Friday, September 18, 2015

DEMONSTRASI PINTU DEMONISASI.

TANPA segan silu peserta Bersih 4.0 memijak gambar Perdana Menteri,

DEMONSTRASI jalanan semakin dekat dengan tatacara berpolitik di Malaysia. Ia menjadi wacana politik hampir setiap tahun dengan penganjuran siri perhimpunan dikenali sebagai Bersih. 


Bersih 1.0 dijana oleh gabungan parti pembangkang. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersih yang mendapat dukungan pembangkang mengambil alih teraju penganjuran Bersih 2.0 sehinggalah Bersih 4.0 yang diadakan baru-baru ini.


Sejak penganjurannya yang pertama pada 2007, perhimpunan Bersih tidak pernah sunyi daripada polemik termasuklah tindak-tanduk ganas peserta-pesertanya. Di sebalik desakan supaya ia terus diharamkan, kerajaan terus memberi laluan demi menghormati prinsip bahawa perhimpunan aman dibenarkan dalam Perlembagaan selain hakikat bahawa ia sudah menjadi sebahagian daripada praktis amalan demokrasi.


Namun, Bersih 4.0 tidak sama dengan siri demonstrasi Bersih sebelum ini. Kalau sebelum ini Bersih menghimpunkan peserta berbilang kaum, kali ini ia memperlihatkan dominasi kaum Cina manakala DAP lebih menonjol sebagai penggerak utama. Perbezaan paling ketara ialah Bersih 4.0 mengundang tindak balas yang tidak pernah berlaku dalam perhimpunan mereka sebelum ini. Buat pertama kalinya, perhimpunan baju kuning disusuli dengan perhimpunan baju merah yang dianjurkan gabungan NGO Melayu.


Pelbagai pendapat dan pandangan diluahkan bagi sama ada menghalalkan atau mengharamkan perhimpunan baju merah ini. Ironisnya, penyokong kuat perhimpunan Bersih menentang perhimpunan baju merah 16 September dengan alasan ia perhimpunan rasis, ganas dan haram. Mereka bermati-matian sehingga sanggup ke mahkamah untuk menghalalkan perhimpunan Bersih atas alasan kebebasan bersuara, tetapi kali ini mereka berhempas pulas ‘mengharamkan’ perhimpunan oleh pihak lain.


Sebelum ini mereka sanggup berunding dengan polis untuk memastikan Bersih 4.0 terlaksana, tetapi kali ini mereka berebut melakukan laporan polis untuk memastikan perhimpunan baju merah digagalkan.


Mereka menuduh perhimpunan tersebut sebagai rasis kerana melibatkan hanya satu kaum, tetapi perkataan itu tidak sekelumit keluar dari mulut mereka ketika Bersih 4.0 dijayakan dengan pesertanya didominasi oleh satu kaum. 


Kenapa? Adakah mereka mengamalkan peraturan berat sebelah? Halal bagi pihak mereka tetapi haram bagi pihak lain? Di mana hilang prinsip bahawa perhimpunan aman adalah dijamin dalam Perlembagaan? Di mana prinsip kebebasan bersuara yang nyaring dilaungkan dalam Bersih 4.0?


Dalam sekelip mata, prinsip mereka berubah. Pemimpin pembangkang terutamanya DAP pula ibarat meludah ke langit. Secara tiba-tiba mereka berhujah seolah-olah perhimpunan umum adalah perkara yang jelek, rasis, tidak demokratik dan mesti dihalang.


Kata mereka, Bersih 4.0 adalah perhimpunan menentang korupsi serta penyelewengan yang berlaku di negara ini. Sementara itu, perhimpunan 16 September adalah cubaan barbaric yang mempertahan rejim korup dan kejam. Sesungguhnya, perhimpunan 16 September adalah refleksi daripada Bersih 4.0. Tindakan biadab peserta perhimpunan Bersih melakukan segala macam provokasi ternyata mengundang reaksi.


Lihat sahaja bagaimana dua gambar pemimpin Melayu yang berbeza kabilah politik dihina, diludah dan dipijak-pijak oleh peserta Bersih. Begitu juga dengan adegan olok-olok mayat orang Melayu yang diarak menyerupai upacara kematian kaum Cina.


Begitu juga dengan tindakan peserta Bersih 4.0 yang beramai-ramai membawa penyapu, alat yang pernah digunakan sebagai simbolik ketika perhimpunan raksasa orang Cina pada 13 Mei 1969 - peristiwa yang berakhir dengan rusuhan kaum.


Tidakkah penganjur Bersih dan pemimpin pembangkang terfikir apa reaksi terhadap semua kelakuan sebegini?


Tidakkah terfikir kesannya apabila sebuah perhimpunan yang didominasi satu kaum, membuat provokasi menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang lain? Rakyat akan tertanya-tanya, apa motif di sebalik semua perbuatan ini?


Ini bukan soal mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Hadi Awang yang gambar mereka dipijak secara biadab dan kurang ajar. Ini bukan lagi faktor partisan, tetapi berkisar soal moral dan tanggungjawab menghormati sensitiviti kaum dan agama.


Perbuatan menghina pemimpin sebegitu rupa bukanlah budaya rakyat Malaysia. Ia adalah manifestasi kebiadaban yang berpunca daripada provokasi sesetengah pemimpin pembangkang yang mengapi-apikan emosi rakyat.


Politik menanam kebencian adalah punca sebenar yang memulakan demonstrasi jalanan. Sebelum agenda reformasi di pertengahan tahun 1990-an, demonstrasi jalan bukanlah budaya politik negara.


Hakikatnya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pencetus, pengamal dan penggalak budaya seperti ini. Hayat politik beliau sebenarnya banyak bergantung kepada penganjuran perhimpunan jalanan. Survival parti pembangkang juga kini bergantung kepada demonstrasi jalanan. Mereka mahu memastikan suhu politik terus membahang dengan perhimpunan sebegini. Semakin aman keadaan dalam negara, maka semakin sukar untuk mereka.


Hasilnya, demonstrasi jalanan ibarat menjadi acara tahunan. Malangnya, seringkali ia berakhir dengan kekecohan dan juga rusuhan. Inilah yang mahu ditolak oleh majoriti rakyat yang cintakan keamanan. Demonstrasi sebenarnya adalah “pintu kepada rusuhan”.


Tokoh hak asasi Amerika Syarikat, Dr. Martin Luther King Jr pernah menyatakan “rusuhan tidak membawa ke mana-mana, kerana ia mengetepikan soal moral”. Jadi penganjur Bersih dan pemimpin pembangkang patut bermuhasabah. Jangan dipersalahkan himpunan baju merah kerana ia muncul akibat provokasi penyokong mereka sendiri.


Tidak salah untuk berhimpun, tetapi menganggap provokasi sebagai simbol demokrasi adalah satu kesilapan besar yang mampu mengundang bencana.


Jika ada pihak yang memulakan provokasi, maka akan ada pihak yang bertindak melakukan perkara sama, malah natijahnya mungkin lebih teruk. Akhirnya ia tidak akan untungkan sesiapa, malah boleh menghancurkan negara.

By: Nizam Isa.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik