Friday, September 4, 2015

BERSIH YANG KOTOR.

BERSIH 4.0 sudah kotorkan negara. Kumpulan haram itu telah meninggalkan sampah-sarap yang melibatkan kos pembersihan RM65,000 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kumpulan kasar itu juga menempelak semua pihak yang cintakan keamanan dan tamadun bermasyarakat berbilang kaum. Gerombolan jalanan itu juga telah membelakangkan undang-undang negara, khasnya Akta Perhimpunan Aman 2012 atau APA 2012.


Poster mencarut yang dipamerkan oleh salah seorang peserta perhimpunan

POSTER mencarut yang dipamerkan oleh salah seorang peserta perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara, baru-baru ini.

Foto poster Perdana Menteri dan Presiden Pas direnyuk-renyuk dan dipijak-pijak seolah-olah tukang pijak dan gerombolan benci benar kepada orang Melayu dan Islam. Tak dapat tiada imej kebencian yang berasas perkauman tampak jelas pada perbuatan khianat itu. Barang siapa yang sempat melihat gelagat itu di paparan media sosial akan terasa gegaran jiwa yang meronta.


Kata-kata mencarut separuh Cina separuh Melayu juga dirakam (lihat foto). Sebahagian tertera di dalam muka buku (Facebook) dan Twitter. Jelasnya media sosial terus memberi dividen kepada pembangkang secara keterlaluan.


Kumpulan Bersih 4.0 seperti kumpulan yang sama dalam peristiwa-peristiwa lama yang terdahulu tidak kisah tentang undang-undang; tidak peduli sama ada orang Melayu terasa hati atau rosak jiwa; penglibatan DAP dan PKR memang tampak melibatkan sebahagian kecil Melayu tetapi segmen individu Cina jelas meningkat ke puluhan ribu manusia.


Sorak-sorai bencikan pemimpin dan dasar-dasar tertentu kedengaran kuat dan lantang. Begitu juga pekikan negatif terhadap kerajaan dan Perdana Menteri. Kalau setakat itu sahaja kita memang sudah berhadapan seperti yang terdahulu di kawasan yang sama dalam rentetan politik jalanan yang sama. Cuma kali ini berbeza kerana motif politiknya ialah untuk menumbangkan kerajaan. Sekali lagi pihak kerajaan, khasnya polis dalam keadaan termangu, seakan-akan serba-salah.


Teringat kita kepada pepatah Melayu: Ayam lepas terbang, tahinya lekat di tangan. Juga aneh: kali ini Tun Dr. Mahathir Mohamad tampak memberi galakan kepada kumpulan haram ini.


Terpenting kini ialah pertama, isu penguatkuasaan; kedua, isu keberkesanan langkah-langkah preventif atau pencegahan, dan; ketiga, soal nilai dan etika bermasyarakat majmuk. Dari sudut penguatkuasaan mungkin boleh diberi markah tinggi kepada PDRM kerana tiada insiden kecederaan atau kematian berlaku di samping tiada kerosakan besar-besaran harta benda.


Namun dari segi APA 2012, kita tidak dapat menyetujui jika ada yang berpendapat bahawa undang-undangnya telah dipatuhi. Larangan dikeluarkan supaya gerombolan tidak mengadakan perarakan dan perhimpunan di kawasan-kawasan tertentu.


Mereka rempuh juga. Tindakan-tindakan liar yang sepatutnya dicegah telah tidak dapat dicegah. Sekatan-sekatan jalan jelas tidak berkesan. Bersih 4.0 jalankan juga apa yang mereka rancang.


Seksyen 7 tentang tanggungjawab peserta, seksyen 8 tentang tanggungjawab polis dan seksyen 9 tentang pemberitahuan perhimpunan juga tampak tidak menepati kehendak undang-undang.


Isunya ialah apakah yang harus dilakukan jika sesuatu kumpulan itu dilarang berhimpun dari sudut pencegahan dan tindakan?


Selepas perhimpunan tentunya penguat kuasa akan membawa kes ke mahkamah. Di sana belum tentu kes memihak kepada penguat kuasa. Namun penganjur haram telah mengadakan himpunannya sekalipun dianggap haram.


Soalnya juga berkaitan dengan realiti jika sesuatu kumpulan itu sampai berpuluh ribu tentu sekali PDRM tak upaya menghalang jika sedikit ketegasan tidak dilakukan. Kawasan-kawasan alternatif yang disyorkan juga tidak diterima pakai oleh gerombolan.


Langkah-langkah preventif yang seharusnya dilakukan terhadap perancang juga tidak nampak berkesan. Sebaik sahaja Maria Chin dan kawan-kawannya lantas mencabul undang-undang, penguatkuasaan cegahan termasuk menahan mereka sepatutnya dilakukan. Keengganan melakukan ini membolos barisan penguat kuasa.


Pandangan ini mungkin tidak disenangi. Namun, realitinya ialah sampai bila APA 2012 dibiarkan kena kencing?


Dari sudut nilai dan amalan demokrasi di Malaysia, yang selalu dihebohkan ialah hak penganjur dan demonstrator. Hak kerajaan dan hak rakyat majoriti jarang diperhitungkan.


Yang dilihat sebagai menonjol ialah, bila gerombolan berskala besar berdemonstrasi seperti Bersih 4.0, penguat kuasa dapat kejutan dan serba-salah. Alat-alat preventif enggan diguna. Taktik-taktik keras dikatakan tak memenuhi hak asasi manusia. Pembangkang dan penganjur gerombolan tahu kelemahan ini justeru Lim Kit Siang dan anaknya Ketua Menteri Pulau Pinang serta ‘pak kocok’ yang lain terus berani mengetepikan APA 2012.


Kalau kena denda kemudian di mahkamah cuma antara RM10,000 ke RM20,000 (Seksyen 15.3 dan seksyen 21.3).


Perarakan dan perhimpunan haram Bersih 4.0 mengancam negara dan keharmonian kaum. Kerajaan harus lebih berani menggunakan penguatkuasaan yang lebih setimpal. Lebih daripada itu wajib melihat akta bahawa masyarakat Cina sudah berani ke depan dan mencoreng arang di muka pemimpin kita secara terang-terangan.


DAP dan sekutunya menganggap inilah ‘pementasan sandiwara’ yang paling berjaya setakat ini. Puak-puak serpihan Pas pula tumpang semangkuk dengan cangkuk liar PKR.


UMNO-BN tentu tak kurang pula individu handalan mereka tetapi jika api dibalas api apa akan jadi?


Tentu Dr. Mahathir sebagai negarawan ulung juga tidak bebas daripada mencari jalan terbaik dalam kemelut ini. Antara seorang bekas perdana menteri dengan perdana menteri yang berkhidmat harus ada biduk yang menaut kiambang; antara timbalan perdana menteri kini dengan bekas timbalan perdana menteri tentu masih ada saki-baki kasih sayang. Biarpun kasih bertompok-tompok, benci jangan merata-rata.


Gunakanlah kebijaksanaan bangsa itu. Jika tidak, orang akan berkata: benarlah ikan itu rosak dan busuknya bermula di kepala.

Jangan sampai begitu.


By: Tan Sri Dr Rais Yatim.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik