Tuesday, September 1, 2015

CAUVINIS DAN. KUMPULAN KECEWA TUNJUK TARING.


DEMONSTRASI Bersih 4 jelas memperlihatkan taring kelompok cauvinis propembangkang dan kelompok serpihan kecewa dan kelompok memperjuangkan nasib seorang tokoh yang terpalit dengan aktiviti dikatakan tidak bersih. Mereka adalah golongan muflis semangat kewatanan dan memilih tempat dan tarikh menjelang kemerdekaan untuk mempamerkan belang keserakahannya kepada khalayak.

Meneliti sejarah perjuangan kemerdekaan terhubung dengan analogi atau misalan pejuang-pejuang terdahulu menebang dan menebas belantara yang membelenggu untuk dijadikan ladang dan kebun. Di hutan belantara terdapat musuh-musuh kemerdekaan yang bersembunyi dan telah mengorbankan ramai wira bangsa bila mereka diserang hendap.

Bila hutan belantara sudah bersih ia ditanam dengan pohon yang mendatangkan hasil. Buah-buah dari pohon dipetik dengan rakusnya oleh pihak yang lupa diri tanpa bertanya siapa yang membersihkan hutan belantara dan enggan berkongsi hasil dengan waris peneroka.

Hari ini tanah yang luas terbentang menjadi bandar dan bandar-bandar baharu, projek perumahan yang mahal yang tidak mampu dibeli oleh waris peneroka menjadikan taburan penduduk tidak seimbang bakal menentukan corak kuasa dan ketuanan pada masa depan.

Kelompok ini bangun dengan menuduh keadilan tidak terjadi, kezaliman berlaku dan mereka dinafikan hak ekonomi dan pendidikan serta kebebasan bersuara sedangkan ekuiti (pegangan) ekonomi dan perniagaan yang dimiliki hampir 80 peratus dan ratusan kolej dan universiti swasta terbina. Ini dicerminkan dengan aktiviti Bersih 4 dengan melakukan penghinaan dan kebencian melampau dengan tujuan menjatuhkan kerajaan yang dipilih cara demokratik. Mereka disertai dengan golongan yang kecewa dan tidak mahu mengaku yang benar itu benar dan yang salah itu salah.

Mereka lupa untuk menginsafi bahawa gelagat mereka sedang diperhati oleh kelompok majoriti senyap dan menggunakan generasi muda yang lupa sejarah dan perjuangan orang terdahulu yang berhempas pulas menebang-menebas hutan belantara dan melakukan pengorbanan supaya kehidupan mereka tidak terbelenggu.

Generasi muda ini banyak menikmati hasil kemerdekaan dan berpeluang untuk belajar dalam dan luar negara tetapi tidak bersyukur dan merasa terima kasih terhadap tangan yang memberi sebaliknya menggigit tangan itu dan bersubahat dengan pihak yang kecewa. Mereka cuai untuk mengambil iktibar bahawa sifat sejarah mengulangi jejak. Pepatah Melayu menyebut di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Malang sekali terdapat anak cucu waris yang sanggup dijadikan alat dan lembu laga untuk memecah belahkan generasi waris seperti yang dilakukan oleh penjajah terdahulu.

Dasar pecah dan perintah mengulangi semula supaya tanah ladang ini akan dikuasai sepenuhnya oleh mereka. Kelompok kecewa ini tidak serik dengan pengalaman lalu dan membiarkan diri dipatuk ular di lubang yang sama untuk kesekian kalinya. Mereka harus sensitif dengan perasaan anak cucu waris yang sedang terkial-kial untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pihak lain.

Ini adalah prasyarat perpaduan negara kerana tanpa jurang dirapatkan rasa curiga akan terus terjadi. Hasil tanah ladang ini harus dikongsi sama supaya keseimbangan terjadi dan keadilan berlaku. Ini mengingatkan penulis terhadap golongan Baba Peranakan di negeri-negeri Selat yang melakukan proses asimilasi dengan menyantuni masyarakat setempat tanpa perlu menukar sistem kepercayaan. Ia ternyata berhasil membentuk masyarakat yang bersatu dan mengenang budi.

Kontrak sosial yang terbina semasa mencapai kemerdekaan harus jadikan pedoman supaya sifat saling membantu dan muafakat tinggi terjadi kerana kekayaan yang terdapat di tanah ladang ini harus dikongsi supaya kepentingan negara menjadi sesuatu yang paling utama.

Perpaduan di negara ini sesuatu yang amat penting. Sekiranya ada niat sesuatu kelompok masyarakat dengan tipu muslihat untuk mengambil alih kuasa ia tidak baik bagi masyarakat Malaysia.Rasa kebersamaan dan gelagat kekitaan perlu disemai terutama di kalangan generasi muda supaya mereka dapat menjadi mata rantai perjuangan menjadikan tanah ladang ini membangun dan subur dan hasil terokaan yang dilakukan dapat dinikmati bersama.

Asas ini penting difahami supaya tidak ada pihak yang merasakan dirinya terpinggir dan tidak ada pihak ingin melakukan monopoli atau penguasaan terhadap ekonomi, pendidikan dan perniagaan.

Jendela Tok Ki
Utusan


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik