Friday, September 25, 2015

"BERHARAP" DALAM PAKATAN HARAPAN.....



AKHIRNYA Pas membuat keputusan bijak apabila memutuskan tidak akan menyertai pakatan pembangkang baharu yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan. Pakatan itu disertai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Sejak awal lagi, ramai pihak melihat tidak munasabah bagi Pas menyertai pakatan tersebut kerana parti itu seolah-olah ‘akan mendedahkan diri untuk dipatuk dua kali dalam lubang yang sama’. Tambahan pula mana mungkin Pas bekerjasama dalam satu pakatan dengan sebuah parti serpihan yang memusnahkan harapannya sebelum ini.


Selain itu, jika Pas membuat keputusan untuk berada dalam pakatan baharu tersebut perjuangan Pas ibarat ‘pi mai pi mai tang tu jugak’ kerana DAP sudah pasti akan menentang perjuangan Islam Pas – pendirian DAP yang tidak akan berubah dulu, kini dan selamanya.


Berikutan ketiadaan Pas dalam Pakatan Harapan maka biarlah pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Amanah menaruh harapan akan mendapat kepercayaan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. Mereka juga terus menyandarkan harapan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kerana tahu dalam pembangkang sekarang khususnya dalam kalangan PKR dan Amanah tiada seorang pun yang boleh diharap atau mempunyai ‘kualiti’ untuk menjadi Perdana Menteri.


Pendirian itu juga bermakna, kalaupun Pas berada dalam Pakatan Harapan, mereka tidak boleh mengharap pemimpin utama mereka akan menjadi Perdana Menteri. Ia memandangkan segala-galanya ditentukan oleh PKR dengan sokongan penuh DAP.


Apa yang menarik untuk diperhatikan bagaimana Pakatan Harapan akan melaksanakan agenda politiknya. Keputusan yang dibuat oleh Pas adalah satu tamparan walaupun ada pemimpin Amanah yang menyatakan tanpa Pas kerjasama pembangkang lebih mudah.


Soalnya, apakah kekuatan yang ada kepada Amanah bagi melayakkan mereka diletakkan harapan mampu memperkukuhkan pakatan tersebut? Amanah hanya parti serpihan Pas dan mereka tidak boleh meletakkan harapan ahli Pas meninggalkan parti itu dan menyokong mereka.


Apatah lagi awal-awal lagi, kehadiran Amanah dalam pakatan sekadar untuk memenuhi kekosongan sahaja dan bukannya disebabkan parti yang berusia beberapa hari itu mempunyai kekuatan politik yang menakjubkan. Wakil-wakil rakyatnya pun menang atas tiket Pas. 


Keputusan Pas juga sedikit sebanyak akan menggugat kedudukan sokongan kepada PKR kecuali kedua-dua parti itu memeterai kerjasama secara rasmi seperti mana kewujudan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif ketika dahulu.


Oleh itu, sementara PKR mengalu-alukan kerjasama dengan Amanah namun mereka tetap menaruh harapan kepada Pas. Atas alasan inilah PKR sejak awal lagi mahukan Pas kekal dalam pakatan tetapi Pas mempunyai congakkan politiknya sendiri. Kalau mahu dibandingkan dengan Amanah, Pas jauh lebih diperlukan oleh pakatan pembangkang.


Bagaimanapun yang akan menentukan hala tuju pakatan pembangkang bukannya PKR mahupun Amanah tetapi DAP. Pas bukan sahaja menyedari perkara itu malah sudah merasai keperitannya ketika berada dalam pakatan tersebut sebelum ini. 


Kini biarlah Pakatan Harapan harap mengharap dan terus menaruh harapan dalam soal kuasa. PKR sudah lama ingin berkuasa, DAP ingin menjadi parti paling berkuasa manakala Amanah sanggup berbuat apa sahaja demi kuasa manakala Pas pula akan memerhati dari luar gelanggang siapa lebih berkuasa.

By: Zulkiflee Bakar.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik