Monday, August 10, 2015

SPRM TIDAK DIANGGOTAI SEKUMPULAN MALAIKAT SUCI.


Baru-baru ini ramai di kalangan pihak anti-kerajaan yang melancarkan propaganda menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengecam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang dikatakan 'mengganggu siasatan' suruhanjaya tersebut.

Hasilnya, ramai jugalah di kalangan atas pagar, termasuk beberapa pemimpin politik UMNO yang terpengaruh dengan propaganda tersebut, menyifatkan ia sebagai tidak wajar dan 'tidak manis' dilakukan. PDRM terus dihentam kiri dan kanan...

Apatah lagi setelah dua pegawai tinggi SPRM ditukar ke Jabatan Perdana Menteri, tindakan itu seolah mencurah minyak ke dalam api sekaligus memarakkan lagi propaganda yang kononnya PDRM bertindak sebagai 'anjing kerajaan'.

Sesedap mulut, sesuka hati berbicara menuduh dan melemparkan tanggapan buruk? Mungkin itulah umat Islam dan rakyat Malaysia di zaman sekarang. Mungkin itulah akhlak mereka di zaman serba tohmah, serba fitnah ini, bukan?

Bagi mereka yang tidak mudah terpengaruh dan tahu tentang tugas kedua-dua pihak berkuasa itu, sudah pasti mereka tidak akan terburu-buru menuduh yang bukan-bukan mengenai isu ini.

Malahan, dari sudut perundangan dan tata etika penjawat awam di Malaysia, segala tindakan yang diambil oleh kedua pihak berkuasa berkenaan adalah sah dan tidak bercanggah dengan undang-undang.

Penulis terfikir, apakah SPRM lebih berhak terhadap PDRM? Atau PDRM lebih berhak terhadap SPRM? Apakah kuasa yang ada pada kedua pihak berkuasa itu bertindih antara satu sama lain?

Sebelum ini, berkali-kali kita mendengar SPRM bertindak menahan dan menyiasat ramai pihak termasuk jabatan-jabatan kerajaan, khususnya PDRM, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen dan sebagainya.

Namun, tidak ada satu pun jabatan atau pihak berkuasa itu 'melawan', mencerca, 'mengacum', marah, kecewa atau melakukan solat hajat terhadap tindakan SPRM itu. Malah ketika itu parti pembangkang pun turut mengecam SPRM terutama bagi kes mendiang Teoh Beng Hock dan Allahyarham Ahmad Sarbani.

Namun kini, bila SPRM disiasat dan pegawainya ditahan serta ditukar ke jabatan lain, pihak SPRM 'mengamuk', mengadakan solat hajat dan mengadu pada media atas 'kezaliman' PDRM terhadap mereka?

Dengan alasan mengganggu siasatan, SPRM seolah mencetus polemik yang mengandaikan PDRM telah berlaku zalim terhadap mereka? Jadi selama ini pihak SPRM tidak pernah berlaku 'zalim' terhadap mana-mana agensi? 'Suci' sangatkah SPRM hingga tidak wajar untuk disiasat?

Bila wujud dakwaan, khususnya laporan polis terhadap anggota atau pegawai SPRM yang memungkinkan wujudnya gerakan mengugat keselamatan dengan konspirasi menjejas kestabilan politik negara, apakah PDRM hanya perlu tutup mata sahaja?

Pada penulis, SPRM juga patut hormat pada kuasa yang ada pada PDRM sebagaimana jabatan itu dan semua jabatan lain di negara ini menghormati kuasa yang ada pada SPRM selama ini.

Malah, pihak lain juga boleh mengatakan bahawa "SPRM tidak perlu berlagak hebat dengan kuasa yang ada kerana pihak lain juga yakin bahawa kuasa Allah itu bersama dengan mereka, bukan?

Bezaya, PDRM dan jabatan-jabatan lain di negara kita ini tidaklah 'mengada-ngada' macam SPRM yang berlagak 'suci seperti malaikat'. Tidak boleh terima kenyataan bila disiasat pihak berkuasa lain? KSN tukar pegawai ke jabatan lain pun salah juga?

Ia seolah membayangkan SPRM dianggotai oleh sekumpulan malaikat dari langit yang "untouchable", bukan? Siapa sentuh SPRM, maka mereka zalim dan jahat? Entah undang-undang atau logik mana yang SPRM pakai, penulis tidak pasti...

Ketika SPRM teruk 'dibelasah' siang malam dalam kes mendiang Teoh Beng Hock dulu, agaknya pada siapa SPRM minta tolong agaknya? Bila segalanya sudah reda dan selesai, kini SPRM mendabik dada? Penulis mohon rasional dari SRPM dalam isu ini.

Justeru itu, penulis menyarankan pada SPRM supaya konsisten dan beristiqamah dalam siasatan yang mereka lakukan. Namun sekiranya mereka disiasat mana-mana pihak, bersabarlah dan yakinlah bahawa Allah itu bersama mereka yang benar.

Penulis yakin bahawa sekiranya anggota SPRM itu berada dipihak yang benar, PDRM atau mana-mana pihak sekali pun boleh siasat semahu-mahunya namun mereka tidak akan menemui sebarang kesalahan pada tubuh SPRM itu, bukan? Jadi, apa yang nak ditakut atau dikeluhkan?

Sekiranya SPRM berjaya mengharungi kes mendiang Teoh Beng Hock dengan baik, penulis yakin mereka juga akan berjaya mengharungi dugaan ini dengan tabah. Bekerjasamalah dengan pihak berkuasa lain demi menegak sebuah keadilan di negara kita. -Amir Hamzah/Utaranews.com

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik