Sunday, August 2, 2015

USAH CAGAR ISTERI KERANA POLITIK.

SUDAH tidak menjadi rahsia lagi akan wujudnya bai'ah atau perjanjian taat setia yang dikaitkan dengan jatuhnya talak tiga terhadap isteri yang dikahwini sekiranya ada yang bercadang keluar daripada Pas setelah menang pilihan raya.

Walaupun pernah dinafikan pimpinan kanan Pas satu ketika, namun akhirnya pimpinan Pas sendiri yang memperakuinya setelah wujudnya gerakan keluar parti secara besar-besaran dalam kalangan pimpinan Pas yang tewas dalam pemilihan tempoh hari untuk menubuhkan parti baharu.

Biarlah apa pun alasan yang diberikan hakikatnya bagi penulis membuat baiah yang dikaitkan dengan talak tiga terhadap isteri merupakan satu kecelaruan moral dan krisis akhlak yang serius.

Seolah-olah isteri yang amat tinggi nilainya di sisi Islam hasil daripada ikatan perkahwinan yang kudus begitu mudah untuk menjadi bahan cagaran bagi memenuhi kepentingan politik kepartian.

Islam melihat hubungan suami isteri  satu yang suci dan mendapat keredaan ALLAH. Gambaran diberikan oleh ALLAH dalam al-Quran mengenainya juga jelas: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu sebagai pakaian bagi mereka”. - al-Baqarah: 187.

Begitu juga dengan matlamat perkahwinan dalam Islam adalah suatu matlamat yang kudus dan murni dalam erti kata mencari sakinah (ketenangan hidup), mawaddah (kasih sayang), dan rahmah (belas kasihan), yang sesuai dengan naluri manusiawi, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah ar-Rum : 21.

Hakikatnya, wanita bukanlah komoditi murahan yang boleh dicagarkan sewenang-wenangnya. Apatah lagi apabila dikaitkan dengan baiah yang melibatkan soal talak dan penceraian demi kelangsungan dan kepentingan politik yang sempit.

Sedangkan talak atau cerai itu sendiri adalah merupakan perkara yang paling dibenci oleh ALLAH walaupun ia dibolehkan dalam Islam sebagai jalan penyelesaian terakhir. Sabda Rasulullah SAW: “Perkara halal yang paling dibenci oleh ALLAH adalah talak”. Hadis hasan Riwayat Abu Daud.

Malah, kesan dan implikasi akibat penceraian sebegini dalam sebuah institusi keluarga yang dibina di atas dasar mencari sakinah, mawaddah dan rahmah adalah amat buruk dan menjelikkan.
Adalah amat tidak wajar apabila isteri dan anak-anak yang tidak bersalah dilibatkan bersama dan turut dijadikan mangsa.

Akal yang waras dan sihat tidak akan dapat menerima talak dan penceraian sebegini sebagai satu jalan penyelesaian yang terbaik. Apakah kita suka melihat sebuah keluarga yang bahagia akhirnya porak-peranda dan berpecah-belah serta menjadi cemuhan masyarakat akibat baiah dan sumpah sebegini yang jelas menggunakan nama agama demi untuk memenuhkan nafsu politik mereka?

Berkaitan lafaz sumpah yang dilakukan dengan menggunakan nama ALLAH dan dikaitkan talak taklik ulama hampir sepakat mengenai hukumnya dalam Islam. Secara umumnya, talak yang dilafaz secara bersumpah, bergurau atau berikrar adalah sah dan hakiki sekalipun ia adalah talak taklik (iaitu talak yang jatuhnya bergantung kepada sesuatu perkara), selagi mana ia bukan dipaksa. Inilah yang disebut dalam kitab-kitab fekah berkenaan perkara ini.

Pimpinan Pas mengetahui perkara ini dan mengambil kesempatan atas nama agama untuk menyekat ahli dan pimpinan yang ingin keluar dari parti. Oleh yang demikian, mereka yang menerima perkara itu dengan menandatangani perjanjian baiah tersebut dan memahami isi kandungannya adalah tertakluk kepada talak tersebut.

Cuma isunya mungkin dalam persoalan adakah talak itu jatuh dengan talak tiga? Dalam mazhab Syafie, talak tiga yang dilafazkan adalah benar-benar jatuh, namun dalam mazhab Maliki, talak yang dilafazkan kali pertama walaupun dengan talak tiga adalah jatuh dengan talak satu. Bahkan kebanyakan umat Islam di Malaysia bertaklid dengan mazhab Maliki dalam hal ini.

Memahami hakikat dan implikasi baiah sebeginilah maka sebagai orang Islam adalah tidak wajar kita meruntuhkan sebuah institusi yang begitu luhur dalam Islam demi kepentingan politik kuasa.

Sesungguhnya amat malang apabila politik diletakkan melebihi segala-galanya mengatasi institusi kekeluargaan. Seolah-olah politik itu lebih kudus daripada ikatan ukhuwah dan kekeluargaan suami isteri yang dipelihara ALLAH.

Justeru, kembalilah kepada ajaran dan suluhan agama yang sebenar, berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Kena ada sempadan dan batasannya dalam berpolitik dan berparti. Setiap warga dan pendukung parti seharusnya berpegang pada akal yang waras yang jauh dari pertimbangan hawa nafsu politik sempit hingga sanggup menggadaikan agama dan maruah institusi keluarga.

Moga-moga ALLAH jadikan kita orang yang tidak terlalu taksub dan fanatik kepada parti sehingga kita buta kepada ajaran agama itu sendiri yang mementingkan ukhuwah Islamiah, institusi keluarga, kesatuan, akhlak-akhlak yang baik dan sebagainya.    
Dari: SinarHarian.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik