanya.

Salah seorang yang dikenalinya itu kemudian mencadangkan kepada beliau untuk berbakti balik ke tanah air bagi ‘mengemudikan’ sendiri 1MDB dan selebihnya adalah sejarah yang tidak perlu dibahaskan secara peribadi.

Bercerita kalimah lazim seperti Alhamdulillah dan Insya Allah, ramai tidak tahu Arul sudah pun lama menganut agama Islam pada 2004 ketika pulang ke Kuala Lumpur susulan hatinya terbuka dengan hidayah cahaya Ilahi.

Ketika itu beliau masih lagi berkhidmat di Bahrain dan lafaz Syahadah memeluk Islam diucapkan sendiri dengan fasih di pejabat Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) tanpa sebarang hebahan publisiti atau promosi.

Jadi apakah pula cerita mengenai namanya yang masih lagi macam penganut beragama Hindu itu? Ramai yang mungkin terkeliru sehinggalah disiarkan program Soal Jawab di TV3 itu. Ia sebetulnya bukan tidak bersebab.

“Saya tanya Pejabat Mufti Wilayah perlu atau tidak saya tukar nama… mereka menerangkan biasanya di Malaysia, saudara baru diberi sijil memeluk Islam untuk tujuan pertukaran nama di kad pengenalan, pasport dan lain-lain.
Dari: KulaanNiring.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik