Wednesday, September 9, 2015

AMBIL TINDAKAN KEATAS KOMPLOT JATUHKAN KERAJAAN........

Pelbagai pihak mendesak polis mengambil tindakan ekoran pendedahan maklumat baharu wujudnya komplot menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan Xavier Andre Justo.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penglibatan beberapa nama dalam komplot berkenaan termasuk pengurusan atasan syarikat media, pemimpin pembangkang dan bekas pemimpin negara, juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya, apabila pendedahan itu mengaitkan komplot berkenaan dengan nama-nama pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tony Pua serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ini mendatangkan satu kekhuatiran yang tinggi dalam kalangan rakyat.

“Ini satu tindakan jahat yang berbahaya kepada negara. Pihak polis perlu menyiasat perkara ini termasuk individu-individu yang disebut itu. Pada saya, ini adalah tindakan jenayah, memerangi Yang di-Pertuan Agong dan boleh didakwa di bawah kanun keseksaan.

“Brown dan mereka yang bersubahat dengan beliau tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Siasatan rapi dan tindakan tegas di bawah undang-undang negara mesti diambil terhadap kesemua mereka yang terlibat dalam usaha mensabotaj serta menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang pendedahan beberapa akhbar berhubung perbualan Brown dan Justo menerusi aplikasi WhatsApp bahawa dia sedang mengubah masa depan sebuah negara dan akan meraikannya dengan segelas champagne sebaik sahaja ‘Najib tumbang’.

Perbualan WhatsApp itu kata sumber, turut melibatkan pengurusan kanan Kumpulan Media The Edge iaitu Tong Kooi Ong dan Ho Kay Tat selain mendedahkan keakraban hubungan Brown dengan Anwar, Tony dan Dr. Mahathir.

Namun begitu, Kooi Ong dan Kay Tat menerusi satu kenyataan hari ini menafikan penglibatan mereka dalam komplot menggulingkan kerajaan.

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli MT UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang terlibat dalam komplot tersebut bagi memastikan kedaulatan negara tidak sesekali diruntuhkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, pendedahan itu membuktikan ancaman terhadap kedaulatan negara boleh berlaku dalam sebarang keadaan dan pelbagai bentuk.

“Mengambil tindakan terhadap mereka yang berada di luar negara adalah tidak mudah, namun ia boleh dilakukan,” katanya.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Tan Sri M. Kayveas pula berkata, penglibatan pemimpin pembangkang dengan kedua-dua suspek itu membuktikan bahawa mereka tidak layak memegang tampuk pimpinan negara.

“Belum dapat menguasai negara sudah berani memperjudikan dan bersubahat dengan orang luar untuk kepentingan sendiri, bayangkan jika mereka menjadi pemimpin, apa pula akan tergadai.

“Orang seperti Brown dan Justo tidak terkesan dengan masalah yang mereka timbulkan, sebaliknya, kita sebagai rakyat yang menderita apabila isu ini memberikan imej buruk kepada negara sekali gus memburukkan lagi ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong pula berkata, pihak polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang berkaitan dan orang yang bersubahat.

“Kita mengharapkan penyiasatan yang telus dan teliti supaya kebenaran dapat dilihat oleh rakyat. Terlalu banyak fitnah di media sosial yang memburukkan imej kerajaan dan Perdana Menteri sekarang,” katanya.

Dari: Mykmu.net

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik