Tuesday, September 8, 2015

ADAKAH RAKYAT AKAN MENGUNDI BN?


Para pemimpin Bn, mengutuk, bahawa pertukaran kerajaan bukan melalui pilihanraya adalah salah. Atas sebab itu, ura-ura undi tidak percaya kepada DS Najib Razak dibidas. Sehubungan itu, Speaker Dewan Rakyat membuat kenyataan tiada provision dalam parlimen memungkinkan dilakukan undi tidak percaya. Dengan kenyataan itu, tindakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, tertutup rapat, jika adapun, ianya bukan menurut peraturan dewan rakyat.

2. Di Malaysia ini ada dua pengalaman, pertama Tahun 1994 di Sabah. Masa itu telah berlaku pertukaran kerajaan bukan melalui pilihanraya, sebabnya kerajaan yang memerintah telah kehilangan majoriti. Juga di Perak pada Tahun 2009, kerajaan yang memerintah juga jatuh bukan melalui pilihanraya, sebabnya sama, kerajaan kehilangan sokongan majoriti. Ironinya, kedua-dua kejatuhan kerajaan itu bukan melalui pilihanraya dan tidak dibawah kepada sidang Dewan Undangan Negeri.

3. Mungkin apa yang dipercakapkan oleh para pemimpin Bn yang mengutuk pertukaran kerajaan bukan melalui pilihanraya, adalah undi tidak percaya diadakan di Dalam Dewan Rakyat. Undi tidak percaya melalui dewan rakyat, tidak boleh diadakan, sesuai dengan kenyataan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bahawa dewan rakyat tidak mempunyai provision untuk tindakan seperti itu.

4. Oleh kerana tindakan undi tidak percaya tidak bakal berlaku, oleh kerana sebab sepertimana yang dinyatakan oleh Speaker dewan rakyat, juga fakta yang ada bahawa DS Najib Razak masih mendapat sokongan 133 MP daripada 222, maka sesiapa yang berminat untuk menukar kerajaan, maka terpaksa menunggu PRU-14, yang bakal diadakan Tahun 2018.

5. Rata-rata Pemimpin Bn, meminta sesiapa sahaja yang berminat mengubah kerajaan, maka perlu menunggu pilihanraya umum. Pada PRU, maka rakyat adalah pengadil, apa kah akan mengundi Bn atau tidak. Pada PRU-13, daripada segi undi popular, memang Bn telah kalah, namun sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara menggunakan kerusi, maka Bn masih membentuk kerajaan persekutuan.

6. Perlu diingat, bahawa daripada 134 kerusi yang dimenangi Bn, 37 daripadanya merupakan kemenangan marjinal, ertinya jika berlaku swing 2 peratus sahaja mode pengundi menolak Bn, maka kerusi tersebut bakal hanyut. Perasaan itu dikongsi sama oleh Timbalan Menteri KDN- Datuk Nurjazlan Mohammad.

7. Pada PRU-13, ramai calon Bn termasuk mereka yang berjawatan dalam kabinet telah tumpas, meskipun tidak banyak isu yang didepani Kerajaan.

8. Selepas sahaja DS Najib Razak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, Tun Dr Mahahir Mohammad menyertai semula Umno dan berkempen untuk Umno dan Bn. Namun, Bn bukan sahaja tidak mendapat semula kuasa 2/3, kuasa tradisi sejak merdeka, malah kehilangan 7 kerusi Dewan Rakyat. Menurut Tan Sri Shahrir Samad, kehadiran Tun Dr Mahathir sudah tidak releven, atas sebab itu meskipun menyokong Bn sebelum PRU-13, Bn masih tetap tidak mampu memperolehi kuasa 2/3. Kenyataan Sharir tersebut, bermakna bahawa kritikan Tun Mahathir kepada DS Najib Razak termasuk mendesak PM ke-6 itu untuk letak jawatan tidak akan membawa impak kepada sokongan kepada Umno dan Bn. Alasan MP Johor Bahru itu, bahawa semasa berdepan PRU-12, Tun Dr Mahathir juga menghentam Tun Abdullah, dan keputusan PRU itu, Bn masih menang dengan kerusi 140, meskipun kehilangan kuasa 2/3 di Dewan Rakyat.

9. Perlu diingat, Bn dalam mendepani PRU-14, sedang bergelut dengan kemelut 1MDB dan persepsi negatif yang luar biasa yang berkaitan dengan peribadi Perdana Menteri.

10. Pembangkang dan Tun Dr Mahathir serta media asing kerap mengwar-warkan masalah peribadi Perdana Menteri, termasuklah isu perkahwinan mega anak beliau. Isu perbadi boleh menjadi penghambat kepada seseorang untuk meneruskan kerjaya, seperti mana berlaku pada Datuk Ali Rustam, beliau kalah pada PRU-13 kerana terpalit dengan pesta perkahwinan anak beliau yang mega.

11. Jangan nafikan, bahawa faktor persepsi boleh dinyakan dengan mudah, persepi boleh membawa mudarat malah kejatuahan sesebuah kerajaan, malah sesebuah negara boleh di serang seperti mana berlaku pada Iraq, kerana telah ditanam bahawa negara itu mempunyai senjata kimia yang mana senjata itu diguna untuk membunuh puak kurdis di utara negara itu.

12. Kini, di negara ini, persepsi yang berligar-ligar, adalah persepsi yang menyatakan bahawa Perdana Menteri menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan peribadi beliau seperti mana di gambarkan melalui kemelut 1MDB dan wang derma RM2.6bilion.

13. Jika dilakukan kajian pada masa ini, dengan mengunakan strata penduduk bandar dan luar bandar, akan di temui, bahawa penduduk bandar 7 daripada 10 memempercayai persepsi yang mendampingi Perdana Menteri, sementara penduduk luar bandar pula bercampur-campur antara tekanan hidup akibat kenaikan harga barang dan persepsi. Kalau dibuat kajian, penduduk luar bandar masih 50 peratus menyokong kerajaan, dan kurang terpengaruh dengan persepi yang dilontarkan kepada Perdana Menteri. Melihat kepada keadaan semasa, 37 kawasan parlimen yang dimenangi Bn pada PRU-13 lalu dalam kedudukan bahaya, ertinya kerusi-kerusi itu akan terlepas daripada gengaman Bn. Jika demikian, maka kerusi selamat bagi Bn hanya berbaki 97 kawasan, kurang 15 kerusi untuk menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah. Dalam keadaan ini, atas sebab itu ada ura-ura Umno akan berpakat dengan Pas bagi maksud mempertahankan kerajaa bumiputera/melayu di negara ini.

14. Apa yang perlu diwaspadai oleh kaum bumiputera/melayu, jika Umno dan Bn tumbang, maka kedudukan kaum itu akan terumbang-ambing, malah keadaan sebelum merdeka akan berulang kembali. Sebabnya, keadaan itu pernah dirasakan oleh rakyat Sabah apabila Usno dan Berjaya kehilangan kuasa pemerintahan, meskpun kerajaan diketuai bumiputera, akan tetapi dikuasai oleh kaum lain. Pada masa itu, bumiputera islam bagaikan melukut di tepi gantang, dan kini keadaan sama berlaku di Pulau Pinang.

15. AYT mengemukakan tajuk APA KAH RAKYAT AKAN MENGUNDI BN? hanya kerana persepsi yang mengelilingi Perdana Menteri? tanpa melihat sumbangan Perdana Menteri itu kepada rakyat!!! misalnya bagi Sabah dan Sarawak, rakyat majoriti tidak sanggup kehilangan DS Najib, kerana beliau merupakan pembela kepada rakyat dua negeri tersebut.
Dari: AYT.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik