Tuesday, August 11, 2015

UNDANG2 TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN SAHAJA TIDAK MENCUKUPI.

Undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan sahaja tidak mencukupi jika tidak dilaksanakan, rumus Dr Lily Zubaidah Rahim dalam bukunya bertajuk “Dilema Singapura: Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu”

Ini kerana dalam Perlembagaan Singapura jelas termaktub hak istimewa kepada orang Melayu dalam Seksyen 152, namun polisi kerajaan yang memerintah lebih penting berbanding dengan undang-undang yang termaktub.

Seksyen 152, Perlembagaan Singapura berbunyi :

“Dasar Kerajaan Singapura hendaklah diberikan pertimbangan dan kepentingan pada setiap masa dalam mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk peribumi pulau itu dan juga bangsa yang sangat memerlukan bantuan, dan oleh yang demikian menjadi tanggungjawab Kerajaan Singapura untuk melindungi, menyokong, memelihara dan menggalakkan kepentingan politik, pelajaran, agama, ekonomi, sosial dan budaya mereka serta penggunaan bahasa Melayu

Undang-undang yang termaktub seperti di atas masih wujud dalam Perlembagaan Singapura. Ia tidak perlu dimansuh atau dibatalkan, namun tiadanya usaha dan galakan kerajaan untuk melaksanakan, undang-undang itu hanya kekal di atas kertas sahaja.

Petikan daripada buku, Lily Zubaidah Rahim, “The Singapore Dilemma: The Political and Educational Marginality of the Malay Community,” Oxford University Press, 1998 seperti berikut :

Sepanjang zaman pemerintahan penjajah di Singapura, masyarakat Melayu sentiasa hidup dalam keadaan terpinggir dari segi sosioekonomi, pelajaran dan politik (1) 

Dalam penghujung dekad abad kedua puluh, selepas hampir tiga puluh tahun Singapura mencapai kemerdekaan politik, taraf mereka masih tidak berubah. Keadaan ini menyebabkan jati diri Melayu menjadi bertambah kompleks yang bukan sahaja sebagai orang Singapura, peribumi dan Islam tetapi juga terpinggir dari segi sosioekonomi, pelajaran dan politik. 

Antara lewat 1950-an sehingga 1982, iaitu apabila badan bukan kerajaan milik Melayu/Islam, Mendaki ditubuhkan, kerajaan PAP menerima pakai pendekatan pendukung idea kesederhanaan terhadap kelemahan sosioekonomi dan pelajaran yang menyelubungi masyarakat Melayu, ketika jurang sosioekonomi dan pelajaran antara orang Melayu dengan orang Cina semakin jauh (Jadual 2.2)

Seperti yang tertera pada Jadual 2.2, jurang antara Melayu dengan Cina dalam dua kategori pekerjaan yang tertinggi ialah 2.3 peratus pada 1957, yang meningkat kepada 4.1 peratus pada 1970 dan 9.6 peratus pada 1980.(2) 

Sebaliknya terdapat nisbah yang lebih kurang sama antara Melayu dengan Cina dalam kategori kerja buruh pada 1957, tetapi menjelang 1980 nisbah orang Melayu 10 peratus lebih tinggi dalam kumpulan pekerjaan ini. Pada tahun 1980-an, masyarakat Cina terus menikmati mobiliti pekerjaan yang lebih tinggi berbanding masyarakat Melayu dan India (Jadual 2.3).

Sungguhpun terdapat penurunan sebanyak 25.3 peratus pekerja lelaki Cina yang berpendapatan kurang daripada $400 sebulan antara tahun 1975 sehingga 1980, tetapi nisbah pekerja lelaki Melayu dalam kategori pendapatan itu pula meningkat sebanyak 1.5 peratus dalam tempoh yang sama. 

Manakala terdapat peningkatan sebanyak 5.9 peratus pekerja lelaki Cina yang berpendapatan lebih daripada $1,000 sebulan antara tahun 1975 sehingga 1980, berbanding nisbah pekerja lelaki Melayu yang hanya meningkat 1.9 peratus (Jadual 2.4). 

Sepanjang tahun 1980-an, tahap pendapatan relatif masyarakat Melayu tidak menggalakkan. Pada 1980, purata pendapatan isi rumah orang Melayu ialah 73.8 peratus daripada purata pendapatan isi rumah orang Cina (Jadual 2.5).

Tahun 1990 pula, jurang pendapatan semakin jauh kerana purata pendapatan isi rumah orang Melayu jatuh kepada 69.8 peratus daripada purata pendapatan isi rumah orang Cina (3) (Jesudason, 1993:16).

Pada tahun 1980-an, sedikit sahaja tanda-tanda yang menunjukkan jurang pelajaran antara pelajar Melayu dengan Cina semakin rapat, sebaliknya dalam kebanyakan kes ia semakin jauh berbeza. 

Di peringkat tinggi (Jadual 2.6), pelajar Cina tampaknya mendahului dengan 2.9 peratus peningkatan dalam kemasukan ke university antara tahun 1980 sehingga 1990, berbanding peningkatan 1.7 peratus bagi pelajar India dan hanya 0.8 peratus peningkatan bagi pelajar Melayu. 

Yang ketaranya, majoriti (55 peratus) mahasiswa Melayu pada tahun 1990 mendaftar dalam fakulti Sastera berbanding 35.5 peratus mahasiswa India dan 25.7 peratus mahasiswa Melayu yang mendaftar dalam fakulti perubatan berbanding 8.2 peratus mahasiswa Cina (STWOE, 1 Mei 1992)

Jurang pelajaran antara orang Melayu dengan bukan Melayu kian mencemaskan apabila diambil kira peratus siswazah sebagai ketua isi rumah bagi setiap masyarakat etnik. 

Manakala hanya 1.4 peratus isi rumah Melayu pada 1990 yang diketuai (4) oleh mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan peringkat tinggi, bagi isi rumah Cina ialah 9.6 peratus dan 6.4 peratus isi rumah India (ST, 28 November 1992). 

Pada peringkat sekolah rendah dan menengah, jurang pelajaran juga kelihatan semakin jauh berbeza antara orang Melayu dengan bukan Melayu sepanjang tahun 1980-an. 

Pada tempoh tersebut juga, peratus orang Melayu yang lulus, berbanding orang Cina, bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan Sijil Am Pelajaran (GCE ‘O’ Level) berbeza antara 3-5 peratus (NCSMMP, 1990:104). 

Menjelang awal 1990-an, satu-satunya tanda yang menunjukkan pengurangan jurang pelajaran adalah PSLE 1992, dengan pelajar Melayu menunjukkan peningkatan 6.5 peratus daripada keputusan PSLE 1991 mereka, berbanding peningkatan 1 peratus bagi pelajar Cina dan 5 peratus bagi pelajar India (ST WOE, Julai 1993).

Perbezaan sosioekonomi antara masyarakat Melayu dengan bukan Melayu dapat dilihat melalui tahap bilangan etnik yang tinggal bukan di kawasan perumahan awam. 

Ciri ekslusif tinggal di kawasan perumahan persendirian ditunjukkan melalui fakta bahawa pada 1990 purata pendapatan bulanan bagi setiap isi rumah ialah $6,423, iaitu melebihi dua kali ganda purata pendapatan bulanan setiap isi rumah peringkat negara., iaitu $3,076 (ST, 28 November 1992). 

Ciri ekslusif tinggal di kawasan perumahan persendirian menjadi lebih relevan memandang fakta bahawa 85.7 peratus daripada jumlah penduduk pada tahun 1990 tinggal di kawasan perumahan awam yang disediakan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) (ST WOE, 25 Mei 1991). 

Hanya 1.4 peratus orang Melayu yang tinggal di kawasan perumahan persendirian 11.8 peratus orang Cina dan 9.3 peratus orang India (ST WOE, 25 Mei 1991).

(1) Nasionalis Indonesia, Tan Melaka mencatatkan bahawa ketika Raffles mula-mula tiba di Singapura, orang
Melayu menguasai aktiviti seperti perindustrian, pelayaran, perikanan dan perdagangan. Dalam beberapa lawatannya ke Singapura dalam separuh pertama abad kedua puluh, Tan Malaka mendapati berlaku kemerosotan mendadak dalam kedudukan sosioekonomi masyarakat Melayu berbanding kumpulan etnik yang lain (cf Jarvis, 1991 : 102-05).

(2) Dalam tempoh tegang sewaktu menyertai dan selepas keluar daripada Malaysia dari 1963 hingga 1965, terdapat ramai golongan professional dan kelas pertengahan Melayu yang berhijrah ke Malaysia (Pang, 1984:123). Sebilangan besar orang Melayu hilang punca pendapatan apabila angkatan tentera British berundur dari Singapura pada awal 1970-an. Bilangan orang Melayu yang diambil berkhidmat dengan angkatan tentera British menang besar jumlahnya. Dasar kerajaan PAP mengurangkan pengambilan orang Melayu dalam bidang pertahanan bermakna bekas pekerja pekerja Melayu yang berkhidmat dengan tentera British kini sukar untuk diterima berkhidmat dengan angkatan tentera Singapura.

(3) Pendapatan isi rumah masyarakat India berbanding masyarakat Cina juga merosot bagi tempoh ini. Pada 1980, purata pendapatan isi rumah orang India ialah 93.4% peratus manakala pada 1990 puratanya ialah 88.9 peratus daripada purata pendapatan isi rumah orang Cina (Jesudason, 1993:16).

(4) Gelaran ‘ketua’ yang janggal ini yang diperoleh daripada data banci kerajaan merujuk kepada bapa atau ibu/bapa tunggal.

Dari: AIDCNews.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik